Wednesday, July 14, 2010

Mengendalikan Setiap Keputusan


Foto: telegraph.co.uk

MENYUKAI
APA YANG KITA PILIH


SAYA mengenali Aman, anak seorang kenalan sejak dari zaman persekolahannya. Aman seorang pemuda yang rajin. Sementara menanti keputusan SPM, Aman memperoleh dua peluang pekerjaan. Yang pertama, membantu rakannya menjaja CD cetak rompak. Kedua, menolong bapa saudaranya di gerai burger. Aman memilih kerja yang kedua.

Apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, Aman memperoleh keputusan yang cemerlang. Dia memperoleh 8A1. Pada waktu yang sama, Aman sudah pun menerima tawaran melanjutkan pelajaran daripada pelbagai kolej swasta dan IPTA. Ada tawaran mengikuti kursus pemasaran, perakaunan, kejuruteraan dan lain-lain. Akhirnya, Aman memilih untuk menuntut di sebuah universiti tempatan dalam bidang Arkitektur, iaitu kursus yang dicita-citakannya.

Sudah sekian lama saya tidak menemui Aman sehinggalah terserempak dengannya ketika makan tengah hari di sebuah restoran di Taman Tun Dr. Ismail. Aman tidak seceria yang saya kenali. Lantas saya bertanya, “Aman jadi arkitek di mana?”

Dia tersenyum tawar bila mendengar soalan saya. Perlahan-lahan dia menggeleng. “Aman kerja dengan kawan di bengkel motor aje, pakcik.” Mata saya bulat memandangnya. Mengapa Aman tidak memilih kerjaya seperti yang diingininya? “Abah dah meninggal. Ramai adik-adik Aman nak sekolah. Aman tak boleh pilih kerja.” Saya mula mengerti dengan situasinya.

Ya. Dalam hidup, kerapkali kita berada di persimpangan pilihan. Dan, bentuk-bentuk pilihan yang kita hadapi ada tiga. Pertama, memilih di antara yang baik dan yang buruk. Bagi Aman, dia memilih untuk menolong bapa saudaranya menjual burger dan bukan sebagai penjaja CD cetak rompak. Pilihan begini mudah dilakukan kerana tentu sekali yang baik mengatasi yang buruk. Dalam kehidupan, kita mudah memilih sama ada untuk merokok atau berhenti demi kesihatan; sama ada memandu mengatasi had laju hingga membahayakan keselamatan diri atau memelihara nyawa dengan mematuhi undang-undang.

Kedua, memilih yang terbaik di antara yang baik. Buat Aman, dia memilih bidang arkitektur di antara tawaran-tawaran kursus yang bagus-bagus juga. Pilihan jenis kedua ini juga agak mudah, sama seperti kita hendak memilih pakaian mana yang lebih cantik di antara yang molek-molek di gedung pakaian, atau makanan mana yang ingin kita rasa di antara senarai menu hidangan di restoran.

Namun, pilihan bentuk ketiga amat sukar kerana ia adalah memilih sesuatu yang kita tidak mahu pilih. Seperti Aman, meskipun ingin menjadi seorang arkitek, dia terpaksa mengorbankan kerjayanya semata-mata untuk membantu keluarganya. Umpama, ditelan mati emak, diluah mati bapak. Dalam kehidupan, kita pernah berdepan dengan situasi terpaksa memilih apa yang kita tidak hendak.

Bagaimana pun, walaupun apa pun pilihan, kita mestilah menyukai apa yang kita telah pilih dan bukan membencinya. Ini adalah kerana, pilihan yang kita buat akan mempengaruhi minda dan emosi kita. Jika kita membenci apa yang kita pilih, kita terpaksa mengharungi hari demi hari dalam mode pemikiran yang pasif dan negatif. Emosi kita juga akan terganggu dan ini akan menjejaskan pandangan kita terhadap kehidupan itu sendiri.

Like what you do, not do what you like. Sukailah apa yang kita buat, bukan buat apa yang kita suka. Dengan pendirian begitu, kita boleh berdepan dengan apa jua halangan. Saya teringat kata-kata seorang tokoh korporat mengenai kita dalam menghadapi cabaran. Katanya, “jadilah seperti benih yang baik… jatuh ke laut menjadi pulau, bergolek ke darat menjadi bukit, tercampak ke langit menjadi satelit!”

Al-Quran ada menyentuh mengenai hal ini. “…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah 216)


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.7.2010.

6 comments:

  1. setuju..
    kita selalu rasa itu terbaik untuk kita...
    tetap[i dia lebih memahami apa yang terbaik untuk kita...

    dugaan yang diciptanya adalah satu rahmat untuk kita...
    cuma kita saja yang kadang-kadang tidak nampak hikmahnya...

    ReplyDelete
  2. “jadilah seperti benih yang baik… jatuh ke laut menjadi pulau, bergolek ke darat menjadi bukit, tercampak ke langit menjadi satelit!” Saya suka kata-kata ini.

    Saya ada satu lagi kata-kata hikmah yang mahu di kongsi bersama En.Eyman.

    "Jadilah kamu seperti sepohon pokok, ketika kamu dilempari batu, tetapi kamu mebalas dengan buah."

    Dari As Syahid Imam Hassan Al Banna.

    ReplyDelete
  3. Abg Peng...
    Ya Awwalu wal akhiru. Dia ada sebelum kita ada, Dia ada selepas kita tiada. The Grand Maestro yang meletuskan kejadian alam dan menggerakkan atom. Tentulah Dia tahu segala untuk kita.

    ReplyDelete
  4. Torpedo... Alangkah baik jika kita sentiasa dapar bersikap begitu. Bila pipi kanan ditampar, pipi kiri pula kita sua. Bila dimaki, kita membalas dengan memuji.
    Memang sukar berperangai mulia sebegini.

    ReplyDelete
  5. nice article bro, kadang-kadang pilihan tak datang..yg datang KEWAJIBAN & TANGGUNGJAWAB

    saya ingat zaman skang dah tak ada perkara yg biasa berlaku zaman mak saya..maklum la, kita dah nak pergi ke negara berpendapatan tinggi

    ReplyDelete
  6. Kudabesi... Ya, bila KEWAJIBAN & TANGGUNGJAWAB mendatang, perasaan kena tolak ke tepi. JUST DO IT.

    Zaman pun sudah berubah. Yang dikejar mesti kita dapat, yang dikendung mesti jangan tercicir.

    ReplyDelete