Tuesday, August 17, 2010

SETAHUN PEMERGIANMU


Foto: mahaguru58.blogspot.com
BIARLAH
ORANG BAIK
PENGARUHI KITA

SAYA terpegun setiap kali menatap wajah Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Asri, berzikir di TV. Suara Allahyarham bukan sahaja lunak, malah mendamaikan. Meskipun beliau telah pergi tak akan kembali pada 13 Ogos 2009, namun suara serta imejnya masih di sini. (al-fatihah)

Saya hanya mengenali Allahyarham dari jauh. Hanya mendengar dan menonton persembahannya di kaca TV. Kalau ada pun saya bertemu Allahyarham secara live ialah ketika beliau memimpin bacaan Yassin dalam satu majlis anjuran syarikat. Beliau membaca surah Yassin dengan suara yang lantang, dengan tartil; hampir sempurna tajwidnya. Saya yang tidak pandai berlagu pun boleh terikut-ikut dengan bacaan Yassin dengan berlagu pada malam itu.

Sejak itu saya meminati peribadi Allahyarham yang murni. Di antara kata-kata puitis beliau yang syahdu ialah, ‘Aku adalah pengejar syurga akhirat. Bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke mana pun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku.’ (dipetik daripada blog Allahyarham http://www.asrirabbani.blogspot.com/)

Saya menafsir kata-kata Allahyarham sebagaimana berikut: ‘Jika ingin menjadi ahli syurga, berperibadilah seperti ahli syurga di dunia ini.’ Sungguh. Saya ingin mempraktikkan apa yang Allahyarham sarankan. Namun, hati kecil saya selalu menyedarkan yang saya ini masih berperangai seperti ahli dunia setiap kali saya perasan yang saya sudah berperibadi ahli syurga.

Rasa kagum saya dengan Allahyarham Ustaz Asri dikongsi sama oleh sebilangan teman-teman. Ketika berbual-bual sementara menanti waktu berbuka, salah seorang rakan, Abdul Salam menyampuk, “Elok sangat bila kita boleh terpengaruh dengan orang-orang baik… walaupun kita tidak mengenali mereka dan mereka tidak mengenali kita.” Kata-kata rakan saya itu meskipun ringkas, membuatkan saya terfikir di sebaliknya. Bagaimana kita boleh terpengaruh dengan orang-orang yang tidak baik, walaupun kita tidak mengenali mereka, dan mereka tidak mengenali kita?

Di zaman ledakan maklumat, setiap hari kita terdedah untuk mengenali ramai sekali manusia yang kita belum pernah jumpa. Di dada akhbar, kita menatap dan membaca cerita mereka. Di kaca TV dan internet, kita menonton aksi dan mendengar suara mereka. Di internet juga, kita berkenalan secara siber, rakan-rakan teman sosial dan rakan blog yang sebahagian besarnya tidak kita kenali.

Pokoknya, baguslah jika mereka yang baik sahaja yang pengaruhi hidup kita. Rencana, filem dan video pengembara yang berani, pemuzik dan penyanyi yang menghiburkan atau kepandaian manusia yang mengagumkan patut sekali menjadi inspirasi, meskipun mereka tidak mengenali kita, dan kita tidak mengenali mereka.

Sebaliknya, mereka yang hodoh perangai, buruk lidah dan busuk hati tidak seharusnya mempengaruhi kita. Bagaimana pun, mengapa sebilangan daripada kita yang terlalu membenci mereka yang buruk ini, seolah-olah kita mengenali mereka dan mereka mengenali kita?

Ada di antara kita yang begitu terkesan dengan keburukan mereka yang tidak kita kenali hingga sanggup menghebah dan berkempen membenci mereka yang tidak kita sukai. Kita bukan sahaja mengkritik secara lisan, malah sanggup menghebahkan keburukan orang yang tidak kita kenal itu kepada dunia melalui internet. Hinggakan ada yang sanggup membuka laman anti-seseorang yang dibenci dan mengumpul pula penyokong mereka yang sama-sama tidak suka kepada seseorang itu hingga beribu-ribu jumlahnya.

Seharusnya, biarlah kita tahu mengenai keburukan seseorang yang tidak kita kenal secara sekali lalu. Tidak perlu kita memberi reaksi melalui tulisan dan perkataan. Kerana, tidakkah tindakan over kita itu sebenarnya menggambarkan kita terpengaruh dengan keburukan orang itu?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.8.2010.

4 comments:

  1. Terbukti hadis yang mengambarkan manfaat yang boleh diperolehi bila berdampingan dengan pemakai minyak wangi...

    ReplyDelete
  2. Pembetulan, saudara HK. Sebenarnya ia merujuk kepada pepatah Arab iaitu: “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

    ReplyDelete
  3. PEMBETULAN:
    Seorang teman menegur saya. Katanya, 'hal pemakai minyak wangi' itu sebenarnya hadis, dan BUKAN PEPATAH ARAB. Saya membuat sedikit rujukan dan memperolehnya. Saya perturunkan di bawah ini:

    عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “إنما مثل الجليس الصالح وجليس السوء كحامل المسك ونافخ الكير، فحامل المسك إما أن يحذيك وإما ان تبتاع منه وإما أن تجد منه ريحاً طيبة ونافخ الكير إما أن يحرق ثيابك وإما أن تجد منه ريحاً منتنة” صدق رسول الله صلى الله عليه وسلم”.
    (رواه البخاري ومسلم)
    Bermaksud:
    “The example of a good companion and a bad companion is like that of the seller of musk, and the one who blows the blacksmith’s bellows.. So as for the seller of musk then either he will grant you some, or you buy some from him, or at least you enjoy a pleasant smell from him. As for the one who blows the blacksmith’s bellows then either he will burn your clothes or you will get an offensive smell from him.”

    Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."

    Taraf hadis ini adalah sahih.
    Justeru itu, buat saudara HK... maafkan saya kerana kesilapan ini. Wassalam.

    ReplyDelete
  4. Saya pernah bertemu beliau ketika beliau mengadakan mini konsert di perkarangan Masjid Zahir. Tidak silap saya pada tahun 1997. Itulah pertemuan secara dekat saya dengan Asri Ibrahim yang pertama dan yang terakhir dan ia menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupakan oleh saya.

    ReplyDelete