Wednesday, May 25, 2016

CAKAP SIANG PANDANG-PANDANG


Piccredit: socialnewsdaily.com
HENDAK BERTINDAK BIAR BERTEMPAT

SAYA cukup geram apabila tatkala memandu di lorong laju, ada pula kenderaan yang memberi isyarat kerana hendak memotong. Kalau tidak membunyikan hon, mereka menyalakan lampu supaya saya segera ke lorong sebelah. Walaupun memberi jua laluan kepada mereka, saya tahu mereka bukannya pemandu yang cekap.

Kalau mereka cekap, mereka akan terus beralih ke lorong kiri dan memotong kereta saya. Tanpa bunyi hon, tanpa perlu menyalakan lampu, mereka sudah memecut dan sayup meninggalkan saya. Saya tahu pemandu begitu memang hebat. Sebabnya, pelumba kereta di litar lumba tidak pernah menyalakan lampu atau membunyikan hon bila hendak memotong!

Ada ketikanya juga saya begitu rimas bila ada di kalangan ahli kumpulan WhatsApp yang saya sertai berbalas pantun mengenai politik. Mula-mula dengan fakta, kemudian berbalas kritik dan akhirnya kutuk mengutuk seolah-olah sedang berdebat secara berdepan. Bila saya tutup WhatsApp dan buka balik sejam kemudian, polemik itu masih tak habis-habis lagi.

Saya mengagak yang mereka bukan cekap berdebat kerana mereka hanya pandai menulis. Sebabnya, mereka boleh ambil masa untuk susun perkataan yang power untuk mencantikkan ayat dan mematahkan hujah. Bila dah rasa kemas, baharulah dikirim ke dalam mesej kumpulan. Lagipun, orang yang cekap berdebat tidak suka menulis panjang-panjang.

Pada hari ini, kita hidup di padang yang terbuka luas. Orang kata, tanpa sempadan. Ruang maklumat, berita dan cerita boleh ditatap dalam waktu yang singkat. Ia menjadikan kita ghairah apabila maklumat tiba di hujung jari. Sementelah pula, masing-masing boleh menulis
dan mahu suara masing-masing didengari, maka maklumat yang tiba itu dilontar kembali ke merata tempat mengikut kehendak sendiri.

Dunia tanpa sempadan ini umpama pasar di mana kita boleh lihat apa sahaja yang kita suka. Umpama kita melangkah di pasar juga, kita akan berhenti dan membelek barangan yang kita  ingini. Tidak semestinya apa jua barangan yang kita pegang itu sesuatu yang kita ingin beli dan bawa balik.
Tetapi, begitulah. Barangan yang berada di pasar semuanya tampak sama nilainya. Walaupun ada barangan yang mahal, tetapi oleh kerana ia berada di pasar, barang yang mahal pun tidak nampak mahalnya. Puncanya ialah kerana suasana di pasar itu sendiri apabila semua barangan dihimpun di suatu kawasan. Tiada konsep eksklusif.

Begitu jugalah, mengapalah mereka yang cerdik pandai pada hari ini pun sudah tidak peka dan selektif dengan audien? Tidak kiralah samada doktor, jurutera, akauntan, peguam, pendidik, seniman malah golongan ustaz sendiri, masing-masing menyuarakan pandangan kepakaran mereka di mana-mana sahaja yang mereka mahu seperti juga seperti kita-kita yang hanya orang biasa ini.

Jika semua mereka ini menggunakan laman-laman sosial untuk menyampaikan ilmu masing-masing, maka di manakah eksklusiviti dan medan sesuai untuk penyebaran ilmu itu sendiri? Oleh kerana ia dikemukakan di forum yang umum, sesiapa sahaja boleh membidas, malah mempersenda hujah yang diberi, meskipun yang mempersoalkan itu hanya melakukannya secara suka-suka sahaja. Akhirnya, hujah yang baik dipalit dan dipesong hingga tampak dangkal.

Tempat yang sesuai bagi seseorang ustaz menyatakan hukum hakam secara jelas ialah melalui majlis ilmu secara bersemuka. Penyampaiannya berbeza mengikut audien. Jika audiennya orang kampung, maka bahasa mengajak yang digunakan. Jika audiennya pelajar universiti, maka cara hujahlah yang dipakai.

Orang politik pula, tentu sekali patut menggunakan ayat-ayat yang memujuk bagi audien umum. Jika hendak berdebat, hanya sesuai di majlis forum mahupun di parlimen. Pakar perubatan pula misalnya, boleh menyampaikan ilmunya melalui ceramah, kuliah ataupun melalui jurnal.

Jika mereka yang bijak pandai ini hanya rancak di media cetak, elektronik mahupun media sosial, eksklusiviti ilmu mereka akan jadi murah bila dilekehkan oleh mereka yang tidak menghormati ilmu.

Sebab itulah, seperti pemandu litar lumba yang tidak perlu menunjuk handal di depan pemandu amatur, mereka yang cerdik pandai tidak perlulah berbalah dengan orang biasa apabila turun ke medan perbualan orang bawahan seperti kita-kita ini. Mereka perlu kekalkan kehadiran di padang masing-masing. Jika mahu juga bersama dengan orang ramai, mereka hanya perlu menyampaikan ilmu dan hujah masing-masing secara seadanya. Tetapi, yang paling baik ialah mengajak orang ramai ke gedung atau forum ilmu mereka.

Umpamanya, jika si pelumba grand prix memandu penonton di litar lumbanya, baharulah si penonton tidak akan mempersoal akan kehebatan si pelumba. Sekurang-kurangnya tempias ilmu memandu laju dapat dipelajari oleh si penonton. Dan, yang pasti, si pelumba itu akan dikagumi akan kehebatannya.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.5.16.

No comments:

Post a Comment