Tuesday, April 12, 2011

BEST FRIEND FOREVER





Photo credit: studentoftheworld.info




SIAPAKAH DIA


SAHABAT SEJATI?


KETIKA melangkah pulang daripada pasar tani pada minggu lalu, saya terdengar seseorang memanggil nama saya. Saya menoleh dan terpandang seseorang tersenyum kepada saya. Oleh kerana saya tidak mengenali beliau, maka saya berpaling dan terus menapak pulang.


Tiba ke kereta, saya menerima panggilan dari sahabat saya selama 35 tahun, Syed Agil Syed Jaafar. Sungguh saya tak sangka, beliaulah yang menegur saya tadi. Tubuhnya sudah tembun sedikit. Berbeza dengan dirinya yang kurus ketika bujang dahulu. Lebih sejam saya menunggunya selesai membeli-belah bersama isterinya sebelum menjemputnya ke rumah.


Kami berbual panjang mengenai profesion masing-masing. Syed Agil ke Utusan Melayu bila mula bekerja. Saya pula bertugas di pelbagai jabatan kerajaan dan swasta sehinggalah yang terakhir kini di Sinar Harian. Kami sekampus dan sefakulti. Cuma saya mengambil Senireka Perusahaan dan beliau mengambil Senifoto. Kami amat rapat dan sama-sama aktif dalam politik pelajar. Malah, pada tahun-tahun awal bekerja, kami tinggal serumah di Kampung Konggo, atau Bandar Tun Razak, Cheras.


Masa bersembang kami amat pendek kerana kami ada komitmen lain. Namun, dalam masa kira-kira setengah jam, kami sempat bersembang fasal anak-anak, pendidikan, perkahwinan, kesihatan, politik semasa, agama, pertanian, arkitektur dan perumahan. Mungkin kerana kami sahabat lama, kami tidak kekok bercakap apa sahaja dengan selamba kerana tahu tiada satu pun topik, pendapat, pendirian atau cara tutur kata yang akan menyinggung hati masing-masing.


Sepulangnya Syed Agil dan isterinya, saya termenung mengenangkan betapa lamanya kami tidak bersua, tiba-tiba bertemu dan berbual mesra seperti zaman muda-muda dahulu. Perjumpaan itu hanya seketika. Tertanya di hati, apakah saya akan bertemunya dalam waktu terdekat kerana kesibukan masing-masing. Mungkinkah bertemu lagi andainya salah seorang daripada kami menyambut menantu atau bertemu semula apabila salah seorang dari kami sakit pening?


Syed Agil adalah salah seorang daripada kawan saya. Selain itu, saya punyai kawan-kawan sekolah, kawan-kawan sekampung, kawan-kawan sekampus, kawan-kawan setempat kerja dan kini pula kawan-kawan di alam siber. Apabila bertemu dengan kawan-kawan sekolah atau kawan-kawan sekampung, kami masih memanggil nama, masih beraku-engkau meskipun ada di antara kami sudah bergelar Datuk ataupun Tan Sri.


Pendek kata, kami tidak menjaga status, pangkat dan darjat apabila bertemu kerana kami sudah mengenali diri masing-masing di luar dan di dalam. Siapa ibubapanya, siapa datuk neneknya, adik-beradiknya, malah siapa pula cinta pertama masing-masing sudah kami ketahui. Tidur baring di rumahnya sudah menjadi kebiasaan. Pendek kata, rahsia masing-masing sudah tersimpan di dalam poket hati.


Kawan-kawan sekampus dan kawan-kawan setempat kerja pula adalah teman-teman kerana keperluan. Setiap semester, kawan-kawan akan berkurang atau bertambah. Apabila kita melanjutkan pelajaran, kawan-kawan sekampus juga berubah. Kawan-kawan setempat kerja pula tidak ramai yang kekal lama. Apabila beralih tempat bertugas, kita akan meninggalkan sekumpulan kawan-kawan untuk bertemu dengan sekumpulan kawan-kawan baru.


Dan, kawan-kawan saya yang paling ramai ialah kawan-kawan di alam siber. Sebahagian besar daripada mereka tidak saya kenali pun. Dia atau saya akan memohon untuk jadi kawan dan kami akan jadi kawan. Apabila terserempak di alam siber, kami akan bertegur sapa. Setelah itu, kami tidak akan bertemu lagi. Malah, kami tidak kisah dan teringat pun siapakah dia kecuali andainya kami berpeluang untuk bertemu di alam nyata. Tetapi, apa perlunya untuk mengenali lebih dekat kerana status kawan di alam siber memang ringkas, santai dan sekejap ada dan sekejap tiada.


Saya teringat kembali kepada Syed Agil. Saya terasa dia rapat dengan saya meskipun sudah lama tidak bersua. Apa status persahabatan kami? Terlintas di fikiran saya singkatan BFF atau Best Friend Forever, iaitu istilah yang digunakan oleh anak saya terhadap teman-temannya.


Best friend forever adalah kawan ketika susah dan senang. Dia tidak segan silu untuk mengkritik atau memuji. Membela dan melindungi ketika orang lain memandang serong kepada kita. Dia akan datang sebaik sahaja kita menyebut namanya. Dan dia akan pergi apabila dia tahu kita sudah berada di dalam keadaan selamat tanpa perlu mengucapkan selamat tinggal.


Ya. Syed Agil adalah BFF saya. Secara diam-diam saya sudah memaafkan segala salah silapnya. Saya percaya, dia juga telah lama memaafkan saya. Tanpa mengucapkan pun, kami sama-sama faham bahawa kami sudah tiada menyimpan amarah, dendam, kecil hati, malah dosa sesama kami. Dan yang lebih penting, BFF akan mengingatkan kita tentang singkatnya masa kehidupan dan betapa semakin dekatnya Tuhan.


Itulah sahabat sejati ~ mengingati di samping mengasihi.


Artikel ini terbit di Sinar Harian pada 13.4.2011.

4 comments:

  1. sahabat sejati sahabat dunia akhirat

    ReplyDelete
  2. memang terkesan...
    pelbagai jenis sahabat yg ada

    ReplyDelete
  3. Acai, Syifa" dan SiTi... marilah kita berdoa agar kita sentiasa mendapat sahabat sejati yang boleh menjadi cermin dan penyuluh diri ketika kita lemah.

    Dan, berdoa juga agar kita dipilih menjadi sahabat kepada rakan-rakan sekeliling kerana ia adalah satu pengiktirafan yang tidak ternilai.

    ReplyDelete