Tuesday, January 22, 2019

10 YEAR CHALLENGE


PICCREDIT: WIRED
APA KESAN
10 YEARS CHALLENGE?
SAYA menemui Dr. Chandra pagi semalam kerana demam. Walaupun demam biasa dan boleh pulih dengan 2-3 biji Panadol, saya masih ingin menemui beliau. Sanggup pula saya menunggu keliniknya dibuka kerana sehari sebelumnya dia menyambut Thaipusam. Saya percaya ramai lagi pesakit di kawasan perumahan saya yang sukakan perkhidmatan doktor muda ini hingga dia popular di laman sosial kejiranan kami.

Saya adalah pesakitnya yang pertama. Setelah mendapat pemeriksaan dan nasihat, saya ambil peluang untuk memberitahu beliau tentang betapa popularnya dia di kalangan kami semua. Sambil tersenyum, dia mengatakan yang dia tahu mengenai hal itu kerana salah seorang daripada pesakitnya menunjukkan gambar keliniknya dan komen-komen positif para pesakitnya.

Dr. Chandra sudah membuka keliniknya sejak 10 tahun yang lalu. Lantas saya mengatakan bahawa dia layak meletak foto The 10-year challenge atau Cabaran 10 Tahun anjuran Facebook yang kini mendapat sambutan warganetnya. Perbualan kami melarat hingga menyentuh mengenai latar belakangnya.

Katanya, dia dari keluarga yang susah. Bapanya hanya seorang tukang kebun sekolah. Tetapi orang tuanya berjaya menyekolahkan 11 orang adik beradiknya. Ada ketikanya dia membantu ayahnya menjadi tukang kebun di sekolahnya. ‘Malu apa bosku?’ katanya seraya tergelak. Apa sahaja kerja yang memerlunya membanting tulang empat kerat telah dilakukannya termasuk mengembala lembu, menghantar susu dari rumah ke rumah, membetul paip, pendawaian termasuk memasang jubin.

Hasil ketegasan ayahnya, adik beradik beliau kesemuanya menjadi orang. Antaranya menjadi pensyarah, pengurus, jurutera, peguam dan juga akauntan. Kini, Dr. Chandra sendiri adalah seorang doktor yang berjaya dengan caranya yang tersendiri.

Saya bertanya beliau, ‘Sekiranya tuan diberi peluang untuk kembali ke zaman lampau, apakah yang ingin diubahnya?’ Jawapannya membuat saya termalu kerana bertanya soalan yang klise itu. Katanya, ‘kalau saya ingin mengubah masa lalu, ini bermakna saya tidak akan menjadi seperti hari ini!’

Lantas beliau menyentuh mengenai The 10-year Challenge yang kini menjadi ikutan.  Katanya, ramai sekali yang membandingkan potret masing-masing pada tahun 2009 dan 2019. Ia lebih berkisar kepada menzahirkan perubahan fizikal. Apabila seseorang mahu memaparkan potret masing-masing untuk tatapan rakan-rakan, mereka sanggup mencari dari album masing-masing samada yang berbentuk fotogeraf dari album mahupun imej yang tersimpan dalam fail di komputer masing-masing.

Tetapi selepas memaparnya, rakan-rakan biasanya akan memuji-muji untuk suka-suka. Selepas itu, mereka akan melihat pula rakan-rakan lain yang menyertai 10-Year Challenge itu dengan potret-potret yang menarik. Namun selepas paparan itu… apa?

Kata-kata Dr. Chandra itu mempunyai makna yang mendalam. Pada saya, walaupun beliau terhibur dengan pelbagai gelagat mereka yang menyertai The 10-Year Challenge itu, beliau prihatin dengan makna yang dilalui oleh seseorang dalam tempoh sedekad itu.

Sebenarnya The 10-Year Challenge itu mempunyai lebih besar erti dan nilai pencapaian dan perkembangan diri dalam tempoh 10 tahun semata-mata. Ia bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal, tetapi apa yang berlaku pada mental seseorang dalam tempoh 10 tahun. Dan, apa pula yang terjadi pada spiritual seseorang dalam tempoh yang sama.  Maknanya, ia bukan sahaja soal imej, tetapi sejarah hidup yang telah dilalui dalam tempoh 10 tahun itu.

Biarlah paparan potret di laman sosial masing-masing itu hanyalah untuk tatapan kawan-kawan. Tetapi perlu ada dua lagi 10-Year Challenge mengenai perubahan mental dan spiritual yang tersemat sama di sanubari. Pertama, apakah cara berfikir dan bertindak kita kini lebih baik daripada 10 tahun yang lalu? Kedua, apakah kita kini lebih alim atau lebih jahil daripada segi pencapaian amalan beragama?

Betapa pun, ia masih belum mencukupi kerana The 10-year Challenge hanya memaparkan sepuluh tahun lampau hingga ke hari ini. Selain daripada menoleh ke belakang untuk menyusur jalan kenangan yang nostalgik, apakah kita tidak mahu mencabar diri untuk melihat diri hingga ke 10 tahun ke hadapan yang futuristik?


Pendek kata, bersediakah kita untuk mencabar diri dengan meneroka masa depan untuk melihat diri kita 10 tahun akan datang iaitu pada tahun 2029? Kita kata, 2029 itu terlalu jauh ke hadapan. Tetapi bukankah kita juga berasa 2019 itu lama lagi tatkala kita berada di tahun 2009 dulu?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.1.19.

No comments:

Post a Comment