Piccredit: jessy-scarlet.deviantart.com
MENJADI HERO
YANG DISUKAI
YANG DISUKAI
BARU-BARU ini saya bersembang dengan seorang remaja yang sedang giat menulis novel pertamanya. Dalam perbualan kami, dia bertanya saya, bagaimanakah hendak melahirkan watak hero yang disukai pembaca? Jawab saya, selain daripada melakarkan fizikalnya yang menyenangkan iaitu yang hensem, tegap dan sentiasa penuh dengan senyuman, saya juga menyatakan peri pentingnya kita menggarap mental hero itu. Hero mestilah seseorang yang berfikiran positif serta mempunyai motivasi yang tinggi.
Dia
adalah seseorang yang fokus terhadap apa yang diingininya. Ia adalah kompas
kepada segala tindak tanduknya. Apa sahaja yang dilakukannya mestilah ke arah
matlamatnya. Oleh sebab motivasinya tinggi, dia melihat segala masalah sebagai
peluang dan halangan pula sebagai cabaran.
Dia
tidak boleh berputus asa dan berfikiran negatif. Pendek kata, membujur lalu,
melintang patah. Datanglah apa jua halangan, dia tidak akan peduli. Dia akan
berfikir dan bertindak mengatasi apa sahaja yang mendatang bagi mencapai
matlamatnya.
Pembaca
sukakan watak yang sebegini kerana mereka jelas akan kehendak si hero. Hero
yang tegas disukai kerana dia tidak teragak-agak. Oleh sebab dia bertindak
dengan yakin, pembaca pun turut konfiden dengan watak ini, langsung
menyukainya.
Dalam
dunia realiti pun, kita juga melihat sesetengah daripada mereka yang berada di
depan mata sebagai hero. Sama ada dia orang tua, orang terhormat, artis, ahli
sukan, ustaz, pensyarah, guru mahupun ahli-ahli politik, secara bawah sedar, kita
menganggap mereka sebagai hero atau idola kita. Tindakan mereka memberi kesan
terhadap kita kerana mereka adalah watak di pentas kehidupan kita.
Dalam
dunia yang semakin rancak dengan sandiwara di mana garis pemisah di antara
fiksyen dan realiti itu semakin kabur, tidak boleh tidak, kita mahukan karektor
hero dari kalangan para pemimpin kita. Kerana itu kita mahu pemimpin kita seseorang
yang jelas dengan apa yang dia mahukan. Dia juga perlu cepat dan tepat membuat
keputusan. Pemimpin kita tidak boleh membuat kita ternanti-nanti untuk melihat
apa yang mereka hendak lakukan apabila masalah datang bertandang.
Dalam
era yang serba pantas ini, reaksi yang lewat daripada 24 jam sudah dikira terlambat.
Jika pemimpin kita berdiam diri seolah-olah tidak sedar dengan apa yang menjadi
cabarannya, kita akan berasa bosan. Kita mahu pemimpin kita bertindak. Sama ada
keputusan yang dia lakukan itu betul atau salah, ia tidak menjadi keutamaan.
Tindakan
yang betul akan kita sanjungi. Bagaimana pun, tindakan yang tidak menepati cita
rasa kita, yang tentunya tidak popular akan dihormati seandainya kita lihat pemimpin
kita itu tegas dengan keputusannya. Dalam pada itu, tindakan pemimpin kita yang
salah itu akan kita terima asalkan dia berani memohon maaf.
Jika
kita lihat daripada sudut pandang yang sebaliknya di mana kita menjadi hero di
mata orang lain, kita juga perlu pantas membuat
keputusan dan segera bertindak. Bukannya membuat keputusan tetapi tidak
bertindak. Ataupun bertindak tanpa keputusan.
Dalam
pada itu, kita tidak boleh mengumpul terlalu banyak maklumat, mengirai beranika
data atau merujuk kepada pelbagai sumber sebelum membuat keputusan. Seandainya
kita begitu, kita tidak belajar daripada kisah Luqman al-Haqim, anak dan
keldai. Dalam kisah itu, dek kerana terlalu mengikut komen orang, akhirnya
mereka yang memikul keldai, bukan menunggangnya.
Terlalu
banyak pertimbangan di dalam kepala menjadi kita terlalu akademik kerana terlalu
teoris. Justeru itu, kita perlu selalu bertindak mengikut gut feeling atau menurut rasa hati. Namun, rasa hati yang
dimaksudkan bukan semata-mata mengikut sesedap hati. Rasa hati yang begitu
dikhuatiri disalut dengan nafsu.
Sebaliknya,
naluri atau gut feeling yang baik
ialah yang mengikut cara yang Rasulullah saw sarankan iaitu melalui solat sunat
istikharah. Solat sunat itu juga akan menghasilkan gerak hati atau gut feeling yang terkawal. Kaedah itu membolehkan
kita membuat yang cepat tetapi jitu. Kita, sebagai pembuat keputusan dan
bertindak melaluinya akan dilihat sebagai pemimpin atau hero yang menyakinkan,
justeru digemari.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.2.2014, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment