Tuesday, December 13, 2011

WACANA SINAR




Photo credit: excopekerjamuda.com

BERLABUHNYA TABIR
WACANA SINAR


SAYA menulis dengan hati yang benar-benar lega. Lega kerana Wacana Sinar Siri ke-9 telah berlangsung dengan jayanya semalam. Tajuk wacana, PRU13: Undi Siapa Jadi Penentu adalah topik yang paling hot kerana ia menjurus kepada pilihanraya yang kian menjelang. Ia juga paling hot kerana ahli-ahli panelnya bukan tiga atau empat, tetapi lima orang.


Awal-awal lagi kami sudah terfikir, bolehkah lima orang ahli panel dan seorang moderator duduk di sebuah pentas yang sempit itu. Tetapi, Datuk Saifuddin Abdullah, YB Nurul Izzah Anwar, Datuk Zaid Ibrahim, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah bersama moderator Dr. Maszlee Malik tampak selesa apabila mengambil tempat masing-masing.


Ahli-ahli panel berbincang, berbahas dan sindir menyindir dengan tertib. Malah, ada kalanya mereka bersetuju dengan pandangan ahli-ahli panel yang lain meskipun anutan politik mereka bertentangan. Dan yang paling utama, ketenangan masing-masing menampan suara-suara sumbang para hadirin itulah yang menjadikan wacana sinar semalam panas tetapi rangup sebagai santapan minda.


Saya terimbau kepada Wacana Sinar yang kali pertama diadakan pada bulan Februari tahun ini. Ketika itu, kami mendapat kerjasama Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM dan ia dianjurkan di Intekma Resort Convention Centre, UiTM, Shah Alam. Tajuknya pula Daftar Pengundi: Wajarkah Diwajibkan? Ahli-ahli panelnya pula Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi; YB Fuziah Salleh, Naib Presiden PKR; Dato Noordin Che Ngah, Timbalan Setiausaha (Pilihanraya) SPR dan Profesor Hamdan Adnan, Pengerusi Institut Perhubungan Awam Malaysia. Ketika itu kami mendapat kerjasama Astro Awani dengan moderatornya pula adalah Kamarul Bahrin Haron.


Pelbagai persoalan bermain di fikiran kami sebagai penganjurnya. Ketika itu, memang jarang sekali dapat mempertemukan pemimpin BN dan PR di satu pentas. Apakah mereka akan hadir? Apakah SPR akan menghantar pegawai yang junior memandangkan wacana itu anjuran sebuah akhbar yang baru dikenali? Apakah orang ramai akan hadir di majlis yang diadakan pada sebelah petang hari Jumaat? Alhamdulilah, para hadirin pada petang itu memenuhi dewan. Dan, perbincangan dan soal jawab pada petang itu diadakan dalam suasana yang harmoni.


Namun, ia sesungguhnya adalah petanda baik buat kami kerana rupa-rupanya Sinar Harian mempunyai sebilangan pengikut setia yang hadir kerana percaya kepada program yang kami anjurkan. Justeru itu, sesi berikutnya mula diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf dengan tajuk yang lebih mencabar minda. Tajuk mengenai ajaran sesat iaitu Benarkah Sesat: Debat Atau Tangkap diadakan pada bulan Mac.


Sambutan yang semakin menggalakkan membuat kami berasa teruja untuk menganjurkan wacana-wacana berikutnya. Hampir setiap bulan kami mengadakannya. Tajuk-tajuk yang lebih terbuka seperti Rasuah Pemusnah Tamadun, Fitnah Ancaman Umat Akhir Zaman, Apa Selepas 9 Julai, Ulama Politik: Untuk Dakwah Atau Parti, Merdeka: Wajarkah Sejarah Ditulis Semula, Hudud Dilema & Pelaksanaannya dan akhirnya PRU13: Undi Siapa Jadi Penentu menutup tirai Wacana Sinar untuk tahun 2011.


Banyak juga cabaran yang kami hadapi dalam menganjurkan Wacana Sinar. Setelah mendapat persetujuan dasar kehadiran ahli-ahli panel, kami mesti berunding untuk menetapkan sesuatu tarikh di mana semua ahli panel boleh hadir. Tajuk-tajuk yang berani juga mempertemukan penyokong-penyokong agresif tutur katanya. Pada beberapa ketika, para petugas kami terpaksa menenangkan suasana samada di dalam mahupun di luar dewan.


Wacana Sinar ke- 5 dengan tajuk Apa Selepas 9 Julai adalah yang paling tegang bila ia diadakan sejurus demonstrasi Bersih 2.0. Kehadiran ahli-ahli panel Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR; Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersih dan Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menjadikan suasana di sepanjang wacana sentiasa gamat. Andainya tidak mendapat bantuan pihak polis untuk mengambil langkah-langkah keselamatan, wacana pada petang itu boleh bertukar kecoh.


Setelah penganjuran sembilan Wacana Sinar, kami mengucapkan syukur kehadrat ALLAH SWT. Syukur kerana semua majlis yang dianjurkan berlangsung dengan suasana terkawal. Lebih-lebih lagi Wacana Sinar semalam yang telah menunjukkan ahli-ahli panelnya lebih bersedia untuk mendengar pandangan yang bertentangan dan juga secara terbuka melafazkan persetujuan dengan apa yang pihak yang satu lagi nyatakan.


Ia menepati hasrat kami untuk mempertemu minda dan mempertembung idea semua pihak. Rekod sehingga 120,000 hits mereka yang mengikuti Wacana Sinar secara langsung melalui webtv dari 49 negara seluruh dunia menunjukkan ia adalah program yang kian mendapat sambutan. Jualan Sinar Harian yang meningkat setiap kali kami melaporkan Wacana Sinar juga menggembirakan kami.


Kami gembira kerana semakin ramai yang kini sudah bersedia untuk mengikuti perbincangan yang bertentangan secara berdepan dengan berani ~ bukan setakat berani cakap dari belakang. Ini membuatkan kami juga berani untuk bercakap tentang Wacana Sinar pada 2012. Insya-ALLAH, ia akan lebih mencabar minda dan menguja perasaan anda yang mengikutinya.


Nantikan format baru Wacana Sinar 2012!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 14.12.2011.

1 comment:

  1. Tak sabar saya nak ikuti wancana Sinar 2012. :) smile : Naiffus

    ReplyDelete