Tuesday, January 3, 2017

GELORA DALAM SILATURRAHIM


Piccredit: dailymail.com
TAK BOLEH PUTUS BILA BERSAHABAT

PADA hujung minggu lalu, saya menjemput staf Muhamad Mat Yakim untuk masuk sebentar ke mesyuarat harian syarikat.  Saya menjemputnya kerana hari itu adalah hari terakhir beliau berkhidmat di Sinar Harian. Dia yang kami gelar Che Mat kelihatan tenang pada hari itu. Maklumlah, beliau memberi notis tiga bulan.

Biasanya seseorang yang hendak berhenti akan memberi notis sebulan sebelum mengundurkan diri. Mungkin tempoh yang panjang itu membolehkan dia dan juga kami menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Agar kami boleh bekerja tanpa dia dan dia pula bekerja dengan team yang baharu. Mengikut katanya, hatinya memang berat untuk meninggalkan akhbar yang disertainya sejak penubuhannya 10 tahun yang lalu. Namun, untuk meneruskan minatnya, Che Mat mengambil keputusan untuk beralih angin.

Beliau menjelaskan serba sedikit yang beliau akan meneruskan kerjayanya di dunia persuratkhabaran juga. Tentulah kami berasa gembira apabila mendengar pengumuman bahawa Che Mat masih di dunia media akhbar. Staf yang lain turut memberikan ucapan selamat kepada Che Mat. Harapan kami semuanya senada. Meskipun tidak lagi bersama, ia bukan bererti kami semua akan putus persahabatan.

Bila tiba giliran saya, selain ucapan selamat kepada seseorang yang ingin meletakan jawatan, saya menyentuh mengenai perhubungan di antara saya dengannya di sepanjang perkhidmatan bersama dengan Sinar Harian. Tidak boleh tidak dalam perhubungan itu, pelbagai mood kami rasai dalam interaksi seharian kami. Ada ketikanya di antara kami pernah berasa duka, marah, geram, sakit hati, jauh hati, meluat, letih, suka, kagum, lega, bangga dan yakin di antara satu sama lain. Ada pahit, ada manis, ada masam dan ada masin.

Segala perasaan positif mahupun negatif di antara kami itu dirasai dari satu ekstrim ke satu ekstrim yang lain kerana kami bekerja di syarikat dan jabatan yang sama. Ia tidak akan terjadi seandainya kami tidak bertemu dan bermesyuarat pada setiap hari untuk memilih dan menyusun berita, meneliti sudut pandang pendekatan pemberitaan dan juga memperbetul segala kekurangan.

Namun, apa sahaja yang rapat akan melahirkan pergeseran. Pergeseran yang ditangani secara negatif akan menghasilkan api yang membakar hingga rentung lalu menjadi abu. Sebaliknya pergeseran yang dibendung dan dijagai akan menghasilkan tenaga. Tenaga inilah yang akan menghasilkan kuasa; kuasa yang mempengaruhi minda pembaca melalui berita yang dihasilkan.

Bagaimana pun,  seandainya Che Mat hanya seorang jiran saya, apakah interaksi kami akan punyai spectrum perhubungan yang begitu pelbagai? Sebagai jiran. mungkin kami hanya akan bersembang bila terserempak ketika saya membasuh kereta. Mungkin bertanya khabar serba sedikit sebelum masing-masing masuk ke dalam rumah. Kalaupun kami bertemu apabila berjemaah di surau, perbualan panjang kami di majlis kenduri tentunya mengenai isu-isu sekitar kawasan perumahan seperti jalan berlubang, padang yang tidak ditebas pekerja PBT ataupun tentang sampah yang tidak dikutip secara berkala.

Begitu juga, seandainya saya cam Che Mat sebagai salah seorang pengunjung di restoran mamak tempat saya bersarapan, mungkin sahaja kami akan bersembang kosong mengenai banjir di Kelantan, kesesakan jalanraya, mengenai kenaikan harga minyak, hal belanja sekolah yang meningkat dan apa sahaja yang menjadi tular di media sosial. Cukup sekadar berbual kosong sebagai teman semeja tatkala bersarapan.

Kadangkala, perhubungan kerana ada kepentingan bersama itulah yang penuh ranjau dan cabaran yang bakal menentukan rapat atau renggangnya perhubungan. Perhubungan suami isteri, adik-beradik, ipar duai, saudara-mara, sedarjah, sekolej,  satu persatuan, satu pasukan mahupun satu pejabat biasanya mengalami suhu panas, suam dan dinginnya. Ia terjadi kerana rasa prihatin kita pada kepada orang itu kerana rapatnya perhubungan itu.


Oleh kerana itu, usah kecewa sangat apabila perhubungan kita dengan seseorang itu melalui jalan berduri. Ia petanda bahawa perhubungan kita dengannya  itu sebenarnya erat, malah saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Pergeseran yang berlaku itu adalah kerana dinamika perhubungan itu yang sedang melalui fasa-fasa persahabatan. Dengan mereka inilah kita tidak boleh berpisah walau apa pun yang terjadi kerana ia sebenarnya ada kena mengena dengan erti silaturrahim yang dituntut agama.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.1.17. 

No comments:

Post a Comment