Tuesday, April 26, 2011

MARTABAT ORANG BERILMU




Photo credit: likukehidupan.com



HORMATI MANUSIA
KERANA ILMUNYA

KAWAN-KAWAN saya yang menghadiri kuliah umum anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Tinggi Islam (IAIS) di Petaling Jaya yang disampaikan oleh Imam Sheikh Abd.Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, Ketua Imam, Masjidil Haram, Mekah baru-baru ini telah menceritakan sesuatu yang kurang enak didengar.

Kata mereka, kuliah yang dijangka berlangsung pada jam 10.30 pagi itu tertangguh dan bermula jam 12.30 tengahari. Puncanya, Sheikh Abdul Rahman lewat tiba. Separuh daripada para hadirin yang berjumlah kira-kira 300 orang daripada pelbagai bangsa dan agama telah angkat kaki. Ada yang meninggalkan dewan IAIS itu kerana ada komitmen lain.

Perasaan buruk sangka atau su’u dzon pun mula berlegar-legar di fikiran mereka yang bosan menanti. Mereka merungut kerana pak imam datang lewat, lalu mempersoalkan kelewatan Sheikh Abdul Rahman. Bagi saya, tidakkah terfikir, barangkali Sheikh Abdul Rahman lewat kerana kepenatan atau kurang sihat? Meskipun, beliau adalah tetamu negara, tentu sekali ada aral yang melintang. Yang hadir seharusnya berlapang dada menantinya.

Menurut mereka yang menghadiri majlis itu lagi, sebaik sahaja Imam Besar yang berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Syariah Islam itu tiba, suasana riuh rendah dan bising terus berubah sunyi sepi. Wajah Sheikh Abdul Rahman yang bersih berseri, senyuman manis dan penyampaian ceramahnya dengan suara yang terang lagi tenang yang diselang-seli dengan lafaz ayat-ayat suci al-Quran, membuatkan seluruh dewan jadi terpaku. Kelewatannya terus dilupakan. Ceramah mengenai Masa Depan Tamaddun Islam yang disampaikan beliau adalah ubat yang menghilangkan resah para hadirin.

Lihatlah. Jika kita ingin menuntut ilmu, kita sendiri mestilah menghormati gurunya. Mana boleh, kelewatan guru menjadi alasan untuk kita terus memperlekeh orang yang hendak memberi ilmu kepada kita? Beruntunglah mereka yang menunggu. Kerana menanti, mereka memperoleh ilmu dari ulamak yang terkenal kerana ilmunya. Bukannya mudah perkara dan situasi itu akan berulang.

Khabarnya, mereka yang hadir di IAIS boleh bersalaman dan bersantai sebentar dengan Sheikh Abdul Rahman berbanding dengan mereka yang terpaksa berhimpit-himpit untuk bersalaman dengan Ketua Imam itu setelah beliau mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan selang dua hari kemudian. Kerana mereka sabar dan hormat, mereka berpeluang pula beramah mesra pula dengan cendekiawan yang terkenal di merata dunia Islam itu.

Itulah untungnya menghormati orang kerana ilmunya. Andainya siang-siang lagi kita menunjuk aksi kepandaian kita dalam menepati masa, yang kononnya lebih bagus daripada Sheikh Abdul Rahman pada hari itu, kita akan merendahkan ketokohannya. Yang ruginya adalah kita sendiri kerana perasaan ego itu akan mengganggu konsentrasi kita menerima dan menghazam ilmu yang disampaikan beliau.

Menghormati manusia juga biarlah kerana ilmunya. Orang yang berilmu pula amat suka kepada orang yang ingin memperoleh ilmu daripadanya. Biasanya orang yang berilmu tidak lokek untuk menyampaikan apa yang diketahuinya. Penyampaiannya itu akan menguntungkan kedua-dua belah pihak untuk sekurang-kurangnya daripada tiga aspek.

Pertama, kita yang bertanya akan memperoleh ilmu. Kedua, ilmuan yang menjawab itu akan memantapkan ilmu yang dipelajarinya kerana soalan kita itu umpama ulangkaji baginya. Ketiga, perbincangan mengenai ilmu itu sendiri bakal memperluas ruang lingkup topik yang dibicarakan.

