Tuesday, January 21, 2014

ANAK-ANAK YANG TAK SEDAR DIRI



Piccredit: utuhpaloi.com
KITA YANG MEROSAKKAN ANAK-ANAK

KITA semua sedang mengikuti perkembangan kes pasangan Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal yang didakwa memukul tangan salah seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat. Pihak kerajaan Malaysia sedang mengusahakan agar mereka segera dibicarakan dan anak-anak mereka dapat ditempatkan di bawah jagaan keluarga Muslim. Pihak NGO juga sudah mula membantu daripada sudut perundangan dan kemanusiaan.

Betapa pun, pasangan tersebut sebenarnya melaksanakan saranan Rasulullah s.a.w mengenai cara menyuruh anak sembahyang. Sabda baginda:  Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam pada kita mengikuti kes itu, apakah kita juga seperti mereka di Sweden itu? Apakah kita memukul anak kita yang tidak solat seperti saranan Rasulullah s.a.w? Atau apakah kita setakat berleter kepada anak yang leka bermain komputer hingga lewat untuk solat? Atau lebih buruk pula, apakah kita ingat akan tanggungjawab ini? Jika kita sendiri sudah lupa, bolehkah kita mengandaikan diri kita sendiri sebagai ibubapa yang tidak bertanggungjawab?

Sebahagian besar daripada kita adalah generasi pasca merdeka. Kita adalah generasi dalam sebuah negara membangun dan yang ingin maju menjadi sebuah negara perindustrian enam tahun lagi di mana Wawasan 2020 menjadi realiti bila fajar pagi 1 Januari 2020 bersinar di ufuk timur.

Oleh kerana kita seronok menjadi anak-anak merdeka dengan segala pembangunan di sekeliling kita, maka kita sudah lupa pada susah payah, jerih perih, kehidupan merana dan melarat yang kita sendiri lalui.

Sebenarnya, sebahagian besar daripada kita ini adalah dari golongan miskin. Kita juga orang kampung. Tidak ramai ibubapa kita terdiri daripada mereka yang berpendidikan sekolah menengah, apatah lagi universiti. Tetapi mereka ada ilmu survival. Dengan ilmu itu, mereka membina kita.

Ramai di antara kita yang hanya ada sepasang sepatu untuk ke sekolah pagi. Sepatu yang sama digunakan untuk ke sekolah petang. Kita berjalan kaki atau berbasikal. Kita belajar di bawah sinar pelita minyak tanah yang sawangnya menghitamkan hidung. Bagi yang bernasib baik sedikit, mereka akan gunakan lampu pam yang lebih terang.

Ramai yang lelaki pula berseluar pendek ke sekolah meskipun sudah ke sekolah menengah. Yang perempuan pun rata-ratanya tidak bertudung. Pada zaman selepas merdeka, hanya orang tua bertudung yang dinamakan selendang. Emak-emak kita yang memakainya masih menampakkan rambut dan sanggul. Ramai yang mandi perigi, mandi sungai atau mandi di pili air yang kerajaan pasang di tepi jalan. Ketika itu, ramai ibu-ibu yang mandi berkemban. Tidak ada orang kisah pun kerana itulah cara hidupnya.

Sudahlah kita rata-rata miskin, kita juga jahil. Jahil agama kerana tidak pernah dengar erti tutup aurat mengikut cara Islam. Di waktu itu, orang pandai agama yang paling hampir dengan kita hanyalah ustaz sekolah agama, pak imam, pak bilal atau yang dianggap lebih handal sedikit adalah tuan kadi. Tuan kadi pun kita hanya temui bila dia hendak menikahkan pasangan pengantin.

Walau apa pun kesusahan yang dilalui, orang-orang tua kita sentiasa mengingatkan… ‘Kita ini orang miskin, kita ini orang susah.’ Kata-kata yang diulang-ulang itulah yang menjadikan kita sentiasa sedar diri dan tahu dek untung bahawa kita orang miskin. Namun, kata-kata itu jugalah azimat buat kita untuk belajar kerana kata orang tua kita, ‘Kami tidak tinggalkan apa-apa harta. Hanya ilmu pengetahuan sahajalah harta buat bekalan kamu sekalian. Belajarlah rajin-rajin sampai pandai.’ Dalam kesusahan lagi jahil itulah kita belajar hingga berjaya dan berkerjaya.

Tetapi sesudah kita berjaya hingga berkeluarga, kita tidak perturunkan apa jua jerih perih yang orang tua kita alami. Kita juga tidak mahu berkongsi susah payah yang kita lalui. Ketiadaan kita dahulu sudah berganti dengan keberadaan. Susah dahulu tidak mahu diingat-ingat apatah lagi dikenang-kenang.

Kerana itu, anak-anak kita tidak diceritakan segala kesusahan datuk nenek mereka mahupun apa yang kita lalui sebagai ibubapa mereka. Biarlah mereka senang pula sementelah kita susah dahulu. Akibatnya anak-anak kita tidak mengerti apa itu kesusahan, apakah itu kemiskinan? Mereka ingat, ‘yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek’ akan mengiringi mereka di sepanjang hayat. Siapakah yang melalaikan mereka, siapa pula yang merosakkan mereka hingga menjadi manja dan lembik jika tidak kita sendiri?
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.1.2014, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment