Tuesday, May 18, 2010

Lestarikan Fizikal Anda


Foto: newsoftheworld

BERSUKAN

BUKAN UNTUK
JADI JUARA


DI ANTARA rutin saya pada pagi minggu ialah berjoging di taman rekreasi. Selain daripada menyihatkan badan, inilah satu-satunya aktiviti di mana saya boleh mengekori gadis-gadis tanpa siapa pun yang peduli! (Saya buat lawak, ni). Saya tidak berjoging lama. Cukuplah setengah jam. Cukuplah seminggu sekali. Saya juga bermain badminton tiga kali seminggu. Kerana rajin bersukan, saya kelihatan seperti lelaki berusia 35 tahun jika dipandang daripada arah belakang tetapi 18 tahun lebih tua jika dilihat dari hadapan.

Pada Ahad lalu, ketika berjoging, saya terperasan betapa kurangnya mereka yang berusia 30-40an yang turun bersukan. Denai joging di pagi minggu itu dipenuhi dengan golongan pelajar sekolah, siswa-siswi dan juga golongan warga emas. Ke mana pergi golongan pertengahan itu? Apakah mereka terlalu sibuk mengejar material? Ketika berhenti meregangkan tubuh, saya terfikir akan kepelikan ini.

Sukan adalah aktiviti fizikal yang mempunyai peraturan. Lazimnya ia dijalankan dalam bentuk pertandingan. Kerana itu, kehandalan seseorang di dalam bersukan itu diukur daripada sepantas mana dia berlari, setinggi atau sejauh mana dia boleh melompat, sebanyak manakah mata yang dia peroleh dalam sesuatu perlawanan atau kekuatannya menumpaskan lawan.

Oleh kerana sukan dikonotasikan sebagai aktiviti pertandingan serta menang dan kalah, maka apabila seseorang itu meningkat dewasa, khususnya setelah meninggalkan zaman pembelajaran, tabiat bersukan mula diketepikan. Bila terasa diri sudah tidak handal dan hebat, masing-masing menjauhkan diri daripada aktiviti fizikal ini kerana berasa malas jika kalah dalam pertandingan.

Akibatnya, ramai yang kuat mental dan tinggi spiritualnya, tetapi lemah fizikalnya. Mana mungkin seseorang itu hebat mental, spiritual tetapi lemah fizikalnya? Jika salah satu daripada tiga komponen diri itu lemah, maka kehandalan seseorang itu sebenarnya tidak seimbang.

Seorang akauntan yang hebat mentalnya mencongak angka, tinggi spiritualnya kerana rajin bertahajjud, mungkin tidak boleh berlari melewati dua tiang lampu tanpa henti kerana dah putus nafasnya sebaik sahaja menapak 15 langkah. Begitu juga, seorang ahli politik yang boleh membuat orang lain bersemangat kerana petahnya berceramah, hebat spiritualnya kerana rajin bersedekah, mungkin menjadi pemimpin yang dipimpin pembantunya kerana kakinya sakit akibat gout.

Oleh kerana amalan bersukan ditinggalkan, maka ramai rakyat di negara ini menghidap penyakit orang kaya seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Kegemukan pula sudah menjadi satu kebiasaan bila seseorang itu mendirikan rumah tangga atau menjangkau ke usia 30an. Padahal, berat badan dan sihat badan boleh dikawal dengan bersukan.

Sebenarnya, jika sukan tidak dilihat sebagai aktiviti yang mementingkan siapa menang, siapa kalah, maka ia akan diterima dengan seadanya. Yang mustahak, bersukan itu adalah untuk meregangkan otot, menguatkan tulang dan meluaskan saluran darah. Untuk itu, bersukan adalah satu aktiviti untuk mengukur selama manakah seseorang itu dapat melakukan sesuatu aktiviti.

Justeru itu, ia bukan untuk mengukur kepantasan menghabiskan larian 1,500 meter, berapa banyakkah mata yang diperoleh dalam sukan boling atau apakah lawan dapat dijatuhkan dalam sukan judo. Tetapi yang penting ialah selama manakah seseorang itu boleh tahan berlari, tinggi dalam konsentrasi dan tahan bergumpal tanpa mengah. Pendek kata, bersukan adalah untuk melestarikan fizikal kita. Itulah erti kemenangan yang harus dicari.

Kibar-kibarkanlah tangan dan bukakan langkah. Paling mudah dan murah untuk aktiviti sukan ialah brisk walking jika tidak boleh berjoging. Tetapi, walau selama manapun kita melakukannya, tubuh mestilah berpeluh.

Jika tidak berpeluh, bukan bersukan namanya!


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.5.2010

No comments:

Post a Comment