Tuesday, September 8, 2015

BAGAIMANA MENYUDAHKAN KERJA


 
Foto credit: biopharma-reporter.com
DI ANTARA BERNIAT DAN MEMASANG NIAT

SAYA temui lagi Hakim secara kebetulan ketika dia singgah untuk makan tengahari di sebuah restoran di Shah Alam. Pada Ahad lalu, saya menemuinya bersama ayahnya Halim di sebuah majlis perkahwinan di Rawang. Tanpa teragak-agak Hakim duduk semeja dengan saya di suatu sudut di luar restoran. Selesai makan, kami bersembang.

Di sepanjang perbualan, Hakim kerap menjawab panggilan. Jejarinya asyik menekan-nekan skrin telefonnya untuk melayani segala macam mesej. Tidak lama kemudian, saya nampak dia mengeluh dalam, bila telefon pintarnya degil mengikut arahannya. Telefonnya hang! Akhirnya, Hakim menutup telefonnya dengan wajah mencuka.

‘Sibuknya awak…’ ujar saya untuk mengalih perhatian apa yang sedang bermain di fikirannya. Hakim mengangkat kening sambil tercebir.  ‘Banyak problemlah pakcik. Pakcik ada idea tak, nak selesaikan masalah saya, ni?’ jawabnya dengan sebuah soalan pula.

Hakim adalah seorang Pengurus Perolehan yang sibuk. Bertugas di sebuah syarikat pengedaran produk import untuk kelengkapan rumah seperti cerucuk, papan, asbestos, jubin, sinki, paip, lampu dan seumpamanya. Selain daripada menghadiri bermacam-macam mesyuarat dengan pelbagai klien, Hakim perlu memantau segala permohonan untuk perolehan peralatan perumahan. Lulusan kejuruteraan awam di sebuah universiti tempatan ini perlu menghubungi pembekal, kontraktor dan hingga ke pemandu lori bagi mempastikan pesanan material sampai kepada pelanggannya.

Kata Hakim, dia terlalu sibuk dengan kerjanya. Sebelum masuk ke pejabat pun, dia sudah memulakan tugasnya di rumah. Segala macam e-mel, mesej dan foto sudah diterima di telefonnya. Dan dia terpaksa menjawab kesemuanya sebelum dia melangkah memasuki pejabat. Jika tidak, dia tidak akan sempat menghadiri pelbagai mesyuarat dan diskusi dengan bos atau klien-kliennya.

Telefon adalah suatu kemudahan. Tetapi ia juga suatu kepayahan apabila ia membolehkan sesiapa sahaja menjejaki kita. Jika dahulu timbul kata-kata, ‘jangan bawa kerja pejabat kembali ke rumah,’ kini kerja pejabat sudah ikut kita kembali ke rumah. Oleh kerana terlalu banyak kerja yang hendak dibuat, dia tidak tahu yang mana satu hendak mulakan. Dan, apabila memulakan, sesuatu tugasannya kerap tidak dapat dibereskan kerana menggagau pula untuk menyiapkan kerja yang lain pula. Kerana kesibukannya itu jugalah Hakim tidak dapat berekreasi.  Yang terkini, tunang Hakim kerap menjeruk rasa akibat tidak dipedulikan. Kata Hakim, dia tidak sempat memujuk tunangnya kerana memujuk pun mengambil masa.

Semakin lama, Hakim berasa terhimpit dan tension. Seolah-olah hendak makan pun tidak sempat. Hendak tidur pun fikiran masih lekat dengan soal kerja. Solatnya kerap terlewat, malah ada yang tidak tertunai. Katanya, tugasnya itulah yang menjadikan dia terikat dengan kerjayanya. Kata saya, jika kerja sudah mengikat kita hingga bagai terperangkap di dalam dunianya, itu bukan kerjaya. Itu ‘kergagal’ namanya.

Kesibukan urusan harian dunianya itulah yang menjadikan segala-galanya menjadi tunggang-langgang. Saya memberinya pandangan. Kata saya, kita semua tahu bagaimana untuk merancang tugasan. Tetapi ramai yang tidak dapat melaksanakan apa yang dirancang kerana tidak dapat fokus untuk menyudahkan sesebuah tugasan. Ia terjadi kerana kita merancang tetapi tidak memasang niat untuk menyudahkan rancangan itu.

Kata saya, memasang niat itu seperti kita berniat tatkala mengangkat takbir untuk memulakan solat. Apabila kita memasang niat, kita telah menetapkan untuk menyudahkannya hingga selesai. Maka kita tidak akan berhenti solat selagi kita tidak akhiri ia dengan salam. Mana pernah kita berhenti bersolat selagi ia belum selesai? Sesungguhnya, solat itu melatih untuk kita konsisten dalam melakukan sesuatu dari awal hingga akhir. Ia dapat dijayakan kerana kita memasang niat.

Tetapi, dalam lain-lain aktiviti dunia, kita sering terhenti di tengah jalan kerana kita hanya berniat, tetapi tidak memasang niat. Kita membuka telefon dengan niat untuk menjawab panggilan. Tetapi perbuatan itu melarat hingga kita membaca segala mesej Whatsapp, foto dan video. Kita pergi ke pantri untuk membuat secawan kopi. Tetapi kita singgah dahulu di meja rakan dan berbual hingga akhirnya hanya minum air kosong kerana waktu mesyuarat sudah tiba. Pada asalnya, kita hendak ke bilik mandi. Tetapi kita terhenti di depan televisyen dan duduk menonton siaran lawak hingga terlalai.

Jika kita hanya berniat untuk melakukan sesuatu, kita akan menyimpang daripada melakukan sesuatu yang diingini. Sebaliknya, bila kita memasang niat, kita memberitahu diri agar menyudahkan sesuatu dengan menetapkan tempoh siapnya. Fokus kita terhadap tugasan itu akan lebih jelas hingga kita tidak akan berhenti selagi kita tidak menyudahkannya.

Pendek kata, apabila memasang niat untuk melakukan sesuatu, ketepikan yang lain. Tumpukan apa yang dipasangkan niat itu sehingga selesai. Hakim mendapat sedikit pencerahan. Saya juga mendapat jawapan ke atas masalah yang saya alami. Masalah kerja yang banyak hingga bingung hendak menyudahkan yang mana satu adalah juga masalah saya.

Kerapkali kita dapat selesaikan masalah peribadi apabila kita memberi jalan keluar kepada orang lain!  
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.9.2015.

No comments:

Post a Comment