Tuesday, March 25, 2014

JIKA ANDA PANDAI BERCERITA...


Piccredit: thenovelistgame.com
 
ANDA NOVELIS DI KALANGAN KITA

APABILA Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan berita sedih bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi, saya kira bermulalah fasa ketiga dalam merungkai tragedi misteri yang dilalui kapalterbang MAS itu.

Fasa pertama ialah pencarian di Laut China Selatan dan fasa kedua adalah mengenalpasti samada pesawat itu terbang melintasi koridor utara atau selatan. Fasa seterusnya iaitu menemui lokasi sebenar inilah yang paling lama dan rumit. Berikutan dengan keadaan laut yang luas, ganas, dalam dan sunyi, usaha ini akan terus menjadi suatu operasi yang amat mencabar.

Selama tujuh belas hari kita dan dunia telah mengharungi detik-detik debarnya. Di hari-hari permulaan pencarian, apa sahaja yang ditemui kesemuanya dinafikan. Penemuan objek dan minyak di Laut China Selatan akhirnya disahkan bukan daripada MH370.  Apabila maklumat radar TUDM yang mendapati pesawat tersebut berpatah balik ke pantai barat semenanjung pada hari ketujuh kejadian, pencarian beralih arah pula di Lautan Hindi.

Dua hari kemudian, pengesahan bahawa MH370 terbang merentasi Lautan Hindi melalui data satelit China menjadikan tumpuan operasi terhala ke koridor selatan. Imej satelit Australia yang mencerap dua objek di lautan hampir mempastikan daerah penghujung penerbangan MH370.

Dengan pengesahan Perdana Menteri pada hari ketujuh belas bahawa di sanalah bersemadinya MH370, ia menjawab misi utama kita iaitu untuk mencari di manakah MH370. Cari kapalterbangnya dahulu, perkara lain yang hendak diselidik adalah perkara yang dikemudiankan.

Setakat ini, fokus dan keutamaan misi itu amat wajar. Banyak negara yang terlibat, pelbagai aset yang digunakan dan ramai tenaga manusia yang dikerahkan. Sebagai koordinator keseluruhan operasi besar ini, tentu sekali ketepatan fakta dan pengesahan maklumat itulah yang menjadi keutamaan buat Malaysia. Jika kita tidak cermat, mudah gelabah dan kelam-kabut dengan apa jua yang dikatakan petunjuk, maka ia menyerlahkan betapa lemahnya kita dalam mengurus krisis.  Ketelitian dan kecermatan ini pula pasti mengambil masa.

Ini yang menjadikan banyak pihak lain hilang sabar. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kepantasan sesuatu perkara itu berkembang, pihak media luar memang tidak sabar mencungkil berita. Kes kehilangan MH370 bukan kisah peperangan yang punyai pelbagai cerita api, asap dan darah. Ia juga bukan kisah demonstrasi rakyat terhadap pemerintah yang akan menyerlahkan contengan dan goresan keruntuhan. Ia bukan jua kisah kegemilangan dan kejayaan individu dan kumpulan yang penuh dengan irama keriuhan dan warna-warni kegembiraan.    

Malah, ia adalah kisah tragedi mencari sesuatu yang hilang. Bukan senang mencari benda yang hilang kerana tempat yang disangka hilang biasanya bukan setempat. Kunci kereta kita yang hilang entah di dalam almari, entah di atas sofa, entah di meja makan.  Kapalterbang yang hilang pun bukan mudah kita menemuinya. Sebab itu ia dikatakan hilang. Kalau siang-siang lagi mereka yang mencari itu tahu di mana kapalterbang itu hilang, ia bukan hilang namanya!

Namun begitulah kita juga yang sudah terlalu banyak melihat perang dan malang di layar televisyen sambil mengunyah kerepek. Kita anggap kesemuanya mesti berkembang pada setiap saat dan ketika. Barangkali juga kerana terbiasa menonton filem-filem Hollywood, tanpa kita sedar, kita terkeliru di antara realiti dan fiksyen.

Seperti kata Mark Twain, seorang penulis tersohor Amerika, ‘Truth is stranger than fiction, because fiction is obliged to stick to possibilities; Truth isn't.’ Ertinya, kebenaran itu tidak seperti fiksyen kerana fiksyen harus bersandarkan kepada segala kemungkinan. Tetapi, kebenaran tidak memerlukan itu semua. Barangkali kerana itulah saban hari ramai di antara kita yang cuba mencipta teori-teori konspirasi, cerita-cerita rekaan, gosip-gosip dan segala bentuk fitnah yang bila difikirkan secara logik, adalah amat logik sehinggakan segala sisi dan sudut tragedi itu difiksyenkan.

