Tuesday, August 24, 2010

KEHURUHARAAN BERSUARA


Foto: napleswebdesign.com
BILA SEMUA ORANG
BERCAKAP SERENTAK


DAHULU, dunia komunikasi lebih berat sebelah. Biasanya, mereka yang menguasai media yang akan lebih berkuasa membentuk apa yang dinamakan sebagai public opinion. Orang awam lebih banyak menjadi penerima. Komunikasi adalah daripada atas ke bawah. Kerana itu, si penerima komunikasi akan lebih patuh kepada apa yang dia terima kerana dia tidak punyai ruang dan peluang untuk menyuarakan pendapatnya.

Apabila dunia pengiklanan mula rancak pada tahun-tahun 60an, apa yang dinamakan sebagai ledakan komunikasi telah terjadi. Sejak itu, seluruh pancaindera manusia mula ditawan iklan yang bentuknya lebih agresif. Hingga ke hari ini, iklan menjelma, mengintai dan mengacah minda dari pelbagai arah dengan beranika cara.

Julia (misalnya), yang bangun pagi tidak boleh tidak akan berdepan dengan tidak kurang daripada 20 produk sebelum dia sempat masuk ke pejabat. Sebaik sahaja bangun pagi, Julia menggosok gigi menggunakan ubat gigi Mukmin, mandi dengan sabun Dove dan bersyampu dengan Safi.

Selepas itu, dia menyarung baju daripada butik Munawwarah, bertudung Jakel bersarapan dengan meneguk susu Dutch Lady bersama sekeping roti Gardenia yang disapu majerin Dorina tatkala menonton TV3 sambil membelek majalah Rapi. Untuk ke pejabat, dia memakai kasut DKNY dan bertas tangan berjenama Gucci.

Ketika memandu Toyota Viosnya di lebuhraya Duke, Julia memasang radio Hot.fm dan terdengar iklan Etiqa dari Maybank. Sambil berbaris di tol, dia memandang iklan kolej Mahsa di bontot bas. Bila menoleh, dia terpandang pula iklan pasaraya Giant di sebelah kanan jalan dan sepanduk Jamu Mak Dara di kiri jalan.

Ledakan komunikasi begitu menggusarkan para sosiologi dan psikologi. Banyak perbincangan dan persidangan dibuat ke arah merumuskan bahawa pengiklanan yang terlalu banyak akan merosakkan fikiran manusia. Namun segala-galanya mengenai pengiklanan, komunikasi sehala dan kesannya menjadi perkara kecil apabila munculnya internet.

DUNIA internet, ternyata lebih mempengaruhi kita daripada pengiklanan itu sendiri. Bermula dengan komunikasi secara e-mel, dan sembang siber, laman-laman forum membuka lagi ruang sebilangan daripada kita untuk berinteraksi sama ada untuk mencari di manakah tempat yang terbaik untuk membeli tayar hinggalah apa yang artis X buat setelah bercerai. Kemunculan blog pula memungkinkan seseorang yang boleh menulis membuka laman peribadi.

Dan akhirnya, kemunculan laman-laman sosial pula membolehkan mereka yang tidak pandai menulis panjang untuk menyertai dunia komunikasi di alam siber. Ia adalah kemuncak kepada evolusi dunia komunikasi. Jika pada tahun-tahun 60an, komunikasi lebih berat sebelah, kini, sesiapa sahaja boleh menyuarakan pendapat masing-masing.

Kini, ia memberi erti baru kepada public opinion. Jika dahulu, public opinion bermaksud pendapat ramai yang lazimnya seragam, kini, public opinion adalah pendapat ramai yang pelbagai. Apa yang dinamakan sebagai kebebasan bersuara kini telah menjelma menjadi kehuruharaan bercakap. Bayangkan, apabila setiap individu mempunyai cara pemikirannya yang tersendiri dan dia ingin dunia mengetahui apa yang dia fikirkan, tidak kira sama ada ia baik atau buruk, yang hak atau batil, berfakta atau penuh fitnah, mementingkan maslahah atau sebaliknya, maka anarki pemikiran sudah menular ke dalam mana-mana masyarakat pada hari ini.

Jika dahulu kita takutkan ledakan komunikasi, pada hari ini kita sendiri yang merosakkan pemikiran kita sesama manusia dengan memaparkan sampah sarap minda untuk dibaca oleh orang lain. Apabila semua orang boleh bercakap, maka siapa pula yang hendak mendengar, apatah lagi memikirkan apa yang disampaikan? Bila masing-masing begitu self-centered, banyakkah kebaikan yang kita peroleh daripada komunikasi di internet sejak akhir-akhir ini?

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam.”


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.8.2010.

3 comments:

  1. salam tuan..saya sangat setuju dengan pandangan tuan.. public opinion merupakan satu anugerah.. pergerakan dari atas ke bawah atau dari bawah ke atas merupakan simbol kepada kemanusiaan. Apa yang menarik perhatian saya pendekatan sekarang sangat berubah..adakah ini menandakan lambang ketamadunan ilmu manusia kian mencapai tahap kematangan? Allah memberi peringatan kepada kita tentang kejumudan افلا يبصرون, افلا يعقلون,افلا يتدبرون.cuma yang kita tertinggal disini mengenai peringatanNya supaya tidak meninggalkan al-quran dan Sunnah dalam mendepani kehidupan.Kini ramai orang bercakap tentang ketelusan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penguasa,ramai juga yang bercakap mengenai cintaannya terhadap bangsa yang kian meninggalkan nilai adap dan budaya, setiap masa mereka bercakap tentang demokrasi dan sebagainya..tetapi percakapan mereka tersangkut dimana???

    ReplyDelete
  2. Sdra Ulwan,
    Kehuruharaan pemikiran berlaku pada hari ini kerana kita semakin kurang akhlak. Sedangkan akhlak itu adalah ciri masyarakat yang bertamaddun.

    Kerana itulah ramai di antara kita terlalu ghairah hendak mencapai hasrat masing-masing sama ada dari segi memupuk semangat, menguatkuasakan peraturan dan menjunjung nilai tetapi mengenepikan ketertiban berkomunikasi.

    Komunikasi itu perlu dua hala atau lebih, timbang-terima, timbang rasa, toleransi, kompromi dan konsensus dengan mengambil kira maslahah. Tetapi keseluruhan proses komunikasi dan hasilnya tidak melanggar syariat.

    Wallahualam.

    ReplyDelete
  3. saya setuju....komunikasi dua hala yang berkesan akan memberi natijah yang seimbang dengan tuntutan. cuma saya rasa ada beberapa perkara yang perlu juga dijenguk bersama.. disamping tidak dikesampingkan nilai pokok yang utama. Akhlak merupakan asas perutusan Nabi. membaiki serta mendidik akhlak merupakan tunjang kepada keperibadian. Akhlak tanpa pedoman akidah dan syariah, bagi kita sebagai muslim, mungkin ia merupakan satu kerugian.Ada syariah dan akidah tanpa akhlak juga merupakan satu kerugian.Tetapi alangkah cantiknya rupa seorang muslim jika terdapat 3 serangkai dalam dirinya..

    ReplyDelete