Tuesday, July 17, 2018

DARE TO BE DIFFERENT


PICRREDIT: LOVETHISPIC

BERANI JADI

LAIN DARI YANG LAIN
KELMARIN, ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang terdiri daripada anggota parti UMNO dan Pas meninggalkan Sidang Dewan Rakyat ke-14 kerana mempertikai cara pelantikan Speakernya. Hanya dua orang anggota pembangkang yang tidak keluar dewan. Salah seorang daripadanya adalah Ahli Parlimen Rembau, YB Khairi Jamaluddin.
Lalu imejnya yang duduk bersendirian menjadi fokus. Ia kemudiannya tular di medsos dan menjadi bahan usikan netizen. Ramai juga yang melihat tindakan beliau sebagai wajar. Bagaimana pun, tindakan Khairi itu nyata tidak menggembirakan blok pembangkang. Ada ura-ura tindakan beliau itu bakal mengakibatkan dia dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti.
Walau apa pun implikasi dan persepsi daripada tindakannya itu, menurut KJ, beliau tidak ikut keluar dewan beramai-ramai kerana menghormati majlis.  Meskipun menganggotai UMNO, dalam kes ini, beliau bertindak bersandarkan pendirian peribadinya.
Jika kita ingat, hanya beberapa hari setelah UMNO-BN tewas teruk dalam PRU-14, KJ tampil menyuarakan kekesalannya kerana tidak bertindak untuk menegur pucuk pimpinan. Oleh kerana tidak menegur itulah, menurut Khairi,  maka parti tidak mendapat maklumat yang betul  hingga membawa kepada kekalahannya.
Barangkali kerana menghormati budaya untuk tidak mengkritik pemimpin parti, KJ tidak bersuara garang, ataupun tidak menegur pucuk pimpinannnya sama sekali pada waktu itu. Oleh kerana kesal, KJ memperbetul dan mengukuhkan prinsip-prinsip peribadinya.
Mulai saat itu, beliau menyuarakan pendapatnya dengan lantang. Bahasanya pun keras, bebas dan ada kalanya babas misalnya menggunakan istilah ‘pekak’ untuk menggambarkan sikap tidak peduli rakan-rakan seanggota parti terhadap perubahan persepsi masyarakat terhadap parti UMNOnya. Pendiriannya kian jelas meskipun ia mengundang persepsi negatif dari kalangan partinya, seolah-olah suaranya bukan lagi suara UMNO.
Jika kita renungkan, KJ hanyalah salah seorang insan yang berpegang kepada sebuah pendirian yang lain daripada yang lain. Daripada sudut  kendiri, sikap berani menyuarakan sesuatu pandangan, kemudian berpendirian teguh kepada hujah adalah sesuatu yang menjadikan kita insan yang berbeza daripada orang lain. Sebenarnya, tidaklah begitu sukar untuk berpegang teguh kepada sesuatu keputusan yang berlainan daripada orang lain.
Tetapi ia menjadi payah apabila kita terikat kepada apa yang dinamakan sebagai norma masyarakat. Kerana mengikut norma itulah maka kita amat menjaga agar tidak melanggar pantang larang dalam masyarakat. Kita tidak mahu melanggar kebiasaan kerana akan dikatakan sebagai punca perpecahan dalam masyarakat. Akhirnya, agar tidak menimbulkan masalah, kita sendiri yang mengikat diri kita sebagai jalan mudah dan selamat.
Dunia perniagaan khususnya pemasaran dan komunikasinya amat suka dengan tabiat manusia yang suka menjadi seperti orang lain. Mereka mengambil kesempatan menghimpun tabiat manusia yang menitikberatkan soal kesamaan dan keseragaman. Apa yang dianggap sebagai norma masyarakat tidak akan dilanggar secara sembrono oleh mana-mana perniagaan kerana ia akan memberi kesan kepada kuasa pembeli. Oleh kerana itu, seboleh mungkin manusia pengguna itu dibentuk dan disuakan dengan apa yang serupa dan seragam.
Manusia dikaji dan dikategorikan mengikut tabiat kesukaannya. Muncullah istilah avatar pengguna di mana manusia pengguna itu dihimpun ke dalam pelbagai kategori untuk memudahkan mereka dilorong dan disorongkan dengan sesebuah gaya hidup. Gaya hidup ini adalah apa yang digunakan oleh sesebuah kelompok pengguna itu. Ini termasuk pelbagai produk yang antaranya barangan pengguna, kediaman, perbankan, pengangkutan dan juga perhubungan.
Apabila kita diasak dengan pelbagai barangan pengguna ini, kian sehari, kita semakin serupa di antara satu sama lain. Kita makan benda yang sama, menonton drama yang sama, menghiasi rumah dengan kelengkapan yang sama,  bersosial dengan kelompok manusia yang sama, malah memusuhi pasukan bola yang sama atau menyokong parti politik yang sama kerana kita hendak sama dengan orang lain.
Dalam pada kita ingin menghormati norma masyarakat, pihak perniagaan menggunakan sikap kebersamaan manusia ini untuk membentuk kesamaan daripada segi kepenggunaan. Akhirnya kita berasa selamat apabila ada apa yang orang lain ada. Kita berasa kekurangan, malah miskin apabila tiada apa yang orang lain ada.
Perasaan ini membawa kepada ketakutan manusia untuk mempunyai minat yang tersendiri, yang berbeza daripada orang lain. Kita boleh nampak kegilaan pada hari ini, oleh kerana harga durian sudah murah, maka kita membeli kerana tidak mahu berasa ketinggalan membeli durian. Minggu lalu, apabila ramai yang memperkatakan mengenai bolasepak  Piala Dunia, yang tidak minat bolasepak pun tidak mahu ketinggalan menonton sukan itu.
Sesungguhnya apabila kita buat apa yang orang lain buat, ia menandakan yang kita takut untuk menjadi lain daripada yang lain. Ertinya kita berasa selamat untuk melakukan sesuatu kerana ramai orang lain melakukan perbuatan itu. Soalnya, apakah kita terfikir, bagaimana andainya khalayak ramai itu silap? Beranikah kita menongkah arus untuk jadi berbeza daripada orang lain?
Memandang kepada senario pada hari ini, barangkali ramai di antara kita yang selesa melakukan kesalahan beramai-ramai tetapi tak berani melakukan sesuatu yang betul secara bersendirian. Maka benarlah hadis yang menyentuh masa depan agama Islam.
Hadis riwayat Muslim mengatakan: Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. 
Tanyalah diri sendiri, apakah kita ini berani punyai pendirian yang asing?

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.7.18.

1 comment: