Tuesday, September 22, 2015

MEMBERI ATAU TIDAK?


Piccredit:ohdunia.my
 
GOLONGAN PEMINTA DI JALANAN

PADA hari ini, kita biasa terserempak dengan pelbagai golongan yang meminta-minta di jalanan. Ada yang meminta sedekah secara terus iaitu menadah tangan, mangkuk atau tempurung mengharap wang. Ada juga golongan yang menjual sesuatu agar kita membeli dan juga bersedekah. Ada juga yang terus meminta derma.

Saya teringat golongan yang meminta sedekah secara terus, bukan dengan cara menjual ataupun secara meminta derma. Ahad lalu, saya tertarik bila terdengar bunyi alunan muzik harmonika. Bila saya menekur, kelihatan seorang peminta sedekah yang tertiarap di lantai di celah-celah kaki laluan pengunjung di pasar Meru, Klang. Bunyi alat muzik itu datang daripada sebuah telefon bimbit di sisinya. Saya tersenyum bila nampak dia terkial-kial mengemam sebuah harmonika yang diambnil dari poketnya. Berlakon konon-kononnya muzik itu datang dari tiupannya. ‘Ini auta peminta sedekah di pasar-pasar,’ detik hati saya.

Saya pernah terjumpa dengan peminta sedekah yang kononnya bernyanyi, padahal suara nyanyian itu datang daripada perakam suara yang disangkut di pinggangnya. Dia miming sahaja. Suasana kebisingan pasar membuat mereka menggunakan alat muzik untuk menarik perhatian.

Di simpang-simpang jalan, berhampiran dengan lampu isyarat juga terdapat mereka yang meminta. Apabila kenderaan berhenti menanti lampu hijau, peminta-peminta  ini akan datang menadah tangan dari kenderaan ke kenderaan. Ada juga yang lebih berani. Mereka mengetuk cermin sambil membuat muka sepuluh sen, tetapi mahu sekurang-kurangnya seringgit.

Di medan-medan selera pula terdapat pasangan peminta. Seorang celik yang bertugas sebagai pemimpin si buta. Mereka mengutip wang dari meja ke meja. Di pekarangan masjid lain pula cara mereka. Tempat mereka ialah di sudut-sudut lorong pejalan kaki. Biasanya terdiri daripada golongan wanita yang meriba anak kecil. Lazimnya anak-anak kecil ini semuanya tidur lena. Kata orang, anak-anak itu diberi ubat batuk supaya sentiasa terlelap. Wallahua’lam.

Golongan yang cacat seperti kudung kaki lazimnya pula bersepah di pasar tani atau pekan sehari. Mereka duduk di antara dua lorong sambil menggoncang cawan plastik untuk menarik perhatian. Sekali padang sememangnya kita berasa amat kasihan. Tetapi, bagaimana ya, dengan kecacatan sebegitu rupa mereka dapat berjalan begitu jauh ke hujung-hujung lorong. Pasti ada orang yang membawa mereka ke situ.

Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang kita tak boleh tafsirkan sebagai peminta sedekah kerana mereka menjual barangan seperti kertas tisu. Kita pun tidak sampai hati untuk mengambil sepaket bila mereka menghampiri. Akhirnya kita hulurkan seringgit tanpa mengambil barang jualannya. Dan, mereka memperoleh berpuluh ringgit hanya dengan menayangkan beberapa bungkus tisu.

Ada juga di antara mereka yang menjual keropok secara jualan langsung di stesen-stesen minyak. Mereka menghampiri tatkala kita sedang mengisi petrol. Harga keropok ikan yang mereka jual itu boleh dikatakan mahal hingga sepuluh ringgit sebungkus. Kualitinya pula belum tentu bagus.

Kita juga mungkin pernah berjumpa dengan makcik-makcik yang menjaja pelbagai jenis kerepek. Harganya juga boleh tahan. Sekali pandang, kita jatuh kasihan dengan makcik-makcik ini dan kita pun membeli. Soalnya, siapa yang bijak merekrut makcik-makcik ini menjaja sebagai pendekatan pemasaran hingga kita membeli kerana simpati dan bukan kerana perlu?

Budak-budak menjual kismis dan kalendar pula adalah golongan yang bergiat di kawasan R & R. Lazimnya mereka menunggu di luar surau. Wajah mereka comel-comel dan cantik-cantik. Sekali lagi kita membeli kerana kasihan. Mungkin juga kita hanya bersedekah dan tidak membeli kerana kasihankan mereka. Namun, jika kita menunggu dan mengintai untuk melihat apa yang mereka makan di gerai berhampiran, kita akan geleng kepala sambil tersenyum kerana terlebih simpati.

Mereka yang meminta secara langsung mahupun menjaja sedikit barangan sudah menjadi kebiasaan. Bagaimana pula dengan mereka yang meminta derma? Golongan ini akan kita temui di hadapan bank. Apabila kita menghampiri, salam akan diberi. Tak jawab, berdosa, kan? Lalu kita pun menjawab dan komunikasi sudah bermula. Apabila telah mengeluarkan wang, sekali lagi kita disapa supaya menderma. Maka, setelah bersapa sebentar tadi, kita terpaksa menunjukkan wajah yang manis lalu terhulurlah derma.

Tetapi, pernahkah kita tertanya, mengapa hari ini kutipannya untuk sekolah tahfiz, esok untuk mendirikan masjid, minggu depan pula untuk rakyat Palestin? Modus operandinya sama… duduk di hadapan tong yang ditutupi poster organisasi yang merayu simpati. Dahulu mereka hanya menggunakan tong biskut atau tong plastik besar. Kini sudah untung dan maju. Mereka sudah guna tong akrilik. Ada yang lebih berani. Mereka tinggal tong tanpa dijaga. Sampai masa, mereka hanya datang mengambil hasilnya.

Apakah kita bersedekah, membeli atau menderma apabila terjumpa mereka? Ramai yang memberi tanpa berfikir. Ramai yang buat-buat tidak nampak kerana tidak mahu menghulur. Ada juga yang buat muka ketat kerana tidak mahu memberi atau membeli.

Sebenarnya, jika kita tidak mahu bersedekah pun tidak mengapa kerana bersedekah itu sunat. Membeli pun harus. Yang tidak kena ialah apabila kita tidak menghulur tetapi memandang sinis kepada mereka. Yang elok, jika tidak mahu memberi pun, hulurkan sahaja senyuman. Bukankah senyuman itu juga adalah suatu sedekah?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.9.2015.

No comments:

Post a Comment