Piccredit:noupe.com
THIS IS MY
CARD…
DALAM seminggu ini, saya mula mengemas bilik pejabat saya yang bersepah.
Banyak juga sampah yang saya istilahkan sebagai sampah terhormat kerana ia berupa
buku, laporan, buletin, kertas minit mesyuarat dan akhbar yang seharusnya
dibuang. Tetapi oleh kerana ia adalah bahan-bahan yang bersih dan kemas, ia
masih diletakkan di atas meja dan di rak-rak buku meskipun ia sudah tidak
relevan.
Ketika mengemas alatulis termasuk pen yang sudah tiada dakwat,
pensil kontot, gunting, pisau pemotong dan penyisip kertas, saya ternampak berpuluh-puluh
kad nama bermacam-macam warna yang saya terima daripada pelbagai individu. Hanya
ada beberapa keping sahaja daripada syarikat korporat sementara yang lain
adalah pemberian daripada usahawan-usahawan kecil, agamawan, pensyarah, penjawat
politik, penjawat awam serta NGO.
‘This is my
card…’ Saya teringat ucapan memikat
Sam, watak yang diperankan oleh pelakon Imuda dalam siri komedi situasi televisyen
2+1 yang popular di sekitar tahun-tahun 90an. Setiap kali Sam berkenan dengan
seseorang gadis, dia akan mula mengayat kata-kata itu sambil menghulur sekeping
kad nama dengan harapan perhubungannya dengan si gadis itu akan berpanjangan.
Kad nama adalah sekeping kad kecil yang membuka ruang komunikasi. Apabila
kad nama dihulur, secara ringkas, si penerima akan mengenali sedikit mengenai
jawatan, organisasi dan juga nama berserta ejaan nama si pemberi. Kad nama
turut memateri identiti si empunya diri. Selain daripada nama dan ejaan nama,
akan terdapat sebaris kelulusan dan pangkat si pemberi.
Ia mencetus kepercayaan si penerima bahawa si empunya kad itu
adalah orang yang berpangkat dan berwibawa juga. Nama organisasi yang diwakili
oleh si empunya kad nama itu akan menambah keyakinan si penerima. Jika nama
organisasi yang dianggotai itu adalah sebuah syarikat yang besar, lebih
tinggilah terangkatnya kening si penerima kad. Sebaliknya jika organisasi yang
diwakili itu tidak pernah didengar, mungkin si penerima kad akan terangguk
sedikit sebagai tanda maklum akan identiti si pemberi.
Begitu jugalah dengan alamat premis organisasi yang tertera. Lagi berprestij
wisma yang menjadi alamat yang tertera di kad, ia memberi tanggapan bahawa
organisasi si empunya kad itu adalah sebuah organisasi yang hebat. Lagi tinggi
tingkat yang menjadi pejabat, lagi hebatlah organisasi itu.
Oleh kerana itulah, mereka yang tidak ikhlas atau bertujuan menipu
akan mencatat maklumat-maklumat yang tidak betul di kad namanya. Nama yang
panjang-panjang, gelaran dan kelulusan yang berderet-deret menjadi modal untuk
memperdaya dan mempesona. Alamat pejabat yang digunakan mungkin sekali tidak
betul. Tetapi ditulis untuk menggambarkan bahawa organisasi si empunya kad
adalah institusi yang gah.
Bagaimanakah kita boleh mengecam auta yang terdapat pada kad nama
yang diberi? Memang sukar kita ketahui pada saat kad dihulur. Namun, kita dapat
membaca kepelikan si empunya diri jika jawatan yang dibawanya hebat sedangkan
perilakunya sedikit over. Dia akan terlebih
cakap, terlebih angguk dan terlebih ‘ya,’ dalam perbualannya.
Dia mahu semua orang yang berada di sekelilingnya mengenali
dirinya. Samada orang yang menerima kadnya itu penting atau tidak kepadanya
atau sebaliknya, itu tidak mustahak. Yang dia utamakan ialah, dia ingin popular
secara spontan apabila dia mengedar kad namanya seperti mengagih daun terup.
Teknologi hari ini dengan bantuan internet membolehkan kita
memeriksa kesahihan nama, jawatan, pangkat dan juga alamat si pemberi kad. Dengan
sentuhan jari di telefon pintar, segala maklumat dapat diperoleh dalam beberapa
saat. Si penyamar akan mudah dikenali dan dihindari. Namun masih ramai lagi
yang mudah terpedaya dengan individu sebegini kerana alpa untuk menggunakan
teknologi bagi mendapatkan kesahihan.
Pada hari ini, kad nama hanya sekadar ice breaker. Sudah hampir tidak relevan kecuali sebagai formality. Justeru itu, sebanyak mana pun kad nama
dihulur, ia akan terperap dan terselit di antara ratusan kad-kad nama orang
lain dalam simpanan seseorang. Besar kemungkinan, ia tidak akan dibelek pun
kecuali jika seseorang itu mengemas kad-kad yang ada di dalam simpanannya. Besar
kemungkinan juga nama kita apatah lagi wajah kita tidak akan diingati lagi oleh
si penerima.
Jadi, pemberian kad nama sudah seperti suatu pembaziran. Yang
praktikal pada hari ini adalah bertukar nombor telefon. Aplikasi Whatsapp misalnya akan menyimpan foto
dan pelbagai data lain. Dengan sebuah wefie
atau berfoto bersama, kedua-dua pihak akan mudah mengingat di manakah mereka
berdua bertemu. Apabila panggilan dibuat pada lain masa, si penerima akan mudah
mengenali si pemanggil.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.8.2015.
Salam sejahtera Tuan Pengarang. Saya berminat untuk menulis di Sinar Harian. Apakah cara terbaik untuk menghubungi tuan atau pihak Sinar? Saya ada hantar emel kepada website editor.
ReplyDelete-Ooi