Wednesday, November 17, 2010

SALAH TANGGAP MENGENAI KORBAN


KONSEP TAK LENGKAP
MENGENAI KORBAN

BERKORBAN selalunya dikaitkan dengan tindakan menyerah sesuatu yang berharga kepada sesuatu pihak. Masa, tenaga dan wang ringgit lazimnya adalah perkara kesayangan yang dikorbankan demi kebaikan pihak yang menerima korban itu.

Kamus Dewan mendefinasikan korban sebagai amalan menghampirkan diri kepada Allah; sesuatu persembahan kepada dewa dalam pemujaan; pemberian sebagai tanda kebaktian atau menanggung sesuatu penderitaan; agar pihak yang menerima apa yang diserahkan itu mendapat kebaikan daripada pengorbanan itu. Kamus Merriam-Webster pula mendefinasikan korban atau sacrifice sebagai menyerahkan sesuatu untuk sesuatu yang lain, selain daripada semua definasi di atas.

Kisah di dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim bersedia mengorbankan anaknya Nabi Ismail adalah senario yang menjelaskan konsep korban sebenarnya. Oleh kerana ketakwaannya kepada Allah, dua beranak itu rela melakukannya. Sehingga di saat-saat akhir perlakuan sembelihan itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah nekad untuk melakukannya sebagai tindakan memberi. Tetapi, Allah telah menukarkan korban anaknya itu dengan seekor kibasy. Mereka dibalas syurga kerana ketakwaan itu.

Bagaimana pun, mengikut kefahaman kebanyakan kita pada hari ini, berkorban itu satu tindakan untuk memberi sesuatu yang berharga kepada seseorang untuk kebaikan si penerima. Seorang cikgu sanggup mengorbankan masa rehatnya semata-mata demi kejayaan anak muridnya. Ahli politik pula mengorbankan masa rehatnya untuk kebajikan rakyat. Dan, seseorang bapa berkorban tenaga membanting tulang demi pelajaran anaknya.

Mengapa korban selalunya dikaitkan dengan kesusahan dan penderitaan seseorang demi kebahagiaan pihak yang satu lagi? Seolah-olah berkorban itu berat sebelah atau sesuatu tindakan umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Sedangkan bukankah berkorban itu adalah tindakan memilih salah satu situasi kos melepas? Kedua-duanya baik, tetapi pilihan kedua melalui pengorbanan itu memberi ganjaran yang lebih baik dan besar?

Seseorang guru ada pilihan untuk berehat dan melakukan apa yang dia suka di luar waktu mengajar. Tetapi dia memilih untuk berkorban masa semata-mata untuk kejayaan anak muridnya. Dia membuat pilihan yang kedua yang sebenarnya menguntungkannya juga. Apabila anak muridnya berjaya, dia akan berasa bahagia. Setiap kali wajah anak muridnya terpapar di dada akhbar kerana menjadi orang besar, dia akan berasa bangga di sepanjang hayatnya.

Seseorang ahli politik juga ada pilihan untuk mewakilkan para pegawainya menangani semua masalah rakyat. Tetapi dia menggunakan masanya untuk mendengar segala masalah rakyat tidak kira siang atau malam. Hasilnya, apabila masalah rakyat terbanyak di kawasannya terbela, dia dipercayai dan disayangi hingga terpilih lagi menjadi wakil mereka.

Begitu juga, seorang bapa yang bekerja untuk masa depan anaknya itu boleh sahaja bersantai-santai dengan kehidupannya. Biarlah si anak mencari kerja sendiri apa besar nanti. Pandai-pandailah hendak hidup nanti. Sebaliknya, apabila dia berkorban siang dan malam, bergolok dan bergadai demi pelajaran anaknya, si ayah akan memperoleh kebaikan untuk dirinya juga akhirnya. Apabila si anak berjaya kelak, dia juga yang akan dapat menumpang teduh ketika dia sudah tidak berdaya untuk melangkah.

Jelas sekali, berkorban itu bukan sahaja menguntungkan si penerima, tetapi juga si pemberi. Ia tidak pernah berat sebelah. Malah, si pemberi itu akan memperoleh hadiah dalam bentuk kebahagiaan dan kepuasan hati hingga ke akhir hayat melihat hasil pengorbanannya.

Kerana itu apabila dikatakan berkorban, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai melepaskan sesuatu untuk orang lain, membahagiakan orang lain atau memberi apa sahaja yang paling disayangi kepada orang lain tetapi diri sendiri merana dalam kepayahan.

Sebaliknya, jika kita menjangkau fikiran lebih jauh, kita akan sedari bahawa semua pengorbanan itu akhirnya dikembalikan untuk diri sendiri juga. Malah, ganjaran spiritualnya lebih baik dan besar. Itupun, belum termasuk ganjaran di akhirat kelak.

* Foto: tintaberdakwat.blogspot.com
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.11.2010.

2 comments: