SUDAH
TERKENAL,
TIDAK SEMENGGAH
TIDAK SEMENGGAH
SEMENGGAH adalah di antara istilah yang jarang sekali digunakan. Ia membawa maksud senonoh, layak, patut, sesuai, sederhana, sopan, biasa, tidak lebih tidak kurang, bersahaja, tidak keterlaluan, berpatutan, bersahaja atau sederhana.
Tidak semenggah adalah istilah yang orang tua-tua
gunakan kepada perilaku seseorang yang tidak kena pada taraf dan tanggungjawab
yang mereka bawa. Kanak-kanak yang baik, tiba-tiba berubah nakal, suka
mengganggu anak orang lain, menyampuk ketika orang tua-tua berbual itu
dikatakan tidak semenggah.
Istilah tidak semenggah ini turut digunakan pada
sesuatu perkara yang tidak kena gaya, tidak sepatutnya atau tidak elok. Gubahan
atau buatan manusia yang tidak menepati piawaian juga dikatakan tidak
semenggah. Saya mulakan dengan istilah ini kerana ingin menyentuh mengenai
perilaku mereka yang tidak semenggah. Perangai elok mereka tiba-tiba terpeleot
kerana lupa imej yang dibawa.
Kewujudan media sosial membolehkan khalayak ramai
mengetahui sikap tidak semenggah mereka yang terkenal. Perangai tidak semenggah
yang melibatkan personaliti, selebriti atau media
influencer yang sepatutnya terlindung dari khalayak ramai, mudah sahaja
terserlah. Mereka yang membuka kisah sendiri, bukannya orang lain.
Contoh yang jelas ialah tindakan DS Mujahid Yusof
Rawa yang telah mengarang sebuah surat
terbuka untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. Meskipun ia adalah mesej yang brotherly, pada khalayak ramai, ia
dilihat sebagai sesuatu yang lucu, malah dijadikan troll semata-mata apabila istilah-istilah kanda dan dinda
digunakan.
Tidak lama dahulu, sebuah foto Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang tidak berbaju di bilik mandi menjadi lelucon hingga memaksa beliau memadam foto itu. Begitu juga apabila pelakon Zizan menjawab mesej artis Linda Rafar. Linda tidak puashati tehadap apa yang berlaku kepada ibunya di hospital. Zizan menasihati Linda agar jangan bersedih sangat ke atas apa yang menimpa ke atas ibunya. Namun, istilah ‘not our level’ Zizan itu dilihat seolah-olah mengajak Linda untuk tidak melayani apa yang tidak setaraf dengan kedudukan mereka sebagai selebriti.
Soalnya dalam kebanyakan kes tidak semenggah ini,
kesilapan itu lebih banyak terletak kepada si pelaku yang terlupa bahawa mereka
bukan orang biasa lagi. Benar, mereka ingin jadi orang biasa yang dekat di hati
rakyat. Tetapi kedudukan mereka itu sendiri berkehendakkan mereka menjaga
kesemenggahan atau tsiqah mereka.
Ramai sekali ahli-ahli politik khususnya dari kerajaan
Pakatan Harapan tidak sedar yang mereka sudah berkedudukan dan dipandang tinggi
oleh masyarakat. Fitrah manusia ialah menghormati para pemimpin. Mereka
disanjung, malah dipuja. Jika sebelum ini, mereka adalah pembangkang yang tidak
punyai kedudukan yang tinggi. Malah taraf mereka adalah sama seperti rakyat
marhaen.
Tentu sekali dalam kedudukan begitu, mereka
kelihatan semenggah apabila boleh tidur di tengah jalan, bergolek di tengah
jalan, merempuh pagar, digari polis, duduk minum kopi di gerai atau membonceng
motorsikal. Apabila mereka menang pilihanraya, mereka menjadi pemimpin negara.
Mereka dipandang tinggi oleh rakyat. Para penyokong melihat mereka sebagai
hero. Imej hebat pemimpin itulah imej yang terpahat di minda para pengikut.
Sebab itu, apabila mereka masih lagi terjerit-jerit
di Parlimen, bermulut celupar, berkata hanya untuk menyedapkan hati kaumnya, bertutur
tanpa merujuk kepada yang pakar, mereka mula menjadi bahan lawak. Ini adalah
kerana imej yang mereka bawa itu tidak sepadan dengan imej yang diangan-angankan
oleh para penyokong mereka.
Kalaupun mereka ingin bersama rakyat, atau nampak
berjiwa rakyat, mereka boleh sahaja menonjolkan imej kemarhaenan dengan
mendukung anak kecil, mengusap kepala pelajar berjaya, menendang sebiji bola
untuk merasmikan acara sukan, melepaskan ikan ke kolam ataupun menanam sebatang
pokok. Itu imej pemimpin yang dah cukup semenggah di mata rakyat. Tidak perlu
lagi berbuat seperti dulu-dulu lagi.
Barangkali jika kita ambil panduan artis-artis di
Jalan Ampas dahulu, kita boleh menjaga semenggah. Para seniman di zaman P.
Ramlee mengelak daripada bersidai di tepi-tepi jalan, bergaul dan bergelumang
dengan masyarakat semata-mata untuk menjaga imej. Tujuannya bukanlah untuk
menjaga martabat dua darjat. Sebaliknya mereka mengelak untuk menjadi sama
seperti rakyat semata-mata untuk mengekalkan misteri dunia artis.
Cuma kedudukan sudah jadi terbalik. Para pemimpin
BN tidak boleh lagi jalan berkepak dengan pengikut yang berduyun-duyun
mengekori. Itu sudah tidak semenggah lagi buat mereka. Mereka sudah jadi
rakyat. Kini mereka boleh makan di gerai bersama rakyat, berjalan-jalan di
tasik, bershopping dengan keluarga atau atau merapu di laman sosial. Dulu orang tak seronok baca status DS Najib
di Facebook. Kini makin ramai yang share. Dulu, orang gelakkan komen Datuk Ahmad
Mazlan. Kini ramai yang suka dan kata dia sebenarnya cerdik. Dari segi itu,
para pemimpin BN makin semenggah menjiwai kehidupan rakyat marhaen.
Artikel ini insya-ALLAH terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.1.18.
Artikel ini insya-ALLAH terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.1.18.
No comments:
Post a Comment