Friday, December 19, 2008


SEMAJU-MAJU PENIAGA MELAYU

D
ARI semasa ke semasa saya akan lakukan lawatan ke kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Ia adalah tugas untuk berjumpa tauke kedai, pekerja kedai, para pembaca, mencari idea pemasaran, menjejaki kemasyhuran pesaing merangkap berjalan-jalan.

Orang tua kata, jauh perjalanan luas pemandangan. Memang betul pun. Pandangan saya terhadap sesuatu perkara semakin luas. Di antara apa yang saya nampak amat menyerlah ialah deretan kedai-kedai yang dipunyai oleh orang-orang Melayu pada hampir setiap bandar kecil yang saya kunjungi.

Saya ke Sungai Petani, Alor Star, Arau, Kangar, Gua Musang, Kertih, Jertih, Pasir Mas, Kemaman, Mentakab, Jerantut, Raub, Pekan, Rompin, Kota Tinggi, Rembau, Jasin, Kuala Pilah dan banyak lagi bandar-bandar lain. Yang saya nampak ialah kemunculan kedai-kedai Melayu.
Kedai-kedainya bukan lagi jenis ‘kedai MARA’ yang sempit, kedai-kedai yang lompong rak-raknya, kedai-kedai yang sesak dan sarat dengan barang-barang jualan yang buruk dan berhabuk. Ia juga bukan sahaja kedai gunting rambut, kedai songkok dan kedai nasi lemak.

Malah, perniagaan mereka sudah meliputi kedai komputer, butik, foto, kaca mata, farmasi, kafe, aksesori kereta, mainan kanak-kanak, fonsel, hotel, barang kemas, elektrik, bengkel kereta, klinik, farmasi dan tentu sekali kedai dandan wanita!

Saya perasan ada di antara kedai-kedai ini sudah ada cawangan-cawangan mahupun francais seperti Ani Sup Utara, Syarikat Buku Muda Osman, Laksa Shack, Cosmopoint, Menara Optometry, Rozaimi Optometrist dan Kamal & Kamal Pest Control, Yan’s Collection dan kedai-kedai stokis jamu. Senarainya panjang. Hebat rupanya orang Melayu jika mereka sudah menjadikan perniagaan sebagai kerjaya. Bukan lagi semata-mata bekerja dengan gomen seperti generasi orang tua kita. Bangga saya dibuatnya.

NAMUN, bila saya renung-renung kembali. Saya teringat deretan kedai-kedai di bandar kelahiran saya, Mersing. Sewaktu saya di zaman persekolahan pada tahun-tahun 60-70an, saban hari saya akan mengayuh basikal melintasi Jalan Sultan Abu Bakar iaitu jalan yang paling sibuk kerana paling banyak kedai ketika itu.

Saya nampak kedai foto Kai Mee, kedai baju Tuck Fong, kedai borong Hoe Sen, kedai ubat Sam Yu, kedai runcit Hock Hoe, Tien Lock Restaurant, Merdeka Hotel dan kedai buku Union. Hampir kesemuanya dipunyai oleh kaum Cina dan India.

‘Oh, mereka sudah mulakan lebih 30 dahulu. Kita baru nak bermula. Harap-harap kita terkejar untuk merapatkan jurang ekonomi!’

Koleksi peribadi: Foto di kawasan perhentian bas Shahab, Sg. Petani


No comments:

Post a Comment