Tuesday, May 17, 2016

CUBAAN SINAR HARIAN SUBURKAN TOLERANSI



polopoly.karangkraf

KITALAH MALAYSIA,
JIWANYA MALAYSIA

PADA 18 Jun ini, Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan.  Baharu sahaja Pilihanraya Negeri Sarawak mendingin, dua PRK itu terus menghangatkan suasana politik di Malaysia. Sebenarnya, sejak tsunami politik PRU ke-12 pada tahun 2008 berlaku, Malaysia  tidak sunyi daripada kehangatan politik.

Cakap-cakap dan kutuk mengutuk politik juga sudah menyeluruh dan sebati di kalangan kita sehingga ia seolah-olah sudah menguasai apa sahaja yang berlaku di Malaysia. Kejatuhan mata wang, minyak, BR1M, GST, TPPA, kamera AES, pembekuan pekerja asing, banjir kilat,  bahasa, biasiswa malah apa sahaja dengan sembrono, dikaitkan dengan politik. Ia kian parah hingga sudah melanggar batas-batas agama, ras dan budaya. Persefahaman antara ras di Malaysia, toleransi beragama dan tata susila budaya rakyat Malaysia telah dimomokkan dengan sudut pandang politik.

Politik ini telah meracuni fikiran rakyat Malaysia sehingga kita tidak hormat anutan agama, kepercayaan dan tatasusila orang lain kerana berasakan hanya politik sahaja yang menjadi perisai untuk  menjamin kelangsungan keteguhan jatidiri ras masing-masing. Apabila hal politik ini saban hari, minggu, bulan dan tahun dimainkan, sesiapa sahaja mula berasa tidak selamat. Tiga ras utama, Melayu, Cina dan India khususnya diimbas dengan rasa curiga di antara satu sama lain. Akhirnya, insiden kecurian di Plaza Low Yat, nyaris menyalakan api perkauman apabila ia dihembus dengan asap politik.

Sampai bila rasa ini harus menjalar  di sanubari masing-masing? Manusia secara fitrahnya mahukan keamanan, kedamaian dan keselamatan.  Orang Melayu, Cina dan India pula adalah bangsa-bangsa Asia yang punyai tamaddun gemilang masing-masing. Malangnya, anak cucu bangsa melayu, Cina dan India pada hari ini dilupakan akan pentingnya menjaga kesiumanan masing-masing dek kerana bara politik. Seolah-olahnya suara-suara aku cinta Malaysia, aku faham bangsa lain, aku ingin hidup sayang menyayangi dianggap sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. 

Apa akan terjadi sekiranya perkara ini terus dibiarkan? Sebagai sebuah akhbar, Sinar Harian punyai peranan. Dan, peranan itu harus dimainkan. Sinar Harian amat prihatin dan berasa bertanggungjawab untuk mengekang perasaan yang merosakkan ini daripada terus menular dan membakar perasaan. Dan, kami masih yakin, rasa persefahaman, toleransi dan rasa ingin hidup bersama di antara ras ini masih wujud, tapi sudah tenggelam di celah-celah akar masyarakat.

Lantas tercetuslah konsep Kitalah Malaysia sebagai pendekatan yang kecil tetapi konsisten untuk menyemarakkan kembali rasa cintakan negara. Mulai November 2015, Sinar Harian mula memaparkan kolum satu halaman ini.  Meskipun dalam sehari, Sinar hanya memaparkan sebuah kisah seorang anak Malaysia, tidak kira dari mana-mana ras, tetapi apa yang kita ingin paparkan ialah, jiwa Malaysia masih subur di kalangan kita semua.

Ia umpama setitik air yang menitis ke sebuah batu yang besar. Meskipun setitis,  namun lama kelamaan, titisan-titisan ini bisa melekukkan batu. Lalu semua skuad Sinar Harian ditugaskan untuk menggali dan menemukan insan-insan berjiwa Malaysia di seluruh pelosok negara. Rupa-rupanya di luar kepompong politik, jauh dari riuh rendah dan keluh kesahnya, masih terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan dan toleransi sebagai anak Malaysia.

Kini, hampir 200 kisah-kisah anak Malaysia yang berjiwa Malaysia sudah diselongkar. Sinar Harian mengharapkan agar kisah-kisah insan anak Malaysia ini menyuburkan jiwa-jiwa kita yang lain, yang sudah kering perasaan!

Lalu terpaparlah kisah Abdul Lajan @ Anwar Hayatullah, yang mampu berbahasa Tamil dan Cina,  kisah bagaimana Popo yang beragama Buddha membesarkan cucunya Nabilah Isham yang beragama Islam dan Tan Ling Hing dikenali sebagai Jusoh kerana hidup di kalangan masyarakat Melayu. Apakah ertinya?  Ertinya, masih ramai rakyat Malaysia yang boleh hidup bersama pelbagai kaum dengan aman damai lagi harmoni sebagai sebuah keluarga.

Dan, kolum Kitalah Malaysia ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pembaca akhbar ini. Ramai yang memuji dan menzahirkan bahawa inilah perasaan murni mereka yang sudah lama terpendam.

Melalui Sinar Harian Online pun, catatan Kitalah Malaysia mendapat beribu likes dan ratusan share. Ini tidak termasuk berpuluh-puluh komen positif mereka yang berasa seronok melihat suburnya jiwa Malaysia ini. Malah, sesetengah blog politik turut memaparkan kisah-kisah Kitalah Malaysia di blog mereka. Ini tidak termasuk saluran-saluran televisyen yang membuat cerita susulan dari kolum Kitalah Malaysia.


Sesungguhnya, kisah insan-insan yang dibentang di kolum Kitalah Malaysia ini bukan tempelan atau yang dibuat-buat untuk meuwar-uwarkan jiwa Malaysia. Ia benar, ia realiti yang masih subur di celah-celah hiruk pikuk politik yang meresahkan. 
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.5.16.

No comments:

Post a Comment