Wednesday, June 30, 2010

Tidak Cukup Dengan Apa Yang Ada


Foto:mybijakwang

MENGAPA MENYUKAI
APA YANG KITA TIADA


PADA cuti sekolah baru-baru ini, saya berkunjung ke rumah sepupu saya. Dia mempunyai dua orang anak lelaki yang comel. Yang pertama, berusia 6 tahun dan yang kedua pula 4 tahun. Sebagai buah tangan, saya membelikan masing-masing sebuah buku abjad.

Kedua-duanya tampak gembira dengan hadiah saya dan asyik membelek buku masing-masing di sudut ruang tamu. Namun, keasyikan mereka hanya seketika. Selang beberapa minit, mereka bergaduh, berpukul lalu menangis. Terpaksalah ibu mereka menjadi pengaman. Melalui leteran si ibu, tahulah saya yang mereka bergaduh kerana berebut buku.

Puncanya ialah bila si abang hendakkan buku si adik. Tentu sekali si adik tidak mengizinkan. Dan, si abang pula, meskipun buku yang saya berikan kepadanya lebih cantik dan lebih tebal, dia masih mahukan buku si adik.

Sekali pandang, sudah menjadi adat bagi kanak-kanak berebutkan sesuatu sama ada benda atau makanan. Tetapi, jika dilihat daripada sudut kejiwaan, sikap menyukai apa yang kita tiada sudah tertanam di dalam diri kita. Ini adalah kerana, sejak kecil kehendak kita pasti dilayani oleh ibu bapa. Apa sahaja yang dikehendaki akan ditunaikan. Akhirnya, ia menjadikan kita berasa mudah memperoleh sesuatu. Apabila kita dewasa, pelbagai kekangan menyekat kita memperoleh apa yang dihajati secara mudah. Lalu ia terpendam hingga menimbulkan rasa tidak puas dengan apa yang ada.

Daripada sudut yang positif, menyukai apa yang kita tiada itu menjadikan kita mencabar diri untuk memperoleh sesuatu yang lebih bagus. Pemikiran yang sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik atau lebih hebat itu adalah sikap yang terpuji. Namun, ia menjadi masalah dan bala kepada diri seandainya kita menghalalkan cara untuk mencapai matlamat, lalu menggagaunya dengan melanggar adat, adab mahupun undang-undang. Lantas kita tergamak menipu kelulusan untuk memperoleh jawatan, merasuah untuk mendapat projek atau menjatuhkan orang yang berada di atas kita.

Daripada sudut yang negatif, sikap menyukai apa yang kita tiada ini berakar akibat rasa rendah diri. Lalu berasakan apa yang kita ada itu tidak elok. Lantas, kita menyuntik hidung kita yang berbentuk jambu air supaya tinggi dan mancung seperti paruh burung belatuk. Atau memperlekeh bapa sendiri kerana beranggapan bapa orang lain lebih baik. Atau apabila kerap terasa kerja di syarikat lain lebih bagus, maka saban hari kita mencerca tempat kerja sendiri tanpa menyedari yang cercaan kita itu adalah doa yang akan meranapkan syarikat dengan kita, kita sekali.

Sedarilah bahawa apabila kita terlalu inginkan sesuatu hingga berasakan apa yang kita ada itu tidak elok, atau terlalu fokus kepada apa yang kita tiada, ia adalah petanda yang kita sudah lupa bersyukur. Sikap syukur akan membenihkan sifat sabar. Dan bersabar dengan berasa cukup dengan apa yang ada pula akan mencambah sikap qanaah iaitu berpada dengan apa yang ada.

Sebaliknya apabila kita lebih menyukai apa yang kita tiada, ia akan membenih sifat tamak hingga cemburu dengan apa yang ada pada orang lain. Lebih buruk lagi andainya kita bersifat dengki dengan merampas apa yang orang lain ada.

Seharusnya kita bukan lihat apa yang orang lain ada, renung apa yang orang lain tiada. Ertinya, kita mesti tenung dari kacamata spiritual dengan menyedari mereka yang lebih rendah, lebih dhaif atau lebih bernasib malang daripada kita. “Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan cara itu kita semakin bersyukur bukannya semakin kufur iaitu syukur nikmat bukannya kufur nikmat. “Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” Al-quran, (14:34).


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.6.2010.

2 comments:

  1. Tulisan tuan umpama ubat / air yang dapat merawat jiwa yang gersang agar kembali subur menumbuhkan benih harapan baru.
    Terkadang pohon yang tumbang memerlukan sokongan dari luar untuk berlapang dada dengan apa yang menimpa dan tidak berputus asa dari rahmatNYA.
    Sampah juga dapat dimanfaatkan jika sanggup membuat kitar semula dengan mengasingkan apa yang masih boleh dimanfaatkan.
    Istilah "jangan Serik" yang tuan lontarkan sewaktu mengembalikan manuskrip buku Dato Hassan Nawawi kepada saya masih relevan untuk saya meneruskan saki baki umur dalam bidang persuratan. Teringin untuk menerima bimbingan tuan.

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdra HK... Sudah lebih 10 tahun kita tidak berjumpa. Kira-kiranya itulah yang pertama dan yang terakhir kita bertemu. Saya masih ingat saudara datang dengan sebuah beg besar dari jauh. Teruskan berusaha. Buat biar sampai jadi.

    ReplyDelete