Tuesday, October 11, 2016

UNTUK KITA YANG BERFIKIR



Piccredit: huffingtonpost.com

TEKNOLOGI KERDIL 
KITA DI SISI-NYA

SEORANG teman menjemput saya ke majlis perkahwinan anaknya. Majlis itu agak jauh dari rumah saya iaitu di Puchong. Kerana itu saya menumpang sahaja jiran sebelah rumah yang kebetulannya sepejabat dengan teman saya. Oleh kerana isteri masing-masing tidak berkesempatan, maka saya bersama jiran saya sahaja yang ke majlis itu.

Kami sama-sama tidak pasti lokasi majlis itu diadakan. Maka jiran saya, Kasir memasang GPS. Kasir membawa anak bongsunya, Boy yang berusia lima tahun. Boy petah budaknya. Ada sahaja soalan yang ditanya kepada ayahnya. Kadangkala perbualan kami terencat bila Boy bertanya sesuatu kepada Kasir. Kadangkala Kasir terpaksa menghentikan soalan anaknya bila dia hendak mendengar arahan dari suara GPSnya. Nampak juga Kasir sekali-sekala rimas dengan selingan-selingan daripada Boy.

Setelah beberapa kali Boy terasa perbualannya asyik terhenti kerana ayahnya hendak mendengar arahan daripada GPS, maka budak itupun mula bertanya soalan-soalan yang saya kira cerdik. ‘Perempuan tu tak penat bercakap ke, ayah?’ soalnya setiap kali mendengar arahan dari suara dari alat GPS di kereta ayahnya. Kasir hanya menjawab dengan gelengan.

‘Semua kereta ada alat GPS ini ke ayah?’ Kasir mengangguk pula. ‘Kalau macam tu, perempuan tu ada dalam semua kereta, ya kan, ayah?’ Kasir mengangguk lagi. ‘Dia beri arahan pada semua kereta nak pegi ke mana-mana, kan ayah?’ Kasir mengangkat keningnya. ‘Kalau semua kereta di dunia ini pakai GPS, perempuan tu boleh beri arahan pada juta-juta kereta, kan?’ Kali ini Kasir tidak mengangguk. Sebaliknya dia mengeluh. ‘Ooo… kalau macam itu, Boy tak pelik!’

Kata-kata itu membuat Kasir menoleh kehairanan memandang anaknya. ‘Kenapa tak pelik, Boy?’ soal Kasir pula. ‘Apa yang peliknya?’ jawab Boy. ‘Malaikat maut pun boleh pergi serentak pada ribu-ribu manusia kat dunia ini, bila ALLAH suruh, kan?’

Kali ini, aku pandang Kasir, Kasir pula memandang aku. Dalam bersoal-soal itu, Boy punyai kefahaman bagaimana malaikat Izrail menjalankan tugasnya, hanya dengan membandingkan fungsi GPS yang mampu memberi arahan kepada jutaan pengguna dalam perjalanan masing-masing. Sungguh. Tatkala aku kecil, aku tidak boleh memikirkan logik bagaimana malaikat Izrail mencabut nyawa manusia serentak dalam beberapa lokasi di seluruh pelosok dunia. Tetapi teknologi hari ini membolehkan kanak-kanak seperti Boy memahami kehebatan ALLAH.

Fikiran saya melayang teringatkan fungsi malaikat Raqib dan Atid, iaitu malaikat yang mencatat dosa dan pahala manusia. Ketika kecil dahulu, saya tidak dapat memikirkan bagaimana malaikat-malaikat itu menjalankan tugas mereka. Saya hanya membayangkan pen dan kertas yang malaikat-malaikat itu gunakan untuk mencatat pahala dan dosa kita. Bila memikirkan bagaimana malaikat-malaikat itu mampu mencatat dosa pahala jutaan manusia, aku mula bingung.

Namun, pada hari ini, kita melihat fungsi alat perakam audio dan visual yang menyimpan segala maklumat. Begitu juga dengan medium yang menyimpan tulisan seperti SMS, Whatsapp, Facebook, blog, laman web mahupun buku, jurnal dan helaian kertas dapat mengarkibkan apa sahaja yang kita lakukan sejak lahir hingga kita ke liang lahad.

Jika sewaktu kecil kita bingung bagaimana seluruh rakaman kegiatan manusia ini dilakukan, pada hari ini kita tidak berasa pelik. Malah, kita sendiri yang memuatnaik aktiviti kita di internet hingga ia boleh ditonton oleh jutaan manusia. Untuk itu, tidak mustahil untuk mengerti bagaimana ‘layar besar’ yang mempamerkan aktiviti kita di yaumil mahsyar kelak.

Kemampuan akal kita hanya dapat memvisualkan sebuah dewan operasi yang amat besar serta mempunyai ribuan skrin di mana setiap satunya diperuntukkan untuk seorang insan. Rakaman itulah yang akan ditayangkan kembali di akhirat nanti. Tetapi, rahsia ALLAH dan segala ‘peralatan’ pemantauannya yang lebih canggih masih tidak dapat terjangkau dek akal kita.

Minda-minda kita ini umpama versi komputer yang tidak dibekalkan dengan perisian yang membolehkan kita melihat rahsia-rahsia ALLAH kecuali hanya kepada apa yang dibenarkan sahaja. Biarlah teknologi menghampirkan diri dalam memahami kehebatan ALLAH, bukan kian menjauhkan seolah-olah kita serba-serbi tahu segala-galanya.


 “Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS. Ali Imran: 191).

Insya-ALLAH artkel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 12.10.16.

No comments:

Post a Comment