Tuesday, June 28, 2016

TEGUR UNTUK BETULKAN, BUKAN SALAHKAN...



Piccredit: THEINSPIRATIONROOM.COM

MENEGUR UNTUK
MEMPERBETUL

DI ANTARA aktiviti ibadah di bulan Ramadan ini ialah bertadarus Al-Quran iaitu saling membaca dan menyemak bacaan kitab suci itu. Proses ini dimulakan Nabi Muhammad S.A.W bersama malaikat Jibril pada setiap Ramadan. 

Di majlis tadarus, yang membaca Al-Quran akan ditegur dan diperbetul bacaannya oleh yang mendengar. Kemudian proses seterusnya ialah, yang mendengar pula akan membaca Al-Quran. Cantiknya konsep tadarus ini ialah ia adalah sebuah pendekatan belajar dan mengajar secara bertimbal-balik.

Dalam suasana perkongsian ilmu, perasaan kecil hati bila ditegur adalah biasa dan boleh diketepikan. Yang diutamakan ialah memperbetul kesilapan. Justeru, tadarus ini mempunyai pendekatan menegur untuk memperbetul, bukannya menegur untuk menyalahkan. Alangkah baiknya jika semangat pembelajaran di bulan Ramadan ini dibawa bersama ke luar bulan itu, langsung terus di dalam kehidupan kita sehari-hari. Ini adalah kerana, konsep menegur untuk memperbetul sukar terjadi. Yang selalu ialah menegur untuk membelasah hingga yang ditegur itu remuk perasaannya.

Apabila hendak menegur seseorang, kebanyakan kita sudah siang-siang lagi punyai persepsi yang tidak baik terhadap orang yang hendak ditegur. Belum pun kita mengetuk papan kekunci untuk menegur di laman sosial, meluahkan kata-kata secara berdepan mahupun terdengar cerita seseorang yang kita anggap sudah melakukan kesalahan, kita sudah pun menghukum orang itu. Sikap judgemental itulah yang menjelmakan segala rasa negatif kita kepada si pelaku kesilapan. 

Kita berasa meluat, sakit hati dan geram sehinggakan teguran kita sering disulami dengan caci maki dan kata nista dengan menggelar orang yang ditegur itu bodoh, bangang, tak pakai otak dan seumpamanya. Bagaimana ya, orang yang kononnya ingin menegur yang tidak baik itu boleh menggunakan bahasa yang tidak baik juga? Kadangkala tidak terfikirkah kita apakah begitu banyak kata-kata yang tidak baik itu boleh menimbulkan sekelumit kebaikan?

Akibat pendekatan sebegitu, tidak fasal-fasal kita membenci orang yang ditegur. Sedangkan seseorang yang melakukan kesilapan itu boleh jadi punyai ilmu, darjat dan peribadi yang lebih baik daripada kita sendiri. Bukankah yang tidak cantik itu ialah kesilapan orang yang ditegur, bukan dirinya?  Oleh itu, mengapa seluruh tubuh si empunya diri dipersalahkan? Jika seluruh empunya diri itu kita persalahkan, tentu sekali yang ditegur itu akan berasa rendah diri.

Apabila berasa dirinya terhina, tentu sekali dalam situasi itu, dia tidak berdaya untuk berfikir secara rasional untuk memperbaiki kesilapannya kerana asyik memikirkan dirinya yang malang. Kitalah yang bertanggungjawab membuat si pelaku kesalahan berasa begitu inferior.

Wah, apabila kita yang melihat orang yang ditegur itu terkebil-kebil dan kelu lidahnya, kita berasa superior pula dan puashati kerana membuat orang yang ditegur itu diam membisu. Di sinilah mulanya kesilapan kita yang menegur. Tiba-tiba timbul penyakit ego berasa diri hebat kerana berjaya membisukan orang. Kita berasa kita menang. Tetapi, apakah masalah kesilapan yang dilakukan oleh orang yang ditegur itu selesai? Tidak.

Menegur sesuatu yang tidak kena itu adalah sifat yang terpuji. Tetapi cara menegur yang tidak kena cara itu boleh bertukar menjadi sesuatu yang keji. Apatah lagi apabila kita menjatuhkan hukum terhadap orang yang ditegur. Kesilapan yang sedikit dilihat sebagai suatu kesalahan dan hukuman untuk memboikot, menyaman mahupun mengambil tindakan fizikal terhadap yang ditegur.

Walaupun jika dilihat dari sudut pandang undang-undang sivil, orang yang silap itu tidak sampai ke peringkat kena penjara ataupun dihukum gantung kerana kesalahannya. Ataupun dari sudut agama ia bukan pun tergolong dalam dosa besar, tetapi cara kita mengkritik itu seolah-olah itulah hukuman yang wajar terhadap kesalahan yang dilakukan.  Selalunya, kita over dalam bertindak.

Ada juga keadaan bilamana kita menegur kesalahan seseorang itu bukannya secara berdepan, sebaliknya dengan cara meluahkan kekesalan kita itu kepada orang lain. Situasi begini sudah menjadi suatu kebiasaan. Dalam media sosial, keadaan ini selalu terjadi. Apabila kita melihat  sebuah video mengenai suatu kemungkaran, kita mengkritik habis-habisan kemungkaran itu di ruangan komen. Sedangkan orang yang melakukan kemungkaran itu tidak tahu langsung mengenainya. Barangkali dia tidak tahu ada orang mengkritik akan kesilapannya. Justeru, bagaimana dia boleh memperbetul kesalahan kalau dia tidak tahu yang dia sudah berbuat salah?


Namun, selain daripada menegur untuk memperbetul dan bukannya untuk menyalahkan, tiada yang lebih baik daripada menggunakan kata-kata yang lunak. Sepatah kata pendakwah terkenal Mufti Ismail Menk,  ‘ayat-ayat yang keras tidak boleh menyentuh hati yang lembut, tetapi ayat-ayat yang lembut boleh menyentuh hati yang keras.’

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.6.16

No comments:

Post a Comment