Sunday, September 23, 2018

MELANGKAH MENUJU MATLAMAT


PERJALANAN
PERGI TAK KEMBALI

SAYA berbual dengan Hanum seorang siswi yang baharu menyudahkan latihan praktikal di sebuah syarikat animasi. Oleh kerana saya selalu ke sana untuk berurusan, saya dan Hanum sering sapa menyapa. Tambahan pula dia menuntut di UiTM. Sebagai bekas penuntut di sana juga, saya mudah mesra dengannya.
Setelah bersalam-salaman dengan staf-staf di syarikat itu, dia menghampiri saya. Sambil tersenyum manis, dia bersuara, ‘Hanum last hari ini. Minggu depan nak sambung belajar. Boleh tak Encik Norden berikan Hanum nasihat atau tip. Apa-apalah tentang perjalanan saya untuk mencapai impian di kemuncak nan indah! Chewah!’
Hanum memang gadis yang bijak dan suka berseloroh. Dia sentiasa tekun menghadap komputer setiap kali saya ke syarikat animasi itu. Jarang sekali saya nampak dia bersembang kosong dengan staf di kiri dan kanannya. Oleh kerana itu, saya patut bantu dia dengan satu dua panduan untuk kebaikan gadis ini. Saya berikan dia tujuh tip.
Pertama, apabila kita mahu melangkah menuju ke sesuatu tempat baharu atau suasana baharu, kita kena tahu di manakah tempat itu. Kita juga perlu ada wawasan, iaitu boleh memvisualkan tempat atau suasana baharu yang ingin kita pergi. Seolah-olah tempat itu sudah terpampang di depan mata. Pendek kata, minda kita sudah sampai ke tempat itu dahulu, tubuh kita tiba kemudian.
Kedua, sebelum melangkah, kita perlu tahu di manakah kita berada iaitu di manakah lokasi kita sekarang? Ia sama sepertimana apabila kita menggunakan aplikasi GPS. Selain daripada tahu ke mana arah tujuan, GPS juga bertanyakan di lokasi semasa kita berada. Apabila kita tahu di manakah kita, adalah mudah untuk kita membajet masa yang diperlukan.
Ketiga, berapa lamakah tempoh untuk kita tiba ke tempat yang dituju? Lagi jauh tempat dituju, lagi lamalah masa yang diperlukan. Apabila kita tahu lama atau sekejap pergerakan kita untuk ke sana, kita boleh tumpukan perhatian kita. Tempat yang jauh atau sukar itu perlukan tumpuan fikiran yang lebih lama.  

Keempat, bekalan apakah yang perlu dibawa di sepanjang perjalanan? Seandainya ia adalah pencapaian dari segi ilmu, penambahan pengetahuan amat perlu dibawa bersama dari tempat kita mula melangkah. Kita juga perlu sentiasa menambah pengetahuan di sepanjang perjalanan menuju matlamat.
Kelima, pada prinsipnya, kita tidak boleh menukar haluan sebaik sahaja melangkah. Apa jua halangan perlu diatasi dan direntasi. Apabila tumpuan itu terfokus pada matlamat, apa jua halangan yang mendatang sudah tidak penting. Yang mustahak ialah mencapai matlamat.
Keenam, hanya pada tiga keadaan sahaja kita boleh menukar haluan. Ia boleh diambilkira seandainya nyawa kita terancam di sepanjang perjalanan menuju matlamat. Tatkala itu, kita bukan sahaja patut mengubah haluan. Sebaliknya boleh kembali ke tapak asal bermula. Satu lagi ialah apabila matlamat yang ingin dicapai itu hilang dari pandangan. Barangkali, apa yang dikejar itu adalah fatamorgana semata-mata.
Akhir sekali, matlamat yang hendak dicapai itu sudah tidak besar dan bermakna lagi. Ini berlaku apabila kita sendiri mempunyai kehendak yang lebih besar daripada yang asal. Pada ketika itu, mengubah haluan adalah pilihan yang terbaik.
Ketujuh, bilakah kita sepatutnya memulakan perjalanan itu? Sekaranglah, bukan esok ataupun lusa. Betapa pun, setiap perjalanan itu perlu ada persiapan. Ertinya, perjalanan sekarang bermaksud persediaan, perancangan dan congakan tenaga, masa dan wang yang diperlukan untuk perjalanan itu.

Perancangan itu sendiri juga adalah persediaan mental supaya fokus kita tak lari dari tujuan asal itu untuk bergerak menuju ke matlamat. Apabila kita mula melangkah, kita bukan berlumba dengan sesiapa kecuali dengan diri kita sendiri. Apabila kita sampai ke matlamat, kita menang melawan segala perasaan negatif. Itulah kejayaan peribadi yang begitu bermakna kerana hanya kita yang tahu apa yang kita ingini.
Perjalanan dalam kehidupan itu sebolehnya tidak kembali ke tempat asal atau ke suasana asal. Jika ia berpatah balik, perjalanan itu hanyalah sebuah musafir ataupun hanyalah aktiviti melancong sahaja.
Sebaliknya, perjalanan yang tidak kembali itu tentulah untuk sesuatu kebaikan, perubahan dan keuntungan untuk diri sendiri. Perjalanan ini juga dikenali sebagai hijrah. Hijrah itu bukannya setahun sekali. Tetapi, seandainya ia dilakukan hari-hari, maka hari-harilah.
Hanum tersenyum-senyum mendengar kuliah saya. ‘Encik Norden tulislah kat kolum Maaf Cakap. Bolehlah saya baca dengan teliti,’ katanya. ‘Hanum, aku tahu kau blurr!’ jawab saya di dalam hati.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian pada 12.9.18.

No comments:

Post a Comment