Beruntunglah seandainya kita sentiasa ingin hadir di dalam majlis-majlis ilmu yang pada hari ini disampaikan dalam bentuk usrah, kuliah, ceramah, forum, wacana, seminar mahupun persidangan. Kita perlu meluangkan masa untuk majlis-majlis seperti ini. Majlis-majlis ini kian banyak dianjurkan. Dalam pada itu, kita perlu mengurangkan sedikit tabiat menghadiri majlis-majlis untuk keseronokan semata-mata seperti menghadiri konsert, parti dan berpesta-pestaan.

Daripada Ali Bin Abi Tholib r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Orang yang paling baik ituialah orang yang alim(berilmu). Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manafaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang).

Andainya kita sendiri orang yang berilmu, bukankah
ia juga bererti kita sebenarnya menghormati diri kita sendiri?




Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.4.2011.

Tuesday, April 19, 2011

MENGAWAL OBESITI





Photo credit: madcapiq.blogspot




MARI KITA
MAKAN UNTUK HIDUP


BARU-BARU ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa bimbang dengan masalah kegemukan atau obesiti di kalangan pelajar sekolah. Beliau berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan Kementerian Kesihatan.

Katanya, “Ia menjadi isu kerana ia melibatkan anak kecil yang masih bersekolah tetapi gemuk kerana faktor pemakanan. Mereka banyak makan makanan ringan. Ini menyebabkan mereka tidak cergas dan tidak sihat,” katanya pada majlis Program Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Sarawak baru-baru ini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, “Mulai sekarang, indeks jisim badan (BMI) setiap pelajar akan direkodkan di dalam kad laporan prestasi oleh guru untuk perhatian ibu bapa. Arahan serta-merta itu dibuat oleh kerajaan dalam usaha menangani peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat.”

Wah! Nampaknya kita kian sedar mengenai obesiti yang menyerang rakyat Malaysia dan langkah-langkah pencegahan sedang bermula di peringkat sekolah. Ini satu langkah yang baik. Namun, seharusnya tindakan ini diambil perhatian oleh kita yang sudah tidak bersekolah. Bukankah kita adalah tergolong di kalangan mereka yang berpotensi untuk menjadi gemuk atau pun sudah cukup gedempol?

Obesiti berlaku apabila seseorang mengambil lebih banyak kalori daripada yang sepatutnya. Dan tubuhnya tidak sempat membakar kalori agar indeks jisim badan seimbang kembali dengan ketinggian tubuh. Faktor-faktor lain seperti genetik, usia, jantina, kesan sampingan ubat-ubatan dan penyakit juga boleh menjadikan seseorang itu obes.

Namun, faktor yang menjadi penyumbang obes ini berkait rapat dengan tabiat makan kita. Sedari kecil, kita dilatih untuk menghabiskan makanan yang diceduk ke pinggan. Di zaman kanak-kanak juga, kita sememangnya mempunyai sikap tamak dan tidak pandai menganggar kadar makanan yang diambil. Apabila kita mengelak untuk menghabiskan makanan, emak akan mengingatkan kita agar menghabiskannya kerana tidak baik membazir makanan. Padahal, bukankah permulaan mengelak pembaziran adalah dengan mengambil makanan mengikut keperluan? Namun, emak tidak menekankan itu kerana tidak mahu menyekat selera anaknya.

Apabila dewasa, kita masih tidak pandai untuk mengambil makanan yang cukup-cukup buat mengisi perut. Kerana itu, ramai di antara kita akan mengambil makanan berlebih-lebihan, tidak kira sama ada makanan itu percuma ketika menghadiri mana-mana majlis, mahupun jika kita memilihnya di restoran. Perhatikan banyaknya sisa-sisa makanan yang terbuang di restoran-restoran atau di mana-mana majlis.

Restoran-restoran yang menyediakan makanan yang bergoreng juga lebih banyak daripada restoran-restoran yang menghidangkan makanan yang dikukus atau dibakar. Oleh kerana menyediakan makanan yang bergoreng itu lebih mudah dan lebih cepat serta membuka nafsu makan, maka kebanyakan restoran lebih suka menyediakan hidangan yang bergoreng. Goreng tentulah dengan minyak, dan minyak adalah punca kolesterol.

Ada juga restoran yang gemar menyediakan makanan yang berlebih-lebihan untuk para pelanggannya. Pinggan yang besar, lauk-pauk yang banyak serta gelas minuman yang sekaki tingginya dijadikan konsep restoran. Padahal, ramai di antara kita bukannya jenis yang makan banyak. Namun, oleh kerana makanan telah terhidang dan rasa rugi tidak menghabiskan makanan yang tersaji, maka kita memaksa diri untuk melicinkan pinggan.

