Monday, November 12, 2018

ALAM SIBER YANG MEMBUANG TABIAT

ALAM SIBER YANG
MEMBUANG TABIAT


BARU-BARU ini saya dapat bersembang dengan seorang usahawan gigih yang berjaya. Seperti orang lain yang hebat, usahawan ini bergelumang dengan pancaroba yang silih berganti sejak kecil sehingga dewasa. Dugaan sewaktu kecil adalah tentang survival diri. Cabaran ketika dewasa pula ialah persoalan survival bangsa dan agamanya apabila skop perjuangannya sudah melangkaui prioriti diri sendiri.

Apa yang menarik ialah, di sepanjang meniti jalan hidupnya, usahawan ini sentiasa dipertemukan dengan teman-teman yang menjadi sahabat, rujukan dan idolanya. Dari peringkat sekolah rendah, menengah, belajar di institusi pengajian tinggi dan akhirnya di dunia kerjaya, beliau akan mempunyai seorang teman yang beliau anggap seperti cermin buat dirinya.

Seandainya hanya dipandang daripada jauh, usahawan ini akan jadikan teman ini idolanya. Segala perilaku dan tindak tanduknya menjadi ikutan. Sekiranya teman itu rapat dengannya, dia akan menimba ilmu kehidupan daripada teman itu. Beruntungnya dia kerana bertemu dengan insan-insan yang baik ini. Mereka semualah yang mencorakkan kejayaan usahawan ini di setiap perbatuan perjalanan hidupnya.

Kawan. Merekalah yang boleh mempengaruhi perilaku kita. Apabila meningkat remaja, inilah zaman dugaan. Tabiat remaja yang suka berkawan kerana takut hilang kawan akan menjadikan kita pak turut kepada kumpulan kerana peer pressure. Kita mengikut sahaja demi kebersamaan. Padahal, itulah zaman di mana banyak kesilapan terjadi. Kesilapan itu pengajaran. Tetapi berapa ramai di antara kita pada ketika itu sedar akan pelajaran yang mengiringi kesilapan itu?

Apabila kita meningkat dewasa dan mula bekerja, kita akan punyai rakan sekerja yang berlainan pula. Jika kita gila kerja, kalangan kawan-kawan kita juga adalah mereka yang suka balik lewat. Andainya kita jenis ponteng kerja, kita akan berkawan dengan mereka yang suka melepak di kantin walaupun di waktu pejabat.

Diri kita beransur-ansur berubah dengan kumpulan mana kita kerap bersama. Di kawasan rumah pula kita berkawan dengan geng surau, dengan geng bergebang di gerai, geng badminton, teman golf dan juga teman-teman seperjuangan di arena politik.

Pendekata, di setiap peringkat usia dan di mana pun kita berada, kita akan punyai sekelompok teman-teman yang rapat dengan kita. Merekalah yang membentuk kita pada setiap fasa kehidupan yang kita lalui. Semakin kita meningkat usia, persahabatan kita dengan mereka itulah yang membentuk peribadi kita. Lazimnya rata-rata mereka yang rapat dengan kita itu di kalangan yang seusia. Justeru itu, tindak tanduk dan perilaku kita terbentuk seiring usia.

Tapi itu dahulu. Sekarang, zaman sudah berubah. Zaman teknologi siber bukan sahaja bagus kerana memudahkan proses ‘jejak kasih’ di antara saudara mara dan sahabat handai.  Ia mampu menghimpun kawan-kawan kita dari peringkat tadika hingga ke teman-teman pencen dalam pelbagai media sosial.

Tetapi masalah sampingan yang timbul ialah apabila ia menggaul dan membongkah kembali zaman silam ke hari ini dengan kehadiran kawan-kawan  dari zaman kecil hingga sekarang secara serentak. Tidak boleh tidak, apabila kita memasuki kumpulan sembang kawan-kawan sekolah, perangai kita jadi budak sekolah kembali.

Apabila kita bertemu kawan-kawan sekampus pula, tindak tanduk kita seperti perangai di zaman kampus. Akibatnya, walaupun kita kini dah jadi ustaz, kita masih tergelak keh-keh-keh apabila bersembang dengan kawan-kawan di zaman remaja. Bila bersosial dengan teman-teman di 20-an barangkali oleh kerana biasa pergi disko, segala lagu Saturday Night Fever kita kirim semula pada kawan-kawan.

Kesudahannya, personaliti kita menjadi haru-biru. Jangan pula berasa apalah sangat apabila bertemu di alam siber. Kita bukannya berjumpa tetapi sebaliknya hanya menulis di laman sosial atau laman sembang. Tapi maaf cakaplah, pada banyak ketikanya permainan di fikiran itu lebih jahat daripada tindakan itu sendiri. 


Pada saat ini, barangkali kita sudah haji dan jadi orang yang alim. Tetapi jejari kita bertindak seperti anak muda di zaman jahiliah yang dah lama kita taubat untuk tinggalkan. Semua itu kerana dimensi fasa persahabatan yang telah diterobos oleh sihir teknologi itu. Tabiat kita yang seiring dengan usia dan masa telah kita buang jauh-jauh.

No comments:

Post a Comment