Tuesday, February 11, 2014

PELAKON DI ANTARA KITA


 
Piccredit: avinashnagarajan.com
APABILA KITA SEMAKIN PANDAI BERLAKON

MESKIPUN cucu sulung saya Hannah Hilman belum pun berusia setahun, kami sudah merakam beratus-ratus fotonya. Sejak berusia sehari, hingga dia meniarap, merangkak dan diajar bertatih, ada sahaja aksinya terakam. Dek kerana biasa dengan lensa, Hannah tidak pelik mendengar bunyi klik kamera. Malah, dia boleh tersenyum dan posing sebaik sahaja dia nampak kami menghalakan kamera ke wajahnya.

Saya percaya ramai lagi bayi lain yang tidak takut dengan kamera kerana sudah terbiasa. Malah ada ibu bapa yang sudah mengambil foto anaknya di peringkat janin melalui ultrasound. Begitulah betapa biasanya kanak-kanak sekarang dengan kamera. Agaknya, suatu hari nanti, akan ada bayi yang keluar dari rahim si ibu siap dengan senyuman dan menyebut ‘cheese’ bila nampak lensa kamera si ayah menyambut kelahirannya ke dunia!

Kita pun apa kurangnya. Sejak kemudahan kamera dimuatkan ke dalam telefon, kamera sudah tidak merengsakan lagi. Ada sahaja situasi yang membuat kita rakam secara selfie dan kemudian dimuatnaik ke dalam laman sosial untuk tatapan kawan-kawan. Kini, hari-hari kita berfoto. Bukan setakat setahun sekali untuk foto kumpulan darjah atau berfoto di studio pada hari raya.

Pada waktu dahulu, di zaman kamera kotak, ramai yang tak senang duduk bila nampak jurugambar mengendong kamera.  Ada yang terus jadi kejang dan sejuk tangan dan kaki kerana takut melihat kamera. Ada yang puas ditarik untuk bergambar tetapi tetap menolak kerana tidak mahu. Tidak bawa sikat atau baju berbau menjadi alasan kerana malu.

Bila bergambar berkumpulan pun ramai yang masih segan hendak berposing. Kerana itu, gaya yang paling mudah tatkala bergambar secara kumpulan ialah dengan gaya panca sitara, iaitu berdiri menyendeng dengan ibu jari menyentuh pipi. Yang berani sedikit akan bergaya seperti James Bond dengan jari telunjuk dan ibu jari terpacak seperti pistol. 

Dahulu, kepercayaan karut ialah, bergambar bertiga itu tidak baik. Orang kata, jika bergambar bertiga, salah seorang daripada yang bergambar itu akan mati. Padahal, bukan setakat ketiga-tiganya akan mati, malah empat orang akan mati iaitu si jurufotonya juga, bila sampai ajalnya. Begitulah kepercayaan, tabiat dan persepsi kita terhadap kamera.

Betapa pun, kata-kata bahawa sekeping foto itu mempunyai seribu cerita atau a picture is worth a thousand words itu ada benarnya. Sekeping foto itu adalah bukti mengenai sesuatu situasi mahupun insiden. Ia adalah dokumen yang boleh dijadikan bukti. Bagaimana pun, ia tidak semestinya benar kerana kebenaran itu terletak pada saat kamera dipetik.

Contohnya, seorang gadis yang cantik, fotogenik dan sedia menghulurkan senyuman tatkala berdepan dengan kamera, boleh sahaja menahan bersin pada saat kamera dipetik. Hasilnya, gadis yang bermata bundar itu menjadi sepet, bibirnya yang tersenyum berubah berkerinyut dan hidungnya bak seludang itu berubah menjadi seperti jambu air. Si cantik sudah menjadi si hodoh!

Menyedari peri pentingnya momen yang istimewa inilah maka dalam dunia peragaan dan pengiklanan, berpuluh-puluh keping foto diambil hanya untuk menentukan sekeping foto terbaik buat dijadikan iklan atau wajah muka depan sesebuah majalah. Justeru itu, lakonan yang terbaik itulah yang terpilih.

Tokoh politik pun sudah pandai memperagakan diri di hadapan kamera. Tidak kira menteri mahupun pemimpin kecil, masing-masing semakin galak beraksi di depan kamera. Sudah menjadi kebiasaan bila pak menteri menghentikan aksinya buat beberapa saat supaya sekumpulan jurufoto sempat merakam dia menghulur sekampit beras untuk mangsa banjir dengan penuh bergaya. Malah, ada yang sanggup untuk ambil second take, berlakon sekali lagi apabila ada jurufoto tidak sempat merakam posingnya.

Di pejabat akhbar atau majalah pula, editor foto sekali lagi akan memilih gambar yang tercantik, paling terang dan yang paling manis senyuman untuk dipaparkan. Andainya kita tidak pernah bertemu dengan seseorang pemimpin itu, foto senyuman lebarnya itulah yang terlekat di minda kita. Ia membina persepsi bahawa pemimpin itu orang yang baik pekertinya.

Sesungguhnya, apakah yang kita lihat itu benar? Benar. Tetapi bukan yang benar sepenuhnya. Samada ia foto pak menteri, model, mahupun diri kita sendiri, apa yang terpapar di dada akhbar mahupun di laman sosial itu hanyalah foto terbaik, tetapi ia bukan rakaman mood keseluruhan situasi itu.

Walaupun ia bagus kerana kita perlu mempamerkan yang bagus atau yang elok buat tatapan semua, tetapi apabila berfoto itu sudah menjadi suatu gaya hidup, semakin ramai di antara kita yang semakin galak berlakon.  Dikhuatiri apabila kita sentiasa melakonkan yang indah-indah, kita terlupa dengan apa yang kurang, yang tidak molek diri sendiri sedangkan bukankah itu realiti?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 12.2.2014, insya-ALLAH...

2 comments:

  1. saya suka dengan entry tuan. sampai sekrang saya masih menyimpan foto saya sewaktu kecil ( mak yg berikan). itu adalah moment yang sangat indah untuk saya kongsi dengan anak. setuju juga dengan pendapat tuan, yang ramai yg berlakon didepan kamera untuk memberikan satu pose kepada dunia walhal disebaliknya..tidak pernah nak berjabat tangan. waallhulam

    ReplyDelete
  2. Betul, Ija Rased. Oleh kerana hampir setiap hari kita bergambar, kita ni artis juga, ya? :)

    ReplyDelete