Piccredit: sinarharian
DI
ANTARA
BERITA DAN CERITA
BERITA DAN CERITA
SUDAH
sekian lama radio dan televisyen menjadi pencabar kepada penerbitan akhbar. Kemunculan
internet pula bukan setakat mencabar, malah berdaya mematikan banyak penerbitan
akhbar versi cetak. Untuk terus wujud, akhbar pula terpaksa melaksanakan
langkah-langkah inovatif untuk memanjangkan hayatnya.
Melalui
internet, sesiapa sahaja boleh jadi wartawan. Berita kemalangan jalanraya di
Lebuhraya Utara-Selatan pada pagi tadi boleh terpapar di internet dalam masa
beberapa saat. Foto, video dan berita bertulisnya boleh tiba ke genggaman
pembaca melalui smartphone. Mereka
tidak perlu lagi membuka komputer di pejabat atau di rumah untuk mengetahui berita
itu.
Berbeza
sekali dalam keadaan konvensional apabila berita dan foto kemalangan itu
diambil oleh wartawan yang kemudiannya dihantar ke pejabat untuk disunting oleh
sub-editor dan akhirnya ke mesin percetakan dan beritanya hanya terbit pada
esok pagi. Berita yang panas sudah jadi sejuk dalam masa 24 jam kerana akan ada
berita hot baharu yang menjadi tumpuan
pembaca.
Kecepatan
berita dapat disebar melalui internet inilah yang melelahkan penerbitan akhbar.
Kerana tidak berdaya mengejar, maka banyak akhbar menerbitkan versi online masing-masing. Tujuannya untuk setanding
atau berlawan dengan internet.
Namun,
rupa-rupanya banyak juga penerbitan akhbar bercetak tewas dengan diri sendiri
apabila para pembaca lebih sukakan akhbar online
daripada akhbar bercetak. Mereka bertukar selera. Para pembaca baharu turut
menyukai akhbar online sehinggakan pembaca akhbar versi cetak semakin mengecil
dan akhirnya gulung tikar.
Setiap
yang baik itu ada buruknya. Dan setiap yang kuat itu pasti ada kelemahannya. Berita
yang terbit melalui internet ada buruknya dan ada kelemahan-kelemahannya. Di
antara keburukan berita daripada internet ialah daripada segi ketepatan. Oleh
kerana sebilangan daripada mereka yang memaparkan berita di internet itu
mahukan kecepatan atau scoop berita,
ketepatan sudah menjadi perkara kedua. Akibatnya berita yang sama dari laman
yang berbeza boleh mempunyai berlainan fakta. Pembonceng motorsikal yang
melecet kakinya akibat kemalangan, boleh patah kakinya dalam sebuah laporan
daripada laman yang lain atau sudah meninggal pula dalam laman-laman yang lain.
Bayangkan
jika yang melecet, patah kaki atau yang meninggal itu adalah seorang menteri,
kemungkinan berita kecil itu meledak menjadi sebuah berita sensasi yang
dikongsi melalui viral hingga bisa menggemparkan dan menimbulkan kekeliruan.
Fakta akan menjadi auta seandainya sebuah berita benar itu diputar untuk
memperoleh rating yang tinggi agar memperoleh iklan online yang mendatangkan wang.
Akhbar
Sinar Harian mula memahami psikologi mereka yang membaca berita secara online. Oleh kerana itu, Sinar Online
menumpukan perhatian kepada berita, sementara Sinar Harian versi cetak pula
membuat persembahan melalui cerita. Benar, para pembaca di internet mahukan
berita itu disampaikan segera. Justeru itu, apa sahaja berita besar yang sampai
ke pengetahuan kami akan dipaparkan secepatnya melalui Sinar Online.
Bagaimana
pun, berlainan pula dengan cerita daripada berita yang sama. Seorang bayi yang
mati akibat didera itu adalah cerita. Apabila kisah itu diketahui, dalam masa
beberapa minit sahaja berita itu tersebar di internet dan dipaparkan di Sinar
Online. Namun, bagi akhbar versi cetaknya pula, Sinar Harian akan memaparkan berita
latar, berita sampingan dan juga berita susulan kejadian.
Sinar
Harian, dengan kekuatan pasukannya di seluruh semenanjung mampu mendapat dan
memaparkan siapakah kedua-dua ibubapa bayi, kampung asal mereka, kerjaya mereka,
kes-kes penderaan sebelum ini, pandangan NGO, pakar psikologi, pakar
undang-undang dan juga maklumbalas orang ramai terhadap kes itu.
Persembahan
kesemuanya di dada akhbar lebih merehatkan berbanding jika seseorang itu
terpaksa scroll dari halaman ke
halaman untuk mengetahui keseluruhan beritanya. Perbuatan itu amat memenatkan
jari dan juga mata. Inilah kekuatan akhbar versi cetak yang masih sukar
ditandingi oleh internet.
Berita
yang dibaca melalui internet itu lebih berat kepada informasi. Ia hanya
merangsang otak kiri. Berita yang ditatap di dada akhbar pula dipersembahkan
dalam bentuk cerita. Ia merangsang otak kanan. Justeru, seseorang itu lebih
mudah jemu membaca berita di internet berbanding membaca di dada akhbar. Ini
boleh dilihat kepada fenomena mereka yang hanya membaca tajuk berita
semata-mata dan bukan berita itu sendiri.
Ini terbukti kerana banyak sekali komen-komen pembaca berita secara online itu hanya berdasarkan tajuk, bukan isinya. Justeru itu, banyak komen mereka yang lari dari tajuk, penuh persepsi dan prasangka akibat tidak mahu membaca keseluruhan berita akibat kepenatan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok pada 29.1.2014, insya-ALLAH...
Ini terbukti kerana banyak sekali komen-komen pembaca berita secara online itu hanya berdasarkan tajuk, bukan isinya. Justeru itu, banyak komen mereka yang lari dari tajuk, penuh persepsi dan prasangka akibat tidak mahu membaca keseluruhan berita akibat kepenatan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok pada 29.1.2014, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment