Piccredit: psychotherapisttoronto.org
JANGANLAH
MARAH-MARAH LAGI
JANGANLAH
MARAH-MARAH LAGI
PERNAHKAH kita dimarahi? Apa perasaan kita tatkala dimarahi? Perasaan malu,
takut, kesal dan sakit hati bercampur-baur di dalam fikiran. Jika kita tidak
tergamak untuk melawan balik, barangkali perasaan ingin menjawab kata-kata
orang yang memarahi itu terlintas di fikiran.
Setelah semuanya berakhir, rasa malu, takut, kesal dan sakit hati itu tidak
berhenti sebaik sahaja orang yang memarahi kita itu berlalu. Sebaliknya,
perasaan-perasaan negatif kekal berlegar-legar di dalam fikiran. Kita akan
terfikir, alangkah baik jika kita bertengkar sahaja dengan orang yang memarahi
kita. Perasaan sedih dimarahi membuat kita berasa seolah-olah kitalah orang
yang paling malang di dunia ini. Kesannya, kita tidak lalu makan pada hari itu.
Namun, pernahkah kita terfikir apakah yang bermain di fikiran orang yang
memarahi setelah dia berhenti bersyarah di hadapan kita? Besar kemungkinannya,
sebaik sahaja dia mengangkat kaki meninggalkan kita, kemungkinan besar dia akan
minum kopi, membuka laman facebook,
berbual dengan rakan-rakan, menjawab telefon atau buat bodoh sahaja.
Seterusnya, dia akan menonton televisyen, berjalan-jalan, bershopping dan melakukan apa yang
disukainya. Pagi tadi, seminit selepas dia meleteri kita selama sejam, dia dah lupa apa yang dia telah katakan kepada
kita. Benarkah dia begitu? Benar.
Jika tidak percaya, tanya diri kita sendiri. Bukankah kita juga pernah
memarahi orang? Bukankah kita juga boleh lupa akan sumpah seranah kita begitu
sahaja setelah kita menghamburkan kemarahan walaupun ketika memarahi, wajah
kita lebih garang daripada singa?
Justeru itu, buat apa kita bermuram durja sampai ke malam hingga tidak
boleh tidur kerana dimarahi pada waktu siangnya? Mengapa kita asyik memikirkan
episod dimarahi itu sedangkan orang yang memarahi kita itu sudah melupakannya?
Ironinya, apabila kita berada di tempat sebagai orang yang memarahi, apakah
kita pernah terfikir kesan kata-kata kita terhadap orang yang kita marahi itu? Apakah
kita punyai pertimbangan bahawa kemarahan kita itu mungkin sudah merosakkan
hari dan hati orang itu? Atau mungkin juga kita telah merobek egonya hingga dia
begitu malu dengan dirinya sendiri.
Mengapa terjadi begitu? Jika kita boleh melupakan sahaja kemarahan kita itu
sejurus setelah melakukannya, apakah kita bukan betul-betul marah tetapi hanya
berlakon marah? Ataupun apakah kita tidak serius bila memberi kuliah berbisa
itu? Renungkan kembali.
Jika kita boleh melupakan apa yang kita marahkan itu, mungkin sekali isunya
tidaklah begitu serius hingga perlu disampaikan secara berapi-api. Mungkin juga
kita sebenarnya hanya melepaskan kemarahan secara membuta tuli. Setelah angin
kemarahan itu hilang, kita berasa puas hati menyusahkan hati orang lain lalu
kita angkat kaki. Adilkah? Tepatkah cara begitu?
Mengapa tidak kita pasang niat terlebih dahulu sebelum memarahi seseorang? Dengan
cara itu, kita sedar akan apa yang ingin kita lakukan. Apabila kita peka dengan
apa yang ingin kita buat, baharulah kita dapat jelmakan kemarahan itu menjadi
sebuah teguran.
Bila kita marah, pada saat itu kita amat mementingkan diri kerana bertindak
untuk melepaskan apa yang bersarang di hati. Sebaliknya, apabila kita menegur,
ia adalah untuk kebaikan orang yang ditegur. Hakikatnya, komunikasi berbentuk
teguran itu adalah untuk membetulkan orang itu. Yang penting, tindakan kita itu
berhasil dan bukannya sia-sia.
Lagi pun, apabila kita menegur, ia menjadi lebih objektif iaitu memperbetul
sikapnya bukan orang yang ditegur itu. Maknanya, ‘aku bukannya marah engkau,
tetapi sikap engkau.’ Kita menegur apabila tidak suka kepada salah satu aspek
orang yang ditegur itu. Kerana itu ia menjadi kecil. Oleh sebab ia kecil,
tindakan kita tidak perlu over hingga
menaikkan tekanan darah sendiri.
Apabila ia objektif, orang yang ditegur itu tidak akan berasa terhina.
Kesannya, dia hanya tersentap seketika dan dia tidak akan mengulangi kesilapan.
Hasilnya baik untuk kedua-dua belah pihak. Oleh kerana menegur itu lebih tertib,
objektif dan berkesan daripada memarahi sedangkan tujuannya adalah sama, buat
apa kita guna pendekatan marah-marah lagi?
Daripada Abu Hurairah
bahawa Rasulullah telah bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang
selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang
yang dapat mengawal diri ketika marah.”
Marah itu api. Menegur itu bara. Kesannya
tetap terasa.
Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.2.2014.
No comments:
Post a Comment