Photo credit: geografialamsekitar.blogspot.com
MENGHINDAR JEREBU DI
HATI DAN MINDA
JEREBU melanda
lagi. Bagi yang alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema
dan lelah. Bila jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan
membuat suasana jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun
di beberapa kawasan.
Ramai yang
terpegun menyaksikan air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit
menangis. Hati masing-masing mengucapkan syukur kehadrat Illahi. Mudah-mudahan
IPU akan turut turun bila kualiti udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun
hujan turun tidak lebat, asalkan indeks pencemaran udara tak naik lagi, itupun
sudah cukup baik.
Jerebu. Siapa
yang suka suasana yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal
topeng pun walaupun suka topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan
jerebu. Namun, mengapa ada orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan
jerebu walaupun mereka juga tidak suka pada keadaan cuaca sebegitu?
Atas
kepentingan mahu jimatkan kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan,
cara yang cepat adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka
yang mereka sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal
jangka pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.
Ertinya mereka
berfikiran singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan
mereka pula sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada
di kawasan titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab
itu turut kabut asap!
Mereka hanya nampak
duit yang kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa gunakan
duit untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh. Untuk sekian
kalinya, matlamat tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan,
risikonya seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi bila akibatnya terkena kepada berjuta
manusia lain.
Dalam kehidupan
seharian kita sendiri, berapa ramaikah di antara kita yang pada zahirnya okey,
tetapi tanpa disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika
jerebu udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang
menyerang minda dan jiwa?
Jerebu fikiran datang
dalam bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan
mendengar dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa
jua berita, cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan
kepesongan hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih
hablur.
Ertinya, jerebu
fikiran itu mengkaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda
untuk menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita hanya menengok, tetapi tidak berdaya
memerhati dan merenungi. Kita hanya mendengar, tetapi tidak mampu lagi mengamati.
Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu hanya dibaca secara lahiriah
atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.
Jerebu hati
pula tiba apabila kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata,
membiarkan diri mengikut perasaan apabila sampainya bisikan prasangka.
Akibatnya, prasangka yang menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat
menerima kebaikan dan kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang
dibiarkan hingga menjadi noda yang menghitamkan hati.
Jerebu di hati
dan minda akan merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi
tumpul. Berapa ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain,
tetapi tidak berasa sedih. Melihat orang miskin, tanpa berasa simpati. Berdepan
dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana tidak mahu terlibat.
Jerebu di udara
akan merosakkan fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di
minda akan merosakkan mental. Soalnya, bagaimanakah kita menghindarinya?
Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng sebagai perisai,
jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu. Hanya pengetahuan sahaja yang
dapat menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan
dengan perisai keikhlasan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.6.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment