Wednesday, November 3, 2010

AKIBAT BERADA DI ZON SELESA


Foto: mycathatesyou.com
KITA SUDAH
NAIK LEMAK

KEHIDUPAN sebahagian besar daripada kita adalah rutin. Bangun pagi, gosok gigi, mandi, solat, sarapan pagi, tengok TV dan pergi kerja. Di pejabat, buat kerja, mesyuarat, minum, buat kerja, makan tengahari, solat, buat kerja dan bila tiba waktunya, akan pulang ke rumah. Di rumah pun, rutin harian adalah serupa.

Kalau pun ada perbezaan adalah pada hujung minggu di mana sebahagian besar daripada kita boleh bangun lewat, mandi lewat, bersarapan lewat, bersantai dan melepak. Jika ada jemputan kenduri, kita akan hadirinya. Jika tidak, kita mungkin ke pasaraya untuk membeli-belah atau berjalan-jalan. Kita pulang apabila senja untuk berehat, menonton TV dan tidur awal agar dapat bingkas bila jam berbunyi keesokan harinya untuk pergi kerja.

Inilah kehidupan yang dikatakan sebagai settled down. Sudah tak susah-susah. Sudah tak payah-payah. Namun, masalah besar akan terjadi kalau pada suatu pagi kita bangun tidur lewat dan mendapati air paip tidak mengalir dan TV tidak bernyala. Seluar serta baju pula tidak bergosok dan sebelah stoking kita hilang entah ke mana. Pada pagi itu, roti yang dibeli sudah luput tarikh dan kita keluar rumah dengan perut kosong.

Kita tahu kita pasti terlewat kerana terlupa mengisi minyak petrol. Kereta yang beratur di stesen minyak sudahlah panjang dan pam yang berfungsi pula hanya satu. Sampai di pejabat kita disindir bos kerana terlewat. Laporan yang diingini bos pula tidak dapat diberi kerana fail di dalam komputernya sudah hilang. Pendek kata, pada hari itu semua yang terjadi terkeluar daripada kebiasaan. Kerana itu, wajah kita masam seperti terminum cuka.


Ya, kita tidak suka dengan hari itu. Tetapi ketika membelek akhbar dalam talian selepas itu, kita mula menoleh ke kiri dan kanan meja untuk bersembang dengan teman-teman. Bercerita tentang ibu mencari anak gadisnya yang hilang, seorang lelaki maut digilis keretapi, pengurus kedai runcit diragut, artis yang tidak digemari hendak kahwin dengan artis yang digemari. Oh, keseronokan membaca masalah orang lain begitu menguja perasaan hingga kita menjadi pembaca berita dalam talian untuk kawan-kawan.

Mengapakah pada asasnya kita tidak suka rutin harian kita tercalar walau sedikit pun? Tetapi, kita cepat marah-marah kalau orang lain tidak dapat memenuhi skrip kehidupan kita? Kenapa kita cepat berang bila fail yang dipinta tidak ditemui, mengeluh bos menelefon meminta sesuatu disiapkan secara tiba-tiba, atau membebel kerana kakak tukang sapu lewat membersihkan bakul sampah kita?


Mengapa pula kita jadi teruja membaca, mendengar atau menonton keluarbiasaan orang lain yang mengalami kemalangan, berdepan dengan tragedi dan ditimpa musibah? Apakah kita sebenarnya gembira mengetahui berita kesusahan orang lain? Apakah kita ini sadis? Sama sekali tidak! Kita bukannya gembira, malah kita turut bersedih, simpati dan empati dengan apa jua episod hitam yang dihadapi oleh orang lain.

Tetapi setakat bersedih sambil menggeleng tanpa melakukan apa-apa. Pasif. Kita hanya begitu kerana kita sendiri takut dengan keluarbiasaan, tidak berani menghadapi risiko dan tidak terdaya bila dicabar dan diuji dengan keadaan malang seperti orang lain lalui.

Sebab itulah, selain daripada berita, kita sukakan cerita. Filem di pawagam atau TV daripada pelbagai genre menjadi kesukaan. Lagi ganas, ngeri, seram dan surreal adegan yang terpapar, lagi seronok kita menatapnya, siri demi siri, minggu demi minggu, ulang tayang demi ulang tayang.

Lama kelamaan, kita menjadi insan yang menonton. Menonton hingga tidak dapat membezakan yang mana benar, yang mana fiksyen. Gempa bumi di dalam filem itu dilihat sama dengan letusan gunung Merapi ~ sama-sama ditonton dengan santai sambil mengunyah keropok.

Daripada satu segi, alhamdulilah kita bernasib baik kerana tidak ditimpa musibah. Tetapi, daripada satu sudut yang lain pula, suasana aman damai lama kelamaan menjadikan kita terlupa bahawa kehidupan di dunia tidak semestinya berakhir seperti filem Walt Disney. Ia menjadikan kita naik lemak kerana berada di dalam zon selesa.

Sebab itulah kita jadi cemas tidak tentu hala
hanya kerana terlewat seminit untuk mengetip kad perakam waktu!


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.11.2010.

6 comments:

  1. Inilah yang kita panggil sistem. Kita adalah sebahagian dari sebuah sistem kehidupan. Lain tempat, lain budaya, lain pula sistem hidupnya. Sistem hidup yang seperti saudara Eyman sebutkan itu adalah sistem hidup moden. Perhatikan, mana-mana komuniti dan masyarakat moden yang tinggal di bandar-bandar di mana-mana sahaja didunia ini, begitulah rutin harian hidupnya, agak berbeza dengan cara hidup tradisional yang kurang bergantung kepada teknologi, dan lebih berdikari.

    Sistem hidup ini terjana hasil dari aktiviti-aktiviti, cara bersosial, budaya dan matlamat hidup sesuatu masyarakat itu. Adakah ia salah? Saya tidak tahu jawapannya. Cuma, kita harus perhati dan menyelidik, benarkah sistem hidup begini yang kita mahukan? Adakah cara hidup begini dapat memenuhi matlamat hidup kita? Adakah cara hidup begini dapat menjadikan kita sebagai insan yang lebih positif dari hari ke hari? Adakah sistem hidup yang kita jalani sekarang ini menyebabkan kita tiada terasa untuk menjaga tepi kain orang?

    Dalam konteks agama Islam, adakah sistem hidup begini menepati matlamat hidup kita selepas mati? Ya! Kita hidup adalah untuk kehidupan selepas mati.

    Satu lagi persoalan, siapakah yang merangka-cipta sistem hidup yang kita jalani sekarang ini?

    Kerana apa, corak hidup yang terlalubergantung kepada sistem (ATM,My Kad, Pengangkutan moden, Pendaftaran secara digital, budaya
    kepenggunaan, komputer dll) akan menyebabkan kita mengalami masalah untuk berdikari di saat-saat unsur luar mengganggu sistem hidup kita, dan berfikir secara luar kotak kerana semuanya telah disediakan oleh sistem itu, kita hanya menjalaninya sahaja tanpa perlu berfikir panjang.

    Di sini kita akan nampak bagaimana positifnya kehidupan yang lebih tradisi yang kurang bergantung kepada teknologi. Apakah akibat terlalu bergantung kepada sistem hidup moden yang berteraskan teknologi? Jawapan samar-samarnya boleh kita dapatkan didalam filem Die Hard 4.0.

    Maaf jika ada tersilap cakap, sekadar berkongsi pandangan. Peace En. Eyman!

    ReplyDelete
  2. salam En.Eyman..
    Salam juga kpd En.Torpedo..
    sy ada gak bersetuju dgn en. torpedo..
    kita mmg selalu leka bila berada dlm zon selesa tetapi tidak semua org mendapat 'zon selesa' mereka dengan mudah. sy antara mereka yg berusaha keras untuk berada dlm 'zon selesa' dari berbasikal hingga mampu memiliki kereta,dari rumah setingan ke rumah teres.
    dan tak salah kiranya kita menikmati 'zon selesa' ini selepas berusaha untuk mendapatkanya. Kenapa kita berusaha untuk mendapatkan 'zon selesa'?? pastinya untuk menikmatinya. Jadi tak salah menikmatinya setelah berusaha sejak dibangku sekolah,di alam perkerjaan dan bila waktunya kita dapat menikmatinya akan timbul satu perasaan takut.. perasaan dimana,bagaimana kita nak menhadapi jika kita terkeluar dari 'zon selesa' ini. Hidup ini umpama roda.. ada waktu diatas,ada waktu dibawah.Pasti akan ada waktu kita berada di 'ZON TIDAK SELESA' nanti.

    Hanya nurkilan rasa-harap maaf jika tersalah.

    ReplyDelete
  3. Torpedo,
    Saya setuju, pelbagai sistem yang memudahkan akhirnya turut menjadikan kita robot yang hanya berani bergerak di dalam kandang minda.

    Tetapi sukar juga kalau tiada sistem untuk itu semua. Pokoknya, kita yang menguasai sistem dan bukan sebaliknya.

    ReplyDelete
  4. Teka-teki...
    Bagi saya, takut berada di dalam Zon Tidak Selesa itu menandakan saudara mesih belum berada di dalam Zon Selesa. Baguslah begitu!

    ReplyDelete
  5. Dalam hal ni, kita perlu berfikir semula-apakah kita mangsa sistem, atau kitakah yang memangsakan sistem.

    Kita akan mula jadi robot kehidupan apabila tidak meletakkan mardhatillah sebagai tujuan, atau lebih tepatnya tak ada hala tuju dalam hidup.

    Dalam kehidupan sebagai siswi, saya melihat ramai kawan yang masuk univ hanya untuk berhappy-happy, study hanya untuk exam dan marah2 apabila prasarana tidak cukup tanpa sedar apa yang menanti di hadapan.

    Sebenarnya suka kepada pleasure sudah membarah ke akar umbi!

    ReplyDelete
  6. salam en teka teki

    saya bersetuju dgn pendapat tu. Tapi apakah usaha kita itu dapat bertahan dan masih berbudi pada kita dan generasi kita di masa hadapan sekiranya kita masih lagi berfikir utk memperuntukkan masa untuk menikmatinya?

    ReplyDelete