Tuesday, July 26, 2011

ETIKA UNTUK TIDAK BERSETUJU





BERWACANA ITU
BUKAN BERDEBAT

ALHAMDULILAH,
Wacana Siri ke-5 Sinar Harian bertajuk ‘Apa Selepas 9 Julai’ telah selamat berlangsung petang semalam. Program ini disertai ahli-ahli panel, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR; Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersih 2.0 dan Professor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik, UKM. Wan Saiful Wan Jan dari Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi adalah moderatornya.

Sejak Sinar Harian menganjurkan wacana, inilah sesi yang mendapat sambutan paling hangat. Selain promosi melalui akhbar Sinar Harian, laman web, khidmat pesanan ringkas dan facebooknya, media elektronik, cetak dan media baru pihak-pihak lain juga membantu menghebahkan program bicara ilmu ini. Hasilnya, orang awam, aktivis parti-parti politik, NGO, jabatan kerajaan, malah hadirin daripada kedutaan luar negara pun teruja untuk turut hadir.

Jumlah kedatangan yang semakin ramai ini merupakan kejayaan zahir Wacana Sinar. Bukan senang untuk mengajak orang ramai datang ke sebuah majlis ilmu pada waktu petang, pada hari bekerja pula. Tajuk-tajuk perbincangan sebelum ini mengenai daftar pengundi, ajaran sesat, rasuah dan fitnah adalah topik-topik berat yang telah kami pilih. Jumlah hadirin pada program yang pertama, iaitu sekitar 700 peserta telah meningkat hingga ke kira-kira 1,500 hadirin pada sesi semalam.

Sinar Harian memilih format berwacana sebagai pendekatan programnya. Kami tidak memilih format berpidato, berdebat, bersidang, berseminar, berceramah, dan tentu sekali bukan format bermusyuarah. Kami memilih pendekatan yang menitikberatkan perbincangan ilmiah yang terarah kepada penyatuan fikiran. Itulah makna wacana.

Maaf cakap, sebilangan para hadirin mungkin menganggap majlis wacana itu sama seperti majlis-majlis ceramah, pidato atau debat yang mereka hadiri sebelum ini. Sebab itu ada yang bertutur menggunakan perkataan yang panas dan pedas. Ada juga yang mahu bertekak, bertelagah, cabar-mencabar, kutuk mengutuk atau bersorak-sorai untuk menyokong pandangan sesuatu pihak dan menolak pandangan sesuatu pihak yang lain. Perilaku sebegini tidak kena dengan bentuk majlis yang dihadiri. Bagaikan kita tidak menjaga perilaku apabila tertawa mengilai ketika menziarahi kematian atau bermain sms ketika menonton wayang hingga mengganggu orang lain.

Berwacana dimulakan dengan berhujah. Berhujah pula tentunya bersandarkan kepada usul masing-masing. Tujuannya bukan untuk mencari keputusan siapa yang benar dan siapa yang salah. Sebaliknya untuk mencari kebaikan daripada hujah-hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua belah pihak. Andainya tidak setuju dengan sesuatu pandangan, kita perlu tertib untuk menghormati pendapat yang bertentangan dengan kepercayaan kita. Perlu ada ethics of disagreement.

Berwacana perlu ada kejujuran. Tidak boleh membantah semata-mata kerana ingin membantah. Kita juga mesti ada kesabaran untuk mendengar hujah orang lain mahupun mengutarakan hujah sendiri. Kita juga perlu bertoleransi dan ada belas kasihan dalam penyampaian agar si pendengar tidak berasa terhina. Dan, kita berhujah untuk membetulkan pandangan dalam bentuk nasihat.

Justeru itu, berwacana tidak ada konsep siapa menang, siapa kalah seperti berdebat. Tiada juga konsep komunikasi satu arah seperti menghadiri ceramah atau pidato. Tiada juga berkonsepkan perbincangan dan merumuskan sesuatu resolusi bertulis seperti berseminar mahupun bersidang. Apatah lagi, mendengar dan mengambil nota seperti menghadiri kuliah.

Sebaliknya, berwacana atau intellectual discourse itu kami pilih kerana ia diinspirasikan daripada amalan para cendikiawan Islam sendiri. Para ilmuan yang berpegang sesuatu hujah itu sanggup menggugurkan apa yang diyakininya apabila hujah kebenaran dibentangkan kepadanya.

Imam Syafie Rahimahullah sendiri, meskipun yakin dengan ilmunya, beliau tetap berpegang kepada kebenaran. Katanya, “Apabila ada hadis sahih yang maksudnya bertentangan dengan fatwaku, maka beramallah engkau dengan dasar hadis itu dan tinggallah perkataanku.” (Al Majmu' Syarah Al Muhzab juzuk 1 halaman 63).

Kalau kita mencari arah untuk mempertemukan minda, maka berwacanalah. Kalau kita asyik hendak bertekak, kita akan sakit jiwa akhirnya kerana su’u dzan atau berburuk sangka adalah sejenis penyakit hati.



Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.7.2011

3 comments:

  1. Salam....semoga berbahagia..
    betul tuh boss....
    adalah lebih baik duduk berbincang mengikut kaedah islam,itulah yg terbaik dan mendengar setiap pendapat masing2...bukannya bercakap & nak bertekak.....

    ReplyDelete
  2. Salam...
    Artikel yang sangat bagus. Nampaknya kita masih perlu mendidik orang ramai tentang adab dan akhlaq. Ini merupakan perkara asas dalam kehidupan seharian kita. Bukan setakat adab menghadiri majlis ilmu, tetapi juga adab apabila berhujah dan apabila tidak bersetuju dengan pihak lawan.

    ReplyDelete
  3. Mr. Thesedi... Banyak org fikir bertekak itu cara terbaik untuk membetulkan keadaan. Cara berhujah sebenarnya lebih intelektual, lebih memenatkan tetapi tak menyebabkan pihak yang kalah itu emosional.

    Ms.Curious... Adab... Apa yang semakin kurang dititikberatkan oleh kita.

    ReplyDelete