Tuesday, October 25, 2016

PILIHAN SONGSANG



Piccredit: sites.psu.edu
MENGAPA KITA 
MENCARI KETAKUTAN?

‘HANTU dah masuk ke Sinar Harian?’ demikian soal hati saya apabila terdengar suara staf perempuan terjerit-jerit seperti kerasukan di luar bilik mesyuarat. Tatkala itu, saya sedang berbincang dengan para editor saya mengenai perancangan akhbar untuk hari itu. Sedikit sebanyak ia mengganggu tumpuan kami yang sedang bermesyuarat.

Selang beberapa minit kemudian, saya kaget bila terpandang sesusuk lembaga terhendap-hendap menuju ke bilik mesyuarat. Ia menghampiri cermin bilik mesyuarat menyeringai ke arah saya. Salah seorang editor memberitahu, sebuah syarikat sedang mempromosi program ‘takut-takut’ di pusat rekreasinya. Yang jadi hantu itu adalah staf pemasarannya. Lantas saya memberi isyarat agar petugas itu beredar sahaja kerana tidak mahu dia masuk mengganggu kami dengan promosinya.

Kini, semakin banyak pihak yang menggunakan elemen menakut-nakutkan sebagai pelaris perniagaan. Kita membaca laporan bagaimana ada bomoh yang menggunakan jin sebagai medium dalam pengubatannya. Jika ada pesakit datang dengan cerita yang pelik-pelik seperti tidak nyenyak tidur, kerap bermimpi dan ternampak bayang-bayang, si bomoh akan menggunakan pendekatan yang menakutkan pesakit.

Hal-hal seperti saka, tuju-tuju dan buatan orang dirumus sebagai diagnosisnya. Si pesakit yang barangkali sudah lemah semangat akan mengikut sahaja program rawatan meskipun ia menelan belanja beratus ringgit. Semakin lama si pesakit menemui bomoh, semakin tenggelamlah ia di dalam cengkaman psikologi si bomoh yang menggunakan pendekatan secara menakut-nakutkan. Pesakit itu akan semakin sakit dengan cara pengubatan sebegitu.
Betapa pun, seseorang pesakit menemui bomoh untuk membuang sesuatu yang menakutkannya.

Bagaimana pula kita yang pada hari ini yang mencari ketakutan? Pada hari ini ketakutan boleh ditemui  melalui drama dan filem. Hiburan yang menggunakan kesan audio dan visual itu mengeksploitasi elemen menakut-nakutkan dengan menggunakan imej-imej hantu. Filem dan drama sebegini mempunyai pengikut yang ramai.

Namun, formulanya sudah stereotaip. Ia bermula dengan watak-wataknya diganggu hantu yang mendiami sesebuah rumah, bangunan atau kawasan. Akan terjadi suatu peristiwa yang menggemparkan sekumpulan manusia dengan kehadiran hantu itu. Hantu itu boleh membunuh atau menyebabkan pembunuhan.

Kemudian akan hadir penyelamat yang akan menewaskan hantu dalam suatu pertarungan. Keadaan akan menjadi aman kembali. Jika kita meneliti bahan-bahan penulisan seperti novel, cerita-cerita seram menjadi pilihan sebilangan pembaca. Pendekatan dan formulanya sama juga seperti filem dan drama.

Penonton atau pembaca pula mengalami elemen menakutkan apabila penulis skrip mahupun novel dapat ‘menghantukan’ apa sahaja di sekelilingnya untuk dijadikan cerita. Rumah besar boleh berhantu apabila ia digambarkan sebagai bekas kawasan perkuburan askar Jepun. Kipas angin di dalam bilik boleh berhantu kerana ia tempat orang menggantung diri. Bahan-bahan seperti keris dan barang kemas boleh jadi berhantu kerana dipakai oleh mangsa suatu pembunuhan.

Soalnya, elemen yang menakutkan itu sudah sebati dengan masyarakat kita. Jika dahulu kita tidak suka dimomokkan dengan rasa takut, pada hari ini kita mencari ketakutan. Malah ia menjadi pilihan pula. Dalam kehidupan seharian pun kita sudah berdepan dengan pelbagai ketakutan seperti takut gagal, takut rugi, takut kehilangan, takut tak naik gaji, takut sampai lewat ke pejabat atau takut miskin, mengapa kita tidak fokuskan sesuatu yang sebaliknya tatkala kita ingin merehatkan diri daripada segala jenis ketakutan?

Untuk menghilangkan rasa takut, apa yang harus kita cari dan ialah mencari keberanian. Dalam mencari keberanian, kita kenalah menggali dan mengenali tokoh-tokoh yang berani seperti pejuang, pahlawan, maharaja, pemimpin dan juga nabi. Setelah menemui mereka yang berani, baharulah kita boleh belajar menjiwai apa itu keberanian.  

Menjiwai keberanian ialah membuat pasak ke dalam diri dan minda agar dipenuhi dengan rasa berani. Ia lebih mudah jika kita tidak melayani apa-apa elemen yang menakutkan meskipun ia dianggap hiburan. Maafcakaplah… berhibur dengan elemen-elemen yang menakutkan itu membuka ruang di dalam diri untuk melayani rasa takut hingga terbawa-bawa setelah televisyen dipadam, lampu pawagam bernyala atau sesudah novel ditutup.


Tepuk dada, tanyalah diri apakah aku benar-benar berani meninggalkan ketakutan itu sendiri?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.10,16.

No comments:

Post a Comment