Tuesday, September 15, 2015

SENTIASA MENAPIS BERITA


 
Pic credit: igraphical.it
PERCAYAKAN ‘APA’
BUKANNYA ‘SIAPA’

PADA jam 3.00 pagi semalam saya terjaga lalu membaca print screen di telefon mengenai arahan cuti oleh  Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka pada Selasa 15 September akibat bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi bacaan 200.
Print screen itu saya peroleh daripada sebuah grup WhatsApp yang saya sertai. Tertera logo Astro Awani di sudut kiri mesej itu. ‘Mungkin berita betul, mungkin rekaan,’ kata hati saya. Maklumlah, banyak sekali maklumat yang tidak betul dijadikan berita make-believe atau berita yang beriya-iya benar oleh entah siapa dengan cara menampal logo sesebuah organisasi berita pada sesebuah viral.

Saya buka pula sembang kumpulan WhatsApp yang lain. Tertera mesej Twitter  yang sama dengan logo akhbar Berita Harian pula. Kali ini saya makin percaya bahawa berita cuti itu agaknya betul. Namun begitu, saya masih ragu-ragu. Lantas saya membuka laman web bernama.com, agensi berita rasmi negara. Di situ tertera berita yang lebih lengkap mengenai arahan cuti oleh pak menteri kerana IPU yang melebihi 200.
Kali ini, saya berpuas hati bahawa berita cuti ini adalah benar. Langsung saya pula mengambil snap shot berita di laman bernama.com  dan menyebarkan pula kepada kumpulan-kumpulan sembang yang lain. Bersama imej itu, saya nyatakan bahawa ‘berita ini sahih.’ Saya percaya, sebaran yang saya lakukan itu membantu sahabat handai saya.
Dari semasa ke semasa, kita akan menerima pelbagai berita dan maklumat dalam bentuk mesej, imej dan juga cerita. Kita mudah sangat mempercayainya. Mengapa? Kerana kita menerimanya daripada mereka yang kita kenal iaitu sahabat, kawan, pak long, pak usu, mak ngah, ayah wan, malah daripada bos kita sendiri. Jika kita mempercayai mereka, mengapa kita hendak persoal berita yang mereka sampaikan?
Pendirian untuk mempercayai orang yang terdekat lagi dikenali itu memang baik sebagai tanda menghormati dan tidak berburuk sangka dengan mereka. Namun, ia menjadi tidak bagus kerana kita sepatutnya percaya ‘apa’ dan bukannya ‘siapa’ yang menyampaikan sesebuah berita. Malangnya oleh kerana kita lebih mempercayai ‘siapa’ daripada ‘apa’ yang disampaikan, maka kita akan menelan bulat-bulat apa yang disampaikan oleh kenalan atau saudara kita itu.
Dia juga pada asalnya menerima sesebuah berita daripada orang yang dipercayainya. Dia menyampaikan pula kepada orang yang dikenalinya. Dan orang yang dikenali pula menyampaikan kepada mereka yang dikenali juga. Akhirnya, ia menjadi rangkaian yang mempercayai berita yang disampaikan oleh ‘siapa’ dan bukannya ‘apa.’ Itulah sebabnya mengapa berita-berita palsu tersebar dengan meluas bagai tiada hadnya.
Kelmarin pun tiba sebuah viral hadis mengenai ‘perlunya kita menyampaikan berita kedatangan bulan Zulhijjah jika tidak mahu dijilat api neraka.’ Dan hadis itu disebarkan oleh seseorang yang menggelarkan dirinya ustaz. Saya juga menerima hadis itu daripada seorang kawan di sebuah grup sembang. Mujurlah di dalam grup saya itu, ada seorang ustaz yang mempersoalkan sumber hadis itu. Katanya, hadis itu rekaan semata-mata kerana tiada bukti petikannya daripada mana. Dan dia sanggup menerima kesahihan hadis itu seandainya jelas sanadnya. Dengan teguran itu, hadis tersebut tidak disebarkan oleh sesiapa di dalam grup kami.
Akhir-akhir ini,  kita mudah terpengaruh dengan ‘siapa’ daripada ‘apa’ yang disampaikan. Namun, di dalam suasana akhir zaman di mana maklumat yang berlegar di alam siber bersimpang-siur hingga berselirat, yang benar bercampur dengan yang batil, yang batil disolek seolah-olah benar, maka kita perlu sentiasa peka dengan ‘apa’ yang disampaikan walaupun ‘siapa’ yang menyampaikan itu adalah orang yang paling dekat dan paling dipercayai oleh kita.
Ini adalah kerana, ‘siapa’ itu mungkin sekali memperoleh maklumat yang tidak sahih daripada ‘siapa’ yang dipercayainya. Sedangkan ‘sesiapa’ itu tidak punyai kemahiran menapis maklumat untuk mempastikan apa yang diterimanya itu berupa maklumat sahih atau sebaliknya.
Dan ya, mungkin kita tidak akan disenangi kerana asyik mempersoal apa jua berita yang disampaikan oleh kenalan kita. Walaupun si penyampai akan berasa segan dengan kita, dia akan berfikir dua kali sebelum menyebarkan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti kesahihannya.
Di akhir zaman ini, orang yang lebih pandai pun perlu diajar ilmu menapis maklumat.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
- al-Hujurat, 6
 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.9.2015.

No comments:

Post a Comment