Tuesday, March 29, 2016

ORANG TUA DAN ORANG MUDA



Piccredit: suaramujahirin313.blogspot

MENJADI KETUA HINGGA KE TUA

APABILA anak bongsu saya ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan SPMnya baru-baru ini, saya sudah menjangka yang keputusannya akan lebih baik daripada keputusan peperiksaan SPM saya sendiri. Benar, apabila dia mengirim imej kertas keputusan peperiksaan melalui WhatsAppnya, jelas sekali pencapaiannya jauh lebih baik daripada keputusan SPM yang saya ambil pada tahun 1974. Keputusan SPM saya tiada ‘A,’ sementara keputusan peperiksaan anak saya punyai berderet-deret ‘A.’

Tatkala saya menimba ilmu dahulu, saya berasakan yang saya lebih bijak daripada kedua-dua ibubapa saya. Saya belajar hingga ke universiti sedangkan kedua-dua orang tua saya belajar tidak sampai ke sekolah menengah kerana di waktu Jepun dahulu tiada sekolah menengah. Bila kita renungkan, sistem pendidikan kita membolehkan generasi terkemudian menjadi lebih bijak daripada orang tua mereka sendiri, sekurang-kurangnya dari segi akademik.

Generasi terdahulu memang kurang terdedah dengan teknologi. Kita pernah dengar kisah kononnya ada orang dahulu membeli peti sejuk hanya untuk menyimpan pakaian. Walaupun entah benar atau tidak, ia adalah cerita mengenai penerimaan orang dahulu dengan perkembangan teknologi. Orang dahulu mandi air perigi dan memasang pelita. Apabila terdapat air paip dan elektrik, timbul ungkapan ‘api dalam kaca, air dalam besi’ untuk mengambarkan teknologi yang umpama magis itu. Sekaligus menggambarkan bahawa orang tua tidak cerdik berbanding orang muda.

Sememangnya golongan yang mudah memahami sesuatu yang baharu dan sentiasa peka dengan peredaran masa adalah golongan muda. Mereka yang digolongkan dalam kategori generasi X, iaitu mereka yang lahir di antara 1966-1976 adalah golongan yang sukakan aktiviti ekstrim; kembara, panjat gunung, sukan lasak dan seumpamanya. Generasi Y yang lahir di antara tahun 1977-1994 adalah golongan yang dikatakan suka menyelidik serta mencipta sesuatu yang baharu. Generasi Z iaitu mereka yang lahir di antara tahun 1995 hingga 2012 pula adalah generasi yang punyai kepantasan, kecekapan dalam semua semua tindakan mereka.

Sejak zaman bersaman, sebelum muncul istilah generasi X, Y dan juga Z, golongan muda sentiasa memberi nafas, tenaga dan semangat baharu kepada masyarakat mereka. Ramai pemimpin terbilang terdahulu juga terdiri daripada anak-anak muda. Sultan Muhammad al-Fateh, yang memerintah empayar Uthmaniyyah dan terkenal sebagai penakluk kota Constantinople naik takhta ketika usianya 19 tahun. Shun-Chih Fulin, seorang maharaja Dinasti Qing yang menawan kota Beijing memerintah pada usianya 12 tahun.

Joan of Arc, yang menghalau British dari tanah airnya Perancis menjadi serikandi tatkala usia remaja. Alexander the Great diberi peluang memerintah Macedonia oleh ayahandanya ketika usianya 16 tahun. Muhammad Qasim, seorang jeneral di zaman Ummayah menegapalai bala tentera tatkala usianya 17 tahun. Isaac Newton, Albert Einstein, Aristiotle, Galileo Galilei dan Alexander Graham Bell kesemuanya mula menunjukkan kecenderungan, ketokohan sains dan pemikiran masing-masing tatkala remaja lagi.

Kalaulah golongan muda tidak dibenarkan mencambah idea dan diyakini sebagai  memimpin sejak zaman berzaman, mengapa pula kita pada hari ini memandang golongan muda bagai nasi tambah?  Mengapa golongan tua berasa mereka sentiasa bagus? Apa hebatnya kita yang tua pada zaman ini berbanding dengan anak-anak muda yang penuh dengan idea dan inspirasi? Dalam apa jua bidang sekali pun, mereka yang tua nampaknya hendak memegang tampuk kuasa dan suasana, seolah-olah golongan muda tidak layak memimpin masyarakat dan negaranya.

Golongan muda digambarkan sebagai golongan yang tidak sabar, kurang pengalaman, gopoh, tiada visi dan seumpamanya. Golongan mat rempit, kaki lepak, suka berhibur, releks-releks sahaja adalah golongan muda. Sedangkan golongan tua menonjolkan kehebatan melalui kekuatannya mencengkam tampuk kuasa. Mereka hendak jadi ketua hingga ke tua. Masyarakat kononnya wajar dipimpin oleh golongan tua supaya keadaan menjadi aman, stabil dan sejahtera.

Padahal, aman itu diperoleh dengan cara menggula-gulakan masa depan dengan ole-ole jangka pendek. Stabil terpamer dengan membendung segala bentuk pandangan yang berbeza daripada golongan muda dan sejahtera pula dipelihara dengan bertatih perlahan kerana takut jatuh hingga masyarakat tercicir daripada peredaran masa.

Apa beza orang muda dan orang tua? Bezanya hanyalah pada waktu. Orang tua lahir lebih dahulu ke dunia sementara orang muda lahir kemudian. Itu sahaja. Namun, daripada segi tenaga dan pemikiran, orang mudalah yang sentiasa dapat bergerak pantas kerana mereka tidak sakit-sakit sendi apabila melangkah, apatah lagi berlari.

Kita yang sudah tua di zaman ini perlu menoleh dan melihat sejarah. Lihatlah bagaimana anak-anak muda yang punyai idea dan pandangan yang segar berjaya memimpin bangsanya hingga menakluk dunia melalui tindakan dan pemikiran mereka. Jika kita masih berasakan dunia ini hanya orang tua yang punya, bangsa kita akan tenggelam ditelan zaman.


Berilah peluang kepada anak-anak muda. Orang tua sepatutnya hanya memerhati dan membantu mereka untuk bangun jika mereka tergelincir.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 30.3.16. 

No comments:

Post a Comment