Tuesday, December 27, 2016

TIGA KOMPONEN KEJAYAAN



Piccredit: msi college

BAGAIMANA KITA MENGUKUR KEJAYAAN?

RAMAI yang inginkan kejayaan dalam apa jua bidang yang diterokai. Daripada jumlah yang mahukan kejayaan, hanya sebahagian sahaja yang bertindak dan bergerak untuk memperoleh kejayaan itu. Sebahagian daripada mereka hanya memikirkan mengenai kejayaan tanpa melakukan apa-apa. Jika begitu, mereka sebenarnya sedang menempah kegagalan kerana kebarangkalian untuk gagal itu lebih besar jika tidak melakukan apa-apa.

Kejayaan mencapai sesuatu yang diimpikan itu adalah suatu nikmat. Ia nikmat apabila berasa puas memperoleh apa yang diusahakan setelah mengorbankan masa, tenaga dan material untuk menggapainya. Lagi banyak pengorbanan yang dilakukan untuk mencapai sesuatu yang diidamkan, lagi besar rasa nikmat di atas kejayaan itu.

Apabila berjaya, kesemua yang berjaya itu mahu agar kejayaan itu sentiasa di tangan. Ramai juga yang mahukan ia kekal dan inginkan pula kejayaan yang lebih besar. Untuk memateri kejayaan, maka strategi dan taktik yang selama ini digunapakai untuk mencapai kejayaan akan dijadikan rujukan.  Strategi dan taktik sama digunakan secara berulang dikenali sebagai formula kejayaan.

Andainya kejayaan dapat dikekal atau dilipatgandakan dengan menggunakan formula yang sama, maka lama kelamaan seseorang yang berjaya itu akan punyai persepsi bahawa formula yang digunakan itu kalis kegagalan. Inilah yang menyebabkan  seseorang itu terus menerus menggunakan formula yang sama kerana takut, pendekatan yang lain akan menemui kegagalan.

Malangnya, formula yang mencetak kejayaan itu bisa menjadikan seseorang itu berasa hebat. Perasaan  sombong dan besar kepala mula menyelinap di sanubari dengan kejayaan yang diperoleh. Perangai ini akan memakan diri apabila seseorang itu terlupa hakikat bahawa tidak ada suatu pun yang kekal di dunia ini. Dinamika suasana dan elemen-elemen yang mempengaruhi pola kejayaan itu pula sentiasa berubah. Kerana itu, tidak akan ada formula kejayaan yang kekal. Samada cepat atau lambat, formula yang berjaya akan menjadi lemah kerana hilang auranya. Pengguna formula kejayaan itu akhirnya  akan menemui kegagalan secara perlahan-lahan mahupun secara mengejut. Dia hanya sedar yang dia kian lumpuh tatkala keadaan sudah terlewat. Secara analoginya, dia perlu bingkas bangun dan berlari dari kegagalan jika tidak mahu lemas di dasarnya.

Dalam pada itu, ada juga di antara mereka yang amat berhati-hati dengan kejayaan yang diperoleh. Peka menjaga setiap sudut komponen kejayaan itu seperti menjaga enjin kereta yang diservis secara berkala. Kejayaan yang dirangkul itu dipertahankan bagai menatang minyak yang penuh. Dalam apa jua tindakan, orang yang berjaya itu tidak mahu rugi walau sedikit. Kekalahan sementara begitu menakutkan kerana dalam fikirannya, kekalahan yang kecil itu menandakan kegagalan sedang menanti untuk menghancurkan apa yang diusahakannya.

Mereka paranoid jika bersikap begini. Kesilapan kecil dilihat sebagai suatu kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan. Ini pula akan menakutkan mereka yang di sekelilingnya. Lazimnya, sistem sokongan daripada keluarga dan sahabat handailah yang memungkinkan sesebuah kejayaan itu. Apabila mereka sudah takut untuk menegur, ini akan merugikan orang yang berjaya untuk mendapat maklumbalas agar kejayaannya itu terus diperkekal.

Kejayaan berformula  yang cuba dipertahankan dengan melakukan perulangan tindakan akan gagal juga akhirnya. Begitu juga kegagalan akan datang pada kejayaan yang terlalu diperkukuhkan dengan tindakan-tindakan yang rigid dan statik. Kejayaan tidak boleh ditangani secara sambil lewa, apatah lagi secara keras dan autokratik.

Justeru, bagaimana cara kita mengekalkan kejayaan? Yang harus dilihat dalam sesebuah kejayaan itu adalah makna kejayaan itu sendiri kepada tiga komponen iaitu kejayaan terhadap mental, fizikal dan spiritual kita. Jika kejayaan itu mengubah kita menjadi sentiasa positif, tidak takut untuk terus mencuba, tidak hairan dengan sedikit kekecewaan, maka itu adalah kejayaan mental.

Seandainya kejayaan itu menjadikan kita sentiasa bertenaga, segar dan tidak suka bermalas-malasan seperti tidur berlebihan dan di luar masa, maka ia kejayaan fizikal. Sekiranya pula kejayaan itu memberi kita ketenangan, lapang dada dan semakin mengutamakan ALLAH swt dalam setiap urusan, maka kita berjaya daripada segi spiritual.


Malangnya, pada hari ini kita sentiasa mengukur kejayaan daripada aspek material iaitu harta dan wang ringgit. Jika itulah kayu ukurnya, maka pada hakikatnya, tidak ada manusia yang berjaya di dunia ini.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.12.16. 

No comments:

Post a Comment