Tuesday, December 20, 2016

TEMAN TATKALA SUSAH



Piccredit: sheknows.com

APA BAHAGIANYA 
JADI TEMAN MENANGIS?

ARMAN termenung sebaik sahaja berhenti bermesej dengan seseorang. Perbualan kami sering terencat apabila mesej-mesej masuk ke telefonnya. Kerana menganggap ia penting, saya tangguhkan perbualan dan membelek telefon saya pula setiap kali Arman mendapat mesej-mesejnya. Cuma kini, apabila Arman termangu, saya mula ambil peduli. Hendak tahu juga jika Arman sedang hadapi masalah. Jika tidak dapat membantu pun, mana tahu andainya saya mampu memberi pandangan, alang-alang kami sedang bersantai di restoran ini.

Seraya mengeluh, Arman mengadu yang dia memperoleh mesej daripada salah seorang kawan lamanya. Sudah 20 tahun mereka tidak bersua. Khabar berita pun tidak sampai samada melalui mana-mana media sosial mahupun melalui khabar daripada kawan-kawan. Tiba-tiba pada hari ini, kawannya itu menghubunginya dengan sebuah masalah. Masalah kehilangan anak tunggalnya pergi menghadap illahi.

Kata Arman, mereka berdua memang kawan baik. Sama sekuliah, sama sebilik asrama. Biasa makan maggi sama-sama. Biasa juga bertukar baju. Malah pernah tidur baring di kampung masing-masing pada cuti semester. Bila mereka tamat belajar dan mula bekerja, persahabatan mereka mula renggang dan akhirnya berpisah tanpa berita.

Arman juga hairan, bagaimana kawannya itu memperoleh nombor telefonnya. Dan yang lebih pelik, mengapa pula dia menjadi tempat rujukan meminta semangat? Secara logiknya tentu kawan Arman punyai berpuluh, jika tidak beratus orang kawan di sekelilingnya. Mengapa Arman juga yang dicarinya? Sesungguhnya, apa yang Arman alami ini adalah sisi wajah sebuah kehidupan.

Saya teringat senikata lagu Resam Dunia nyanyian penyanyi pop yeh-yeh, J. Sham. Di antara senikata lagu itu berbunyi, ‘Teman ketawa senang didapat,
Teman menangis sukar dicari.’ Bait lagu yang dipetik dari maksud sebuah pantun Melayu lama itu mengingatkan kita bahawa betapa mudah kita memperoleh teman-teman di waktu kita senang, gembira dan bahagia. Namun, apabila kita berdepan dengan keadaan sukar dan sedih, kita akan dapati hampir semua kawan-kawan kita pergi menghilangkan diri.

Jika kita bertuah, semua manusia ingin rapat dan merasai tempias tuah yang kita alami. Namun, apabila kita menghadapi musibah, tidak ramai yang akan setia berdiri di sisi untuk memberi semangat agar kita bangkit kembali. Malah, dalam keadaan masakini, mereka yang rapat, yang senyum, yang ketawa bersama dengan kita pun boleh mengumpat bila kita ditimpa kesukaran.

Di laman-laman sosial pula, mereka yang tidak kenal kita pun mengambil kesempatan untuk mengata cerca apabila sesuatu keburukan telah kita lakukan. Tanpa salam, tanpa maaf, mereka ini senang sekali menikam dan merobek perasaan kita tanpa rasa kasihan. Kerana itu, kita sentiasa diingatkan agar berwaspada meskipun kita berada dalam keadaan senang lenang.
Ingatan-ingatan sebegitu sememangnya bagus untuk kita simpan sebagai sempadan.

Bagaimana pun, ingatan sedemikian adalah pandangan dari sudut negatif. Betapa pula, dalam pada kita sentiasa beringat-ingat akan kehilangan rakan tatkala kesusahan, jangan pula kita menjadi manusia yang begitu. Jika kita tidak suka kehilangan kawan apabila ditimpa musibah, kita perlu sedia menjadi teman menangis kepada mana-mana teman kita yang berada di dalam kesusahan.

Hidup umpama roda. Ada tempoh senang, ada tempoh sukar. Hari ini hari dia, esok pula hari kita. Apabila teman senang, mari sama-sama raikan. Tatkala mereka susah, genggamlah tangannya untuk memberinya semangat dan kekuatan.  Biarlah kita menjadi seorang-dua teman yang boleh diharap oleh mereka yang di dalam kesusahan. Sekurang-kurangnya sebagai tempat mereka melepas cerita derita.

Bagi Arman pula, dia adalah di antara manusia yang dicari meskipun telah tenggelam di dalam lipatan memori temannya. Mengapa? Kerana dia punyai kekuatan sebagai orang yang bersedia untuk tampil, bersedia untuk mendengar dan bersedia untuk memberi pandangan dan kata-kata semangat agar temannya dapat berdiri, bertatih, berjalan dan berlari semula di denai kehidupan.


Menjadi teman menangis memang turut ada sakit dan siksanya. Kita terpaksa memberi masa dan tenaga yang tinggal sedikit itu untuk orang yang mahukan masa itu. Sedekahkan secubit rasa gembira yang kita ada kepada yang datang meminta. Mudah-mudahan itu akan memberi bahagia berganda apabila kita diberi pula berita gembira sebelum menutup mata.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.12.16.

No comments:

Post a Comment