Makan dengan lahap juga sudah menjadi gaya makan sebilangan daripada kita. Pengaruh iklan yang menayangkan kegelojohan makan untuk menggambarkan kesedapan sebenarnya sudah lari daripada adab makan kita. Hari ini, kita biasa melihat mereka di restoran yang menyumbat tiga empat batang kentang goreng sekali gus ke mulut. Bukan sebatang demi sebatang mengikut adab sopan kita. Mereka membuka mulut besar-besar untuk mengunyah burger. Bukannya menggigit sedikit demi sedikit. Mereka makan begitu kerana terpengaruh dengan iklan.

Sepatutnya, kita perlu mengunyah makanan perlahan-lahan dan lebih lama sebelum menelannya. Makanan yang hancur lebih mampat apabila sampai ke perut. Ini akan menyegerakan otak menghantar mesej yang kita sudah kenyang. Sebaliknya, mengunyah makanan dan menelannya dengan segera menimbulkan lompang-lompang udara di perut. Rasa kenyang akan lambat dirasa. Justeru kita akan menyumbat dan menyumbat lagi makanan ke mulut hingga mengah sebelum berhenti. Ketika itu, semuanya sudah terlambat.

Kita mungkin tidak sedar yang kini, kita hidup untuk makan, dan bukannya makan untuk hidup. Agar kita kembali kepada amalan makan untuk hidup, mungkin kita kena percaya yang kita hanya perlu separuh daripada apa yang kita makan.




Dari Jabir bin Abdillah r.a, beliau menyatakan bahwa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Makan satu orang itu cukup untuk dua orang. Makanan dua orang itu cukup untuk empat orang. Makanan empat orang itu cukup untuk delapan orang.” (HR Muslim).



Apakah hadis di atas juga membawa maksud,
makanan untuk setengah orang itu cukup untuk seorang?




Artikel ini terbit di akhbar Sinar harian esok, 20.4.2011.

Tuesday, April 12, 2011

BEST FRIEND FOREVER





Photo credit: studentoftheworld.info




SIAPAKAH DIA


SAHABAT SEJATI?


KETIKA melangkah pulang daripada pasar tani pada minggu lalu, saya terdengar seseorang memanggil nama saya. Saya menoleh dan terpandang seseorang tersenyum kepada saya. Oleh kerana saya tidak mengenali beliau, maka saya berpaling dan terus menapak pulang.


Tiba ke kereta, saya menerima panggilan dari sahabat saya selama 35 tahun, Syed Agil Syed Jaafar. Sungguh saya tak sangka, beliaulah yang menegur saya tadi. Tubuhnya sudah tembun sedikit. Berbeza dengan dirinya yang kurus ketika bujang dahulu. Lebih sejam saya menunggunya selesai membeli-belah bersama isterinya sebelum menjemputnya ke rumah.


Kami berbual panjang mengenai profesion masing-masing. Syed Agil ke Utusan Melayu bila mula bekerja. Saya pula bertugas di pelbagai jabatan kerajaan dan swasta sehinggalah yang terakhir kini di Sinar Harian. Kami sekampus dan sefakulti. Cuma saya mengambil Senireka Perusahaan dan beliau mengambil Senifoto. Kami amat rapat dan sama-sama aktif dalam politik pelajar. Malah, pada tahun-tahun awal bekerja, kami tinggal serumah di Kampung Konggo, atau Bandar Tun Razak, Cheras.


Masa bersembang kami amat pendek kerana kami ada komitmen lain. Namun, dalam masa kira-kira setengah jam, kami sempat bersembang fasal anak-anak, pendidikan, perkahwinan, kesihatan, politik semasa, agama, pertanian, arkitektur dan perumahan. Mungkin kerana kami sahabat lama, kami tidak kekok bercakap apa sahaja dengan selamba kerana tahu tiada satu pun topik, pendapat, pendirian atau cara tutur kata yang akan menyinggung hati masing-masing.