 Tidak pelik juga, oleh kerana ramai di antara kita yang tidak dapat membezakan di antara yang mana berita, yang mana cerita dan yang mana realiti, yang mana fantasi, maka ramai juga yang ternganga percaya. Ia menjadi hodoh bila kita yang tidak pandai menapis untuk menyisih di antara fakta dan auta. Hasilnya, semua cerita-cerita rekaan ini akan terus menjadi sub-plot tragedi misteri MH370 yang tidak berkesudahan.

Kita terlalu ramai pencerita di antara kita. Maka maaf cakap… alangkah elok jika kita yang pandai bercerita ini menghadiri kursus-kursus penulisan novel. Jadikan semua yang dikatakan berita-berita yang tidak bersumber ini menjadi cerita. Kita perlukan Tom Clancy, Clive Cussler, James A. Michener dan Eric Van Lustbader di antara kita.

Segala rencahnya sudah ada di depan mata!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 26.3.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, March 18, 2014

ILMU DISUKAI APABILA BERMAKNA


Piccredit: radio.iium.edu.my

MENYUKAI ILMU

DENGAN MENGUASAINYA

AHAD lalu, saya bersembang panjang dengan anak perempuan saya Nur Syakirine mengenai pelajarannya. Dia mengadu kepada saya yang dia belum dapat menguasai beberapa subjeknya kerana ia sungguh berbeza dari silibus tingkatan tiga. Saya katakan padanya,  ia adalah perkara biasa. Seseorang itu mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk memahirkan dirinya dengan sesuatu ilmu.

Dengan memadankan dunia kerjaya dan sumber manusia, kata saya, seseorang staf yang terpilih untuk menyandang sesebuah jawatan itu diberi antara tiga hingga enam bulan untuk menyesuai dan juga menguasai kerjanya. Seandainya dia berjaya, baharulah dia akan disahkan jawatan. Dengan membandingkan sebegitu, saya mahu anak saya yakin yang dia bakal menguasai matapelajaran dan silibus tingkatan empat dalam sebulan dua lagi kerana dia baharu sahaja mempelajari subjek-subjek itu sejak Januari lalu.

Bila anak saya berkata yang dia tidak meminati sesetengah mata pelajarannya kerana lebih meminati seni, saya katakan kepadanya, dalam apa jua perkara yang kita hadapi, kita perlu belajar untuk menyukai apa yang kita buat, bukannya buat apa yang kita suka. Cara itu akan membantu kita berjaya dalam dunia ilmu.

Petang kelmarin pula, saya bersembang secara maya dengan salah seorang rakan Facebook saya, Nina. Kami sebumbung di Kumpulan Media Karangkraf. Saya di Grup Sinar manakala beliau di Grup Buku. Nina bolehlah dikira sebagai  junior saya di Fakulti Senilukis dan Senireka UiTM walaupun saya belajar di situ pada tahun 70an sedangkan Nina belajar pada tahun 2003. 

Saya tertarik untuk menegurnya kerana dia membuat posting sebuah lukisan cantik Pray for MH370. Sentuhan lukisannya dipenuhi dengan bunga-bunga dan berwarna-warni. Ia kelihatan ceria tetapi retro. Minda saya terus berlari dan memaparkan imej-imej lukisan begitu tatkala saya belajar dahulu.

Gaya lakaran Nina menepati seseorang yang belajar dalam bidang tekstil, bukannya grafik sepertinya. Setelah bertanya, Nina berkata yang beliau sebenarnya ingin memasuki bidang tekstil tetapi terpilih untuk menyertai bidang grafik. Namun, setelah beberapa lama mengikuti pelajarannya, beliau akhirnya menyukai bidang itu. Ia suatu contoh bahawa kita akhirnya boleh menyukai sesuatu bidang yang kita tidak minati pada mulanya. Alah bisa tegal biasa.

Saya terpanggil untuk merenung terhadap dunia kerjaya saya. Meskipun saya mengambil senilukis, bidang ini secara khususnya tidak pernah menjadi kerjaya utama saya. Sebaliknya, di mana jua saya berada, walau apa pun jawatan yang saya sandang, entah bagaimana, tugas saya mesti menuntut saya untuk menulis.

Tidak kiralah samada saya menulis artikel, laporan, kertas kerja, minit, copywriting untuk iklan, kenyataan akhbar, berita dan cerita untuk buletin,  brosur, majalah dan akhbar; bidang penulisan menjadi salah satu bidang tugas saya walau di mana saya berada. Ia adalah ilmu yang saya asah secara tidak sengaja.

Saya teringat akan salah seorang bekas majikan saya Encik Zainuddin Abdul Rahman tatkala saya bertugas di syarikat pengiklanannya. Di antara kata-kata beliau yang masih saya semat hingga kini ialah, ‘untuk menguasai sesebuah bidang ilmu, kita perlu mulakan dengan menguasai 50 istilah dalam bidang yang diceburi.’

Tepat sekali kata-katanya kerana itulah yang sentiasa saya amalkan setiap kali apabila saya ditugaskan untuk melakukan sesuatu yang belum pernah saya buat. Alhamdulilah, meskipun pada asalnya saya orang seni, saya dapat melakukan kerja-kerja kejurulatihan, undang-undang, perakaunan, perundingan, pemasaran, sumber manusia, perbukuan dan kini persuratkhabaran.

Dalam dunia ilmu yang semakin pantas dan terdedah ini, sesuatu bidang ilmu itu amat mudah dipelajari samada secara sengaja mahupun secara kebetulan. Dalam seminggu dua ini, kita mula mengenali istilah-istilah dalam ilmu penerbangan. Secara asasnya kita sendiri boleh bercakap hal-hal aeronautik kerana mula faham istilah-istilah seperti radar, air turn-back, ping, satelit, transponder, SAR dan ACARS.  Walhal sebelum insiden MH370, hal-hal penerbangan agak asing buat sebahagian besar daripada kita.

Tak kenal maka tak cinta. Samada secara tidak sengaja ataupun terpaksa, sesuatu bidang ilmu itu boleh dikuasai jika kita terus memberi fokus terhadapnya. Ilmu menjadikan kita alim iaitu orang yang menguasai ilmu itu. Cara yang pantas menguasai sesuatu bidang ilmu itu ialah dengan memahami istilah-istilah asas bidang ilmu itu. Istilah-istilah itulah yang memberi makna kepada bidang ilmu itu. Sesuatu yang bermakna itu akhirnya akan diminati si pengamalnya.

Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 19.3.2014.

Tuesday, March 11, 2014

BERTEMU DAN BERPISAH ITU BUKAN PILIHAN


Piccredit: pitterpatter.com
MENGENANG
MEREKA YANG HILANG
 

TATKALA anda menatap tulisan ini, sudah masuk hari keempat peristiwa kehilangan pesawat MH370 berlaku. Di dalam hati, buat kali pertama sebagai orang surat khabar, saya mengharapkan ayat pertama tulisan saya tadi sudah out-dated. Maksud saya, biarlah ayat tatkala saya sedang menaip pada 10 March ini tersasar kerana MH370 telah ditemui bila anda membaca tulisan ini pada hari ini. Itulah harapan saya dan harapan seluruh rakyat Malaysia, malah harapan manusia yang merasai erti kehilangan.

Manusia tidak suka kepada kehilangan. Kerana itu manusia takut apabila kehilangan berlaku meskipun walau seketika. Kunci kereta yang hilang kerana tersilap letak hingga memungkinkan kita terlewat ke pejabat boleh menimbulkan kebimbangan. Anak kita yang hilang di gedung pakaian, meskipun hanya kerana dia bersembunyi di sebalik rak pakaian sudah cukup mencemaskan.

Apabila kehilangan itu seketika dan yang hilang itu kembali, alangkah leganya kita. Alangkah bersyukurnya kita kerana situasi itu memberi kita peluang untuk menjaga apa yang muncul kembali itu agar tidak hilang lagi. Ia juga memberi kesedaran bahawa rupa-rupanya selama ini kita amat menyayangi apa yang telah kita hilang itu. 

Mungkin kita bersikap ‘asal ada’ atau taking things for granted selama ini maka kita terlupa untuk memberi waktu kepada yang kita sayangi. Maka bila yang hilang itu kembali, maka ia adalah peluang yang kedua untuk kita memperbetul kealpaan selama ini.

Namun, bagaimana pula jika yang hilang itu tidak akan kembali lagi lebih-lebih lagi jika ia adalah insan yang hampir dengan kita? Jika selama ini kita mengabaikannya, rasa terkilan akan menggunung. Ia akan menyesak perasaan dan menimbulkan kemurungan hingga memakan waktu. Tidak mustahil bila ia menjadi trauma yang berpanjangan. Ia berlaku kerana kita terlepas peluang untuk menunjuk kasih kepada yang hilang.

Bagaimana pun, perasaan yang sama juga akan dirasai seandainya kita telah memberi kasih sepenuhnya kepada yang telah hilang itu selama ini. Meskipun tidak terkilan kerana sentiasa memupuk perhubungan dengan yang tiada lagi itu, namun rasa kehilangan tetap ada kerana banyak sekali saat dan ketika bersama itu sudah tidak boleh lagi dilalui bersama. Hari-hari kehidupan Skrip kehidupan tatkala memadu kasih, menjalin persahabatan dan menyimpul ukhwah sudah berubah sejak kehilangan dia. Jika kita masih membayang, memimpi dan mengharap pada apa yang tidak akan berulang lagi, maka kesedihan akan sentiasa melanda.

Jangan begitu. Jika kita melalui zaman yang manis-manis sahaja bersamanya selama ini, biarlah ia tersimpan sebagai kenangan yang manis jua. Mengapa pula mahu meneruskan hari-hari esok dengan yang pahit? Bukankah setiap sesuatu itu tidak kekal? Bukankah setiap sesuatu itu ada waktu, ruang dan ketikanya?

Anggaplah apa yang telah dilalui dalam suasana yang harmoni dan penuh kasih selama bertahun-tahun itu sebagai sebuah skrip kehidupan. Apabila yang disayangi itu sudah tiada lagi, skrip kita yang tinggal perlu berubah. Jika tidak dapat dilakukan dengan cepat, kita mesti bertatih untuk mengalih mata dan hati untuk melihat hari esok. Yang pergi sudah direhatkan. Kita yang tinggal ini masih perlu meneruskan kehidupan.

Ada ramai lagi teman-teman yang sanggup menemani dan menghibur. Meskipun tidak sama dengan yang telah tiada, itulah jalan yang harus ditempuhi. Sedangkan bertemu itu bukan pilihan apakah berpisah juga itu suatu pilihan?

Kerana itu, kita yang sudah penuh dengan kasih sayang selama bersama yang telah tiada itu harus menumpahkan pula kasih yang diberi kepada mereka di sekeliling kita. Ramai sekali manusia lain yang memerlukan kasih sayang untuk memberi mereka harapan untuk menghidupkan jiwa mereka.

Dalam pada itu, berdoa, berdoa dan berdoa sahajalah kita kepada yang telah hilang. Itulah sahaja kiriman kasih yang boleh kita layangkan untuk yang telah pergi. Mudah-mudahan apa yang telah hilang itu akan kembali dan muncul di depan mata. Menghidupkan bunga-bunga kasih dan persahabatan yang mula layu. Mengembalikan riang ria dalam kehidupan. Memberi kita ruang dan peluang sekali lagi untuk menyimpul kasih sayang hingga tiba saat perpisahan yang abadi.
 
Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.3.2014

Tuesday, March 4, 2014

MENGUBAH PADANG PERMAINAN



Piccredit:  naveenoey.wordpress
TIGA SITUASI SEBELUM
BERFIKIR DI LUAR KOTAK

SAYA terpinga-pinga apabila Arney Syema, Ketua Meja Hiburan, Sinar Harian melaporkan mengenai sebuah filem Malaysia, The Journey telah mencipta sejarah kutipan melebihi RM15 juta setelah sebulan penayangannya. Kutipan itu mengatasi kutipan filem KL Gangster iaitu RM11.74 juta pada tahun 2011. Wah!

Saya takjub kerana tidak pernah terdengar nama filem itu sebelum ini. Apatah lagi, ia bukannya filem besar Hollywood, Bollywood mahupun filem dari Hong Kong. Sebaliknya ia adalah filem Malaysia, dilakonkan oleh sebahagian besarnya rakyat Malaysia, berlatarbelakangkan Malaysia dengan kisah Malaysia. Apabila meneliti senarai para pelakonnya, saya tidak kenal walau seorang pun daripada mereka. Bagaimanakah filem yang dilakonkan oleh mereka yang tidak terkenal itu mendapat sambutan box-office?

Semakan saya di ketiga-tiga rangkaian pawagam besar tanahair iaitu Tanjung Golden Village, Golden Screen Cinemas dan MBO Cinemas menunjukkan filem itu akan terus ditayangkan sekurang-kurangnya sehingga hari Rabu (hari ini) iaitu hari penjadualan pertunjukan bagi minggu seterusnya. Oleh kerana waktu tayangan di sesetengah rangkaian masih melebihi lima pertunjukan sehari, malah ada pawagam yang tiketnya sold-out, saya percaya filem itu akan disambung tayangannnya sekurang-kurangnya untuk seminggu lagi. Ini satu rekod yang sukar diatasi filem-filem lain dalam waktu terdekat ini.

The Journey punyai jalan cerita yang mudah. Ia mengisahkan Chuan, seorang bapa yang konservatif. Apabila anaknya Bee kembali ke tanah air bersama Benji untuk berkahwin, Chuan enggan merestuinya kecuali jika ia diadakan mengikut tradisi.

Salah satu syaratnya ialah, Benji harus menghantar sendiri kad-kad perkahwinannya. Dengan sebuah motorsikal buruk, Benji dan Chuan meredah ke merata pelosok tanahair menemui kawan-kawan lama Chuan dalam misi menghantar kad-kad jemputan itu. Dalam perjalanan, mereka mengenali di antara satu sama lain. Ini memekarkan persefahaman dan kasih sayang. Saya kira, nilai-nilai universal inilah yang menjadi pelaris filem The Journey.

Filem berbentuk drama ini menafikan tanggapan bahawa masyarakat Malaysia mahukan filem-filem jenaka dan seram. Kononnya, oleh kerana permintaan ramai, oleh kerana filem-filem genre ini popular, maka filem-filem sebeginilah yang dibikin untuk para penonton. Bagaimana pun, fakta menunjukkan bahawa kutipan filem-filem seram dan jenaka ini semakin merosot.

Daripada semasa ke semasa, apabila masyarakat sudah mangli dengan sesuatu perkara, pasti muncul sesuatu yang berbeza hingga mengubah trend. Pada tahun-tahun akhir 90an, tatkala industri buku Malaysia begitu malap dan kata-kata bahawa ‘rakyat Malaysia malas membaca’ dan ‘rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman setahun,’ sebuah syarikat penerbitan buku iaitu Alaf 21 telah mengubah padang permainan industri buku melalui pendekatan pemasaran mutakhir.

Mereka gunakan pengiklanan di media massa, promosi, pemasaran di kedai, mengglamorkan penulis, membayar royalti empat kali setahun dan menurunkan harga buku. Hasilnya, jualan standard iaitu hanya 3,000 naskhah setahun untuk sesebuah judul telah berubah mendadak hingga sesebuah judul itu dapat dijual sehingga 30,000 naskhah setahun.

Begitu juga, tatkala masyarakat sudah bertahun-tahun bosan dengan berita-berita politik yang hanya condong kepada sesebuah parti politik yang menjadi tuanpunya akhbar, pada tahun 2006, Sinar Harian muncul sebagai akhbar yang bebas kerana ia tidak dipunyai oleh mana-mana individu atau parti politik. Sejak itu, berita politik yang selalunya berpihak sudah neutral. Hari ini, Sinar Harian diterima sebagai sebagai sebuah akhbar pilihan meskipun usianya baharu lapan tahun. Ia kini adalah akhbar dalam talian berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia. Malah, maklumat Alexa, sebuah syarikat maklumat laman web, Sinar Harian menduduki tangga ke-20 dalam 500 laman web Malaysia yang paling kerap dilayari.

Dalam apa jua tindakan, inspirasi yang terhasil daripada impian itu sebenarnya boleh mengubah persepsi mahupun kegilaan masyarakat. Sesebuah trend yang semakin lama semakin malap dan mengendur sebenarnya memberi peluang bagi mana-mana pihak supaya tampil lalu menerajui sesebuah bidang itu.

Hidup ini juga adalah perlumbaan. Dan pelumbaan pada hari ini tidak semestinya hanya akan dimenangi oleh siapa yang memulakannya dahulu. Lagi pula, garis penamatnya sentiasa beranjak semakin jauh di horizon. Apa yang perlu dilakukan oleh sesiapa atau mana-mana pihak untuk memenangi perlumbaan itu ialah dengan berfikir di luar kotak.

Namun, sebelum berfikir di luar kotak, kita mestilah mengambilkira tiga keadaan kotak itu. Pertama, apakah kotak itu punyai apa-apa isi sebelum kita keluar daripadanya? Kedua, apakah kotak yang itu kosong hingga ia tidak memberi kesan samada kita berfikir di luar atau di dalam kotak itu. Ketiga, apakah kotak itu benar-benar wujud kerana andainya kita asyik memikirkan kotak yang tidak wujud, kita hanya memikirkan beban yang tidak ada.
Artikel ini akan terbiot di akhbar Sinar Harian pada 5.3.2014, insya-ALLAH...