Tuesday, June 21, 2016

KENAPA BUAT APA YANG ORANG BUAT?




Piccredit: theoddesseyonline
UKUR BAJU DI BADAN ORANG LAIN

HUJUNG minggu lalu saya ke bazar Ramadan berhampiran dengan rumah kerana ingin merasai suasana membeli-belah di situ. Bagaimana pun, saya tertarik dengan jualan kuih-muih nyonya yang berwarna-warni. Di dalam setiap bungkusan plastik, terdapat enam potongan kuih iaitu kuih lapis, seri muka, kole kacang, talam keladi, bingka ubi dan kuih kasui.

Sebungkus harganya RM3. Apabila memesan, abang yang menjualnya mencadangkan saya ambil dua bungkus kerana harganya RM5. Jimat RM1, katanya. Saya jawab cadangannya dengan senyuman. Pandai abang itu mempromosi. Dapat diskaun RM1 apabila membeli dua bungkus. Sepatutnya harga dua bungkus jadi RM6. Tetapi diberi diskaun RM1 menjadi RM5. Namun, saya jimat RM2, bukannya RM1 kerana saya tidak beli pun sebungkus lagi.

Begitulah taktik dalam dunia pemasaran. Tanpa kita sedari, kita sebagai pelanggan dimanipulasi dengan sudut pandang yang tidak betul hingga persepsi kita jadi songsang apabila disalut dengan persepsi yang indah-indah. Kita mungkin pernah mendapat tawaran barangan murah melalui tukaran baucer. Di kaunter bayaran di pasaraya, petugasnya memberi kita beberapa keping baucer. Katanya, kita layak mendapat baucer-baucer itu kerana belian kita sudah mencecah ke sekian-sekian ringgit.

Dan baucer-baucer itu dapat digunakan untuk membeli mangkuk istimewa dengan harga tawaran murah. Harga mangkuk yang sepatutnya RM30, boleh dibeli dengan harga RM10 sahaja asalkan kita menyertakan beberapa keping baucer. Wah! Kita jimat RM20! Untungnya. Namun sebenarnya kita akan jimat RM30 jika kita tidak membeli pun mangkuk yang dikatakan istimewa itu sebab kita tidak terfikir untuk membeli mangkuk sebelum ini.

Kita membeli kereta baharu dengan pinjaman bank. Kita gembira dan melaram dengan penuh gaya seperti model di dalam iklan kereta itu. Padahal kereta itu bank yang punya. Bank mendahulukan ongkosnya untuk kita. Oleh itu kita beraksi dengan kereta pinjam. Tetapi, akhirnya kereta itu menjadi milik kita setelah kita membuat bayaran penuh bertahun-tahun kemudian. Ya, kereta yang sudah berusia 7 tahun, yang kusam, calar dan bergerak terhegeh-hegeh itulah kereta kita sebenarnya, bukannya yang berkilat bling-bling dahulu.
Kita mendapat kad kredit yang baharu. Tempoh kad itu sah sehingga tahun 2020. Tempoh dilanjutkan ke lima tahun, bukannya tiga tahun seperti biasa. Kreditnya pun telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM30,000. Banyaknya kredit yang diberi. Kita pun berbelanja sakan seperti yang diuar-uarkan model di televisyen.

Tetapi awas. Jumlah RM30,000 itu ialah jumlah hutang yang diberikan oleh pihak bank kepada kita. Ia bukan jumlah wang percuma yang bank beri kepada kita untuk berbelanja. Sesungguhnya jika ia dinamakan kad hutang, bukannya kad kredit, kita akan lebih beringat sebelum berbelanja.

Sewaktu saluran televisyen hanyalah RTM1, RTM2 dan TV3, kita boleh duduk menonton dari petang sehingga siaran tamat. Kita berasakan yang televisyen itu memberikan hiburan yang mudah dan murah. Apabila saluran televisyen bertambah, kepada TV7, TV8 dan TV9, kita berasa amat beruntung kerana mendapat saluran hiburan tambahan.

Namun, apabila kita ditawarkan berpuluh-puluh saluran televisyen yang berbayar, kita tidak dapat duduk di hadapan televisyen selama 24 jam. Yang peliknya, kita punyai masa yang makin sedikit untuk menonton televisyen. Tetapi kita tetap berasa hebat seperti orang lain. Berasa begitu harmoni dan bahagia menonton bersama keluarga kerana itulah imej yang diperlihatkan kepada mereka yang melanggan berpuluh-puluh saluran televisyen.

Bagaimana kita boleh termakan dengan satu-satu pelan atau produk pemasaran yang kita sendiri tidak mahu? Mengapa kita membeli sesuatu yang kita tidak perlu? Herd mentality. Itulah sebabnya. Apabila kita melihat ramai orang menggunakan produk yang sama, perkhidmatan yang serupa, kita pun turut serta. Dalam fikiran kita, jika ramai orang gunakan sesebuah produk atau perkhidmatan, kita pun berani ikut serta kerana kita berasa selamat melakukannya.

Oleh kerana kita takut melakukan sesuatu itu secara bersendirian atau ikut kepala sendiri, maka kita buat sahaja apa yang orang lain lakukan. Mode pemikiran sebeginilah yang mudah dimanipulasi dan dirangkum oleh pihak pengiklanan dan pemasaran. Inilah yang dinamakan komunikasi massa. Ia pada asalnya teknik berkomunikasi yang bertujuan supaya seluruh masyarakat memahami sesebuah mesej. Tetapi kini, ia mengambil jalan pintas dengan membentuk pemikiran khalayak agar berpandangan serupa agar ia mudah dibentuk dan diyakinkan untuk menerima apa yang dikempenkan.

Mereka membentuk kehendak ‘aku mahu itu,’ ‘aku mahu ini,’ sama seperti orang lain sehinggakan sebuah masyarakat boleh terpesong melakukan kesilapan yang sama. Tetapi oleh kerana seluruh masyarakat melakukan kesilapan yang serupa, kesilapan itu sudah menjadi norma. Siapa yang betul, dia pula dianggap kera sumbang.

Seharusnya apabila ingin membuat keputusan dan seterusnya bertindak, kita patut ukur baju di badan sendiri, bukan di badan orang lain.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.6.2016.

1 comment: