Tuesday, June 14, 2016

MENARA GADING YANG TIADA NILAI



Piccredit: takepart.com

IJAZAH 
TIDAK MENJAMIN 
DI MANA KITA

MEMILIH bidang pengajian bagi seseorang pelajar pada hari ini adalah lebih bebas daripada dahulu. Jika pada tahun-tahun awal merdeka, seseorang yang melanjutkan pelajaran ke universiti memang semata-mata bertujuan untuk menimba ilmu, mendapat kerja yang baik dan membantu keluarga. Pelajaran di universiti memberi diri seseorang itu mobiliti sosial untuk diri dan juga keluarganya.

Oleh kerana universiti pada ketika itu tidak banyak, peluang kemasukan ke universiti amat terhad. Seseorang yang mendapat keputusan peperiksaan tingkatan enam yang benar-benar baik sahaja yang layak melanjutkan pelajarannya. Mereka yang benar-benar berhasrat melanjutkan pelajaran sanggup menduduki peperiksaan berkali-kali kerana menjejakkan kaki ke universiti adalah segala-galanya. Kerana itu, universiti sama diertikan sebagai menara gading. Istilah itu jarang dipakai pada hari ini, mungkin kerana terlalu banyak universiti telah terbina pada hari ini. Kerana itu, ia bukan lagi sesuatu yang istimewa seperti gading.

Bidang-bidang yang ditawarkan juga ketika itu amat khusus dan serius seperti kedoktoran, perakaunan, undang-undang, pendidikan, sejarah, antropologi, sosiologi, ekonomi dan kejuruteraan. Tidak hairanlah pendidikan universiti pada ketika itu melahirkan mereka yang berperwatakan serius, amat mementingkan disiplin dan etika profesion masing-masing.

Mulai pada tahun-tahun 70an, apabila negara mula sedang membangun, tenaga kerja berkemahiran amat diperlukan. Para pelajar di sekolah mula dipisahkan di kelas-kelas sains dan sastera. Pelajar-pelajar aliran sains diutamakan. Frasa ‘ini zaman sains dan teknologi’ meniti di bibir para pemimpin negara, ahli-ahli akademik termasuk guru-guru.

Oleh kerana universiti-universiti ketika itu adalah universiti awam, maka mudah bagi pihak kerajaan menjadikan universiti seperti kilang untuk melahirkan para graduan. Dunia pendidikan menjuruskan seluruh perancangannya agar melahirkan para pelajar supaya berkhidmat membina negara. Oleh kerana negara membangun dan berkembang begitu pesat, tenaga pakar yang lahir sentiasa tidak mencukupi. Kerana itu, lulusan universiti ketika itu tidak perlu risau kerana lulusan universiti pasti akan dapat kerja.
Akhir tahun-tahun 80an menyaksikan perkembangan institusi pengajian tinggi swasta. Kemasukan ke tempat-tempat ini agak lembab kerana kos pembelajarannya yang tinggi. Tenaga pengajarnya pula sukar diperoleh dari luar negara. Para pensyarah tempatan pun belum ramai yang punyai pengalaman mengajar.  Prestasinya belum meyakinkan. Dalam pada itu, banyak institusi pengajian tinggi swasta belum mampu mempunyai kampus melainkan menyewa bangunan sebagai bilik kuliah.

Menjelang tahun-tahun 90an dan berikutnya, dengan pertumbuhan ekonomi negara dan peluang pekerjaan, ia merancakkan pertumbuhan universiti awam dan juga swasta. Semua negeri mahu mendirikan universiti, kalau tidakpun kolej pengajian tinggi. Institut yang pelbagai pun tumbuh di merata pelosok bandar. Pusat pengajian tinggi swasta pun turut berkembang.

Ibubapa kepada anak-anak yang belajar di sekolah menengah adalah mereka yang membesar dengan melihat bahawa universiti sahajalah jalan pintas untuk memperoleh kehidupan yang selesa dan baik. Justeru itu, seboleh mungkin, mereka mahukan anak masing-masing melanjutkan pelajaran di universiti. Kerana itu, apabila anak masing-masing tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti awam, ke universiti swastalah tujuan mereka.

Tetapi, bukankah universiti swasta mahal yurannya. Bagaimana? Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN adalah jawapannya apabila ia tertubuh pada tahun 1997. Ia memberi kelegaan kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti melalui pinjaman wang. Membolehkan sesiapa yang mempunyai kelayakan minima untuk masuk universiti swasta yang semakin banyak.

Sedikit demi sedikit, konsep mewujudkan universiti sebagai menara gading atau sebagai kilang mengeluarkan tenaga kerja mula beranjak apabila pengajian universiti turut menjadi institusi komersial. Ada wang, sesiapa sahaja boleh masuk universiti. Negara pun mula mengenepikan pendekatan menjadikan universiti sebagai melahirkan pekerja untuk membangun negara.

Dunia tanpa sempadan membolehkan sesiapa sahaja mengimport pakar-pakar dalam mana-mana bidang yang diperlukan. Tiada kuota, tiada had. Akhirnya, mereka yang belajar di universiti keluar dan terkejut kerana tiada lagi kerja yang menunggu. Sudah tiada lagi anak-anak menjadi pembantu masa depan keluarga. Barangkali ada yang terus perlu ditanggung keluarga untuk melangsaikan pinjaman pendidikan. Jika tidak pun, ibubapa tidak boleh lagi mengharap apa-apa daripada anak-anak mereka yang berkelulusan universiti.


Senario pendidikan di negara kita sudah lama berubah. Dari segi pendidikan, apakah kita sedar bahawa kita tidak boleh lagi bergantung harap pada apa-apa untuk masa depan? Universiti sudah tidak menjamin pekerjaan. Simpan sahaja ijazah sebagai kenangan bahawa kita pernah sampai ke sana. Singsing lengan dan melangkahlah untuk mencari sesuap nasi kerana ilmu dan laba yang diperoleh di universiti kehidupan itu lebih realistik.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 15.6.16.

No comments:

Post a Comment