Tuesday, January 31, 2017

HENTIKAN SAHAJA TABIAT MENGUTUK


Piccredit: entrepreneur.com

SAMPAI BILA HENDAK MENGATA?

KITA berada di zaman teknologi maklumat. Apa sahaja yang diingini boleh dicapai di hujung jari. Internet memampukan kita menjelajah ke lautan dalam pasifik mahupun terbang melayang di angkasa lepas. Taip sahaja apa yang diingini di komputer dan dalam beberapa saat sahaja, apa yang dihajati itu akan terpapar di depan mata.

Dalam pada kita mencari apa yang dihasratkan, akhir-akhir ini kita pula diterjah dengan segala bentuk maklumat yang kita tidak fikir kita mahukan. Dulu, kita mencari maklumat. Kini lebih banyak maklumat pula yang memburu kita. Oleh kerana seringnya ia muncul tanpa diundang, lama-lama kita dipaksa menatap dan akhirnya terheret lalu tenggelam di alam sesawang.

Kemudahan telefon pintar bukan sahaja turut membolehkan kita melihat dunia di hujung jari. Sebaliknya, oleh kerana pentingnya telefon itu, kita akan bawa ia ke mana sahaja. Tanpa kita sedari, sebenarnya kita juga membawa sebuah perangkap halus yang membuat kita melekat hingga tidak mampu keluar dari alam sesawang itu sendiri.

Denting telefon itu sudah cukup membuat kita teruja untuk membuka telefon dan menatap mesejnya. Selain daripada sembang kawan-kawan di perisian Whatsapp, kita boleh tengok apa yang kawan kita masak di laman Facebook atau Instagramnya. Dan, melalui video YouTube yang terdapat di laman sesawang, kita mampu melihat upacara angkat sumpah Donald Trump sebagai Presiden Amerika.

Bukan setakat itu sahaja. Kita boleh tatap dan mula mengenali wajah Melania Trump, isteri Donald. Dan dapat pula melihat wajah masam mencuka Melania sebaik sahaja Donald berpaling daripadanya. Perang dingin suami isteri itu diperkatakan ke seluruh dunia internet. Tetapi, apakah kita perlu maklumat seperinci demikian? Tidak. Jadi, mengapa kita menatapnya? Alasan yang kita berikan, kita menontonnya kerana seseorang rakan telah mengirim video itu kepada kita.

Apabila kita disua dengan artikel, foto dan video tanpa diundang, kita menatapnya kerana ia terdapat di dalam telefon pintar kita. Okey jugalah andainya kita mengambil bahagian untuk menyebarkannya kepada rakan yang lain untuk berkongsi tontonan. Kita lakukan ia kerana kita mahu sebarkan apa yang menguja kita.

Tetapi, ia menjadi tidak molek, malah sia-sia dan membuang masa apabila kita turut sama memberi komen-komen terhadap apa yang kita sebarkan. Komen-komen biasa selalunya terbabas menjadi kritik dan akhirnya kita mengutuk perlakuan manusia di dalam artikel, foto mahupun video yang ditularkan. Ia biasa melarat menjadi lawak lalu kita mula mempersenda apa sahaja mesej, imej dan video yang kita terima.

Selepas seorang, seorang lagi individu yang kita kutuk dan tertawakan. Padahal asalnya kita hanya ingin berkongsi sesuatu yang mungkin rakan kita minati. Akhirnya sikap mengutuk apa yang ditatap itu menjadi suatu kebiasaan.

Kita yang pada asalnya mahu berkongsi perkara-perkara yang baik atau berdakwah kepada rakan-rakan akhirnya hanya memilih sesuatu yang amat melalaikan bila kita akan tertawa dan tertawa apabila menatap keaiban orang. Peribadi kita yang jarang sekali mengumpat orang sudah berubah sama sekali.

Betapa malang apabila kita tidak sedar akan perubahan peribadi kita kerana teman-teman lain pun sama. Mereka pun tidak sedar akan perubahan diri masing-masing. Apabila satu kelompok kawan-kawan punyai perangai yang serupa, siapakah yang dapat menyedarkan anda agar menjaga perilaku?

Mari kita renungi sudah berapa lamakah kita bebas mengutuk selepas seorang, seorang lagi personaliti yang kita kongsikan di laman internet ataupun lelain perisian laman sosial. Setahun? Dua tahun? Atau lebih daripada itu? Apakah yang kita peroleh apabila kesemua komen dan kritik kita itu tidak sampai pun kepada si empunya diri?

Kita tidak mendapat apa-apa. Dan si empunya diri sudah tentu tidak tahu kita ada memberi komen terhadap dirinya. Meskipun ia baik, orang yang dikritik itu tidak dapat memperbetul kelemahannya kerana tidak tahu kita ada memberi pandangan terhadap kesilapannya.

Sebenarnya, ramai sekali orang yang kita kritik melalui laman-laman sosial itu tidak berguna walau satu sen kepada kita! Apa yang mereka lakukan itu tidak langsung memberi kesan terhadap diri kita. Jika perlakuan mereka benar-benar menjejaskan kehidupan kita, pasti kita mencari orang itu untuk kita ajar dia secukupnya!


Sebaliknya, rasa marah kita, benci kita, meluat kita itu ditumpahkan dalam bentuk tulisan. Beranikah kita sebenarnya jika hanya menegur sesuatu kesilapan, kelemahan mahupun keaiban hanya dengan cara menulis? Dan tulisan kita tidak pun setajam mata pedang!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.2.17.

No comments:

Post a Comment