Sepulangnya Syed Agil dan isterinya, saya termenung mengenangkan betapa lamanya kami tidak bersua, tiba-tiba bertemu dan berbual mesra seperti zaman muda-muda dahulu. Perjumpaan itu hanya seketika. Tertanya di hati, apakah saya akan bertemunya dalam waktu terdekat kerana kesibukan masing-masing. Mungkinkah bertemu lagi andainya salah seorang daripada kami menyambut menantu atau bertemu semula apabila salah seorang dari kami sakit pening?


Syed Agil adalah salah seorang daripada kawan saya. Selain itu, saya punyai kawan-kawan sekolah, kawan-kawan sekampung, kawan-kawan sekampus, kawan-kawan setempat kerja dan kini pula kawan-kawan di alam siber. Apabila bertemu dengan kawan-kawan sekolah atau kawan-kawan sekampung, kami masih memanggil nama, masih beraku-engkau meskipun ada di antara kami sudah bergelar Datuk ataupun Tan Sri.


Pendek kata, kami tidak menjaga status, pangkat dan darjat apabila bertemu kerana kami sudah mengenali diri masing-masing di luar dan di dalam. Siapa ibubapanya, siapa datuk neneknya, adik-beradiknya, malah siapa pula cinta pertama masing-masing sudah kami ketahui. Tidur baring di rumahnya sudah menjadi kebiasaan. Pendek kata, rahsia masing-masing sudah tersimpan di dalam poket hati.


Kawan-kawan sekampus dan kawan-kawan setempat kerja pula adalah teman-teman kerana keperluan. Setiap semester, kawan-kawan akan berkurang atau bertambah. Apabila kita melanjutkan pelajaran, kawan-kawan sekampus juga berubah. Kawan-kawan setempat kerja pula tidak ramai yang kekal lama. Apabila beralih tempat bertugas, kita akan meninggalkan sekumpulan kawan-kawan untuk bertemu dengan sekumpulan kawan-kawan baru.


Dan, kawan-kawan saya yang paling ramai ialah kawan-kawan di alam siber. Sebahagian besar daripada mereka tidak saya kenali pun. Dia atau saya akan memohon untuk jadi kawan dan kami akan jadi kawan. Apabila terserempak di alam siber, kami akan bertegur sapa. Setelah itu, kami tidak akan bertemu lagi. Malah, kami tidak kisah dan teringat pun siapakah dia kecuali andainya kami berpeluang untuk bertemu di alam nyata. Tetapi, apa perlunya untuk mengenali lebih dekat kerana status kawan di alam siber memang ringkas, santai dan sekejap ada dan sekejap tiada.


Saya teringat kembali kepada Syed Agil. Saya terasa dia rapat dengan saya meskipun sudah lama tidak bersua. Apa status persahabatan kami? Terlintas di fikiran saya singkatan BFF atau Best Friend Forever, iaitu istilah yang digunakan oleh anak saya terhadap teman-temannya.


Best friend forever adalah kawan ketika susah dan senang. Dia tidak segan silu untuk mengkritik atau memuji. Membela dan melindungi ketika orang lain memandang serong kepada kita. Dia akan datang sebaik sahaja kita menyebut namanya. Dan dia akan pergi apabila dia tahu kita sudah berada di dalam keadaan selamat tanpa perlu mengucapkan selamat tinggal.


Ya. Syed Agil adalah BFF saya. Secara diam-diam saya sudah memaafkan segala salah silapnya. Saya percaya, dia juga telah lama memaafkan saya. Tanpa mengucapkan pun, kami sama-sama faham bahawa kami sudah tiada menyimpan amarah, dendam, kecil hati, malah dosa sesama kami. Dan yang lebih penting, BFF akan mengingatkan kita tentang singkatnya masa kehidupan dan betapa semakin dekatnya Tuhan.


Itulah sahabat sejati ~ mengingati di samping mengasihi.


Artikel ini terbit di Sinar Harian pada 13.4.2011.

Tuesday, April 5, 2011

CERITAKAN KEBAIKANMU!



Photo credit: prospect.rsc.org


MENDABIK DADA

ATAU BERKONGSI RASA


SAYA tidak sangka dapat bertemu dengan wira bina badan negara, Dato’ Malek Noor di Madinah sewaktu mengerjakan umrah. Ketika itu, kami sama-sama beratur untuk mengambil hidangan makan tengahari di hotel penginapan kami. Malek berbaju Melayu teluk belanga, berkain pelekat dan berkopiah ~ menampilkan kejohorannya.

Meskipun belum pernah berkenalan, namun senyuman manis dan sikap peramahnya menjadikan saya tidak kekok menyapanya. Malek menceritakan yang dia sudah tiga hari sampai daripada Makkah. Perbualan kami menjurus kepada pengalaman beliau ketika di Masjidil Haram.

Dengan wajah ceria, Malek Noor bercerita yang beliau mendapat apa yang dihajatinya. Walaupun tubuhnya sasa, nafasnya sesak juga apabila dirempuh jemaah lain, sehinggalah beliau dapat mengucup hajarul aswad. Dia juga dapat bersolat di hijr Ismail dan berdoa di multazam.

Sehari kemudian, saya terserempak lagi dengan Malek di lobi hotel. Kali ini beliau menceritakan pula bagaimana pada malam sebelumnya, beliau dapat bersolat di hadapan mimbar raudhah yang sentiasa penuh sesak dengan para jemaah sebelum menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Saya kagum dengan rezeki yang diperoleh Malek. Itulah impian setiap orang yang berkunjung ke Masjid Nabawi.

Sekali pandang, apa yang diceritakan oleh Malek Noor seperti orang yang bercakap besar, seolah-olah bercerita dengan mendabik dada bahawa akulah orang yang dipilih Allah hingga mampu memperoleh semua yang dihajati. Namun, melihatkan keikhlasannya bercerita, saya tahu yang Malek hanya ingin berkongsi rasa. Sebab itulah hati saya tumpang gembira dan tidak meluat dengan ceritanya. Di dalam hati, saya ingin sekali mengikut jejaknya untuk memperoleh apa yang telah beliau lalui.

Bercakap besar dan berkongsi rasa adalah dua perkara yang berbeza. Bercakap besar ialah menyampaikan kejayaan-kejayaan diri dengan wajah riya’, seolah-olah kita sahaja yang boleh mendapat atau mampu melakukan sesuatu sedangkan orang lain tidak boleh. Rasa bangga diri orang yang bercakap besar seumpama seorang kanak-kanak yang berdiri di atas busut seraya mendabik dada seolah-olah dia sudah berada di puncak gunung.

Sedangkan orang yang berkongsi rasa, menceritakan apa yang dialami serta kejayaan yang diperolehi dengan harapan si pendengar dapat mencontohinya. Kita di pihak yang menerima, andainya berfikiran positif, bersangka baik atau husnu dzon, kita akan memperoleh banyak sekali ilmu yang disampaikan. Sebaliknya, andainya kita mempunyai sikap negatif, bersangka buruk, atau suu dzon, maka apa jua kebaikan yang disampaikan akan disambut dengan senyuman sinis kerana memperlekeh apa yang dikongsikan.

Barangkali, oleh kerana bimbang dikatakan sebagai orang yang bercakap besar, maka kita ramai di antara kita lebih senang berdiam diri meskipun kita mengetahui sesuatu lebih daripada orang lain. Kejayaan kita dalam perniagaan, pendidikan anak hingga berjaya dalam kerjaya, pengurusan kewangan, teknik belajar, malah rahsia kita membuat teh tarik yang sedap adalah di antara kebaikan-kebaikan yang seharusnya dikongsikan dengan orang lain.

Kita mesti berani dan tidak segan untuk berkongsi rasa. Jangan sekali-kali kita berasa bimbang dianggap bercakap besar kerana yang utama adalah berkongsi ilmu. Tentu sekali dalam sepuluh orang yang mendengar perkongsian rasa kita, akan ada seorang dua yang mencemuh. Tetapi itu tidak harus mematahkan semangat kita untuk menceritakan kebaikan pengalaman dan pengajaran yang kita lalui.

Apa jua kebaikan yang kita peroleh itu tidak harus disembunyikan dari pengetahuan orang lain. Lagi ramai orang lain tahu mengenai kebaikan yang kita kongsikan, ia lebih bagus. Malah, daripada sudut agama pun, kita dituntut untuk menyebar kebaikan yang dialami sebagai tanda syukur kita terhadap nikmat Allah s.w.t.

Wa amma bi ni’mati rabbika fahaddith. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (zahirkan sebagai tanda bersyukur kepadaNya). Surah Ad-duha, ayat 11 jelas menggalakkan kita untuk berkongsi rasa. Itu jua cara untuk memperoleh pahala. Kerana itu, jangan rasa malu untuk menceritakan kejayaan-kejayaan diri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.4.2011.