Tuesday, February 22, 2011

BUDAYA ITU CABANG TAMADDUN


Photo credit: laburnamgirl.blogspot

SUATU MALAM
DI RESTORAN MELAYU

SELEPAS makan malam di sebuah restoran Melayu yang mempunyai deko ala-kampung baru-baru ini, saya terpegun melihat betapa ramai sekali para pelanggan yang datang bersama keluarga. Suami, isteri, ayah, ibu, datuk, nenek dan anak-anak memenuhi banyak meja. Selepas makan, saya terlangut memandang hiasan lampu-lampu kecil unik yang terlekap di dinding.

Sekali imbas, lampu-lampu itu tak ubah lampu pelita minyak tanah di rumah saya ketika saya kecil dahulu. Tetapi, setelah diamati, lampu-lampu yang kelihatan meliuk-lintuk seperti bernyala daripada sumbu itu sebenarnya lampu elektrik. Ingatan saya terus terimbau kembali 50 tahun lalu. Memutar layar minda untuk menayangkan budaya makan, dahulu dan sekarang.

PADA tahun-tahun 60-an, budaya makan kami sekeluarga biasanya hanyalah di rumah. Kami duduk bersila beramai-ramai. Dengan sebuah lampu pelita yang diletakkan di atas tin biskut untuk menerangi ruang, kami makan dengan senang hati. Dalam keadaan yang suram-suram itu, tiada sesiapa pun yang tercekik tulang ikan parang kerana tangan-tangan kami sudah mahir menceraikan isi daripada tulang sebelum menyuap ke mulut.

Kini, makan malam bersama keluarga dilakukan dengan duduk di kerusi. Ruang diserikan dengan lampu yang berkerlip-kerlipan lagi beranika warna. Diiringi pula dengan muzik daripada CD mahupun dinyanyikan oleh seseorang yang digajikan untuk menghibur para pelanggan. Makan pun dengan sudu dan garfu. Untuk mengelak tercekik tulang, maka hanya bahagian-bahagian ikan yang molek sahaja diambil. Banyak bahagian ikan yang terbuang begitu sahaja.

Kalau dahulu, hidangan makan malam adalah juga hidangan yang dipanaskan daripada hidangan tengahari, kini hidangan makan malam biasanya tak sama. Lebih-lebih lagi bila menjamu selera di restoran, hidangan boleh sahaja beranika jenis. Malah, masing-masing akan memilih makanan kesukaan masing-masing. Tidak seperti dahulu, bila mana semua anggota keluarga akan makan hidangan yang sama.

Jenis makanan pun berbeza. Jika dahulu, kesemua masakan adalah masakan Melayu yang semestinya nasi dengan lauk yang pedas atau berempah. Kini, masakan Melayu yang terhidang pun kurang rasa asli Melayunya kerana telah diubahsuai. Selain daripada itu, masakan seantero dunia pun terhidang di restoran Melayu. Kita boleh sahaja makan nasi ayam dengan kimchi. Itu fusion namanya.

Kerana hidangan makanan sudah bercampur-baur, jarang sekali kedengaran si ibu dapat menerangkan kepada anak-anak, ini masakan asam pedas, labu masak lemak atau sambal mempelam. Kerana itu, tidak hairanlah jika anak-anak pada hari ini tidak dapat membezakan yang mana satu petola, yang mana satu peria; yang mana satu sayur sawi, yang mana satu sayur bayam; yang mana sepat, yang mana bawal.

Kalau dahulu, kita ambil nasi sedikit demi sedikit, dan kalau habis boleh pinta tambah lagi. Kini, nasi yang terhidang untuk seorang selalunya boleh dimakan dua orang. Pinggannya pula lebih besar daripada pinggan hidang yang digunakan untuk mengisi nasi untuk tetamu di rumah pengantin. Budaya menegur anggota keluarga yang sendawa, menandakan dia sudah kenyang agar dia berhenti makan, sudah tiada lagi kerana tak mahu membazir makanan yang dibeli.

Selepas makan, masing-masing akan angkat punggung. Pekerja akan uruskan pinggan dan sisa makanan yang bersepah. Budaya untuk menyusun pinggan bagi memudahkan pekerjanya tidak dilakukan kerana kita sudah membayar harga perkhidmatannya. Di waktu dahulu, kita akan sama-sama menyusun pinggan dan mengangkatnya ke dapur untuk menolong emak.

Ya. Zaman sudah berubah. Ia mengubah sekali bukan sahaja budaya makan, tetapi juga budaya Melayu. Tentu sekali, bila kita memamah burger, ia akan dimakan mengikut gayanya iaitu dengan menggunakan kedua-dua tangan. Mulut kita pun terbuka lebar-lebar supaya burger yang tebal itu dapat digigit. Biarlah bersememeh mulut dengan sos, ataupun kobis berjurai-jurai di tepi bibir, itulah cara memakannya meskipun ia bukan cara orang Melayu menjamah hidangan.

Tanpa kita sedari, kita meninggalkan budaya kita sendiri untuk menjadi manusia global. Kita sudah sama seperti manusia yang lain di seluruh dunia daripada segi makan, minum dan tentunya lain-lain hal yang sudah diglobalkan. Identiti sudah tidak penting bagi yang tidak memahami bahawa budaya itu cabang tamaddun sesuatu bangsa!

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.2.2011,

6 comments:

  1. budaya lepas makan angkat punggung memang nampak tidak elok.. yes. sebab ianya sudah dibayar,apatah lagi kalau restorann yg service charge hingga 10%, maka apa harus dipeduli lagi..

    tapi sampai sekarang, kalau makan di rumah (hometown). masih punya budaya melayu, lauk malam adalah lauk tengah hari yang dihangat semula. =)

    ReplyDelete
  2. umm, perkongsian yang menarik, saya sendiri pernah melalui zaman di mana bersila ramai2, di terangi pelita, kemudian pelita karbait sebelum menggunakan lampu..

    sekarang ni kalau makan di restoran ala kampung,memang teringat nostalgia lama

    ReplyDelete
  3. Pada zaman pelita, sewaktu makan tidak banyak perkara yang dibualkan kerana sebelum itu banyak masa yg terluang utk ibu-bapa bertanyakan perkhabaran seharian anak-anak mereka.

    Zaman lampu elektronik, semasa makan itulah sebenarnya waktu perbualan antara ibu-bapa dan anak-anak. Sebelum itu, masing-masing sibuk dengan urusan siang hari.

    Itupun perbualan sambil makan yg kadangkala terganggu dengan bunyi sms dan email dari telefon bimbit masing-masing yang canggih-manggih.

    Nak makan tak khusyuk, nak berbual pun tak khusyuk...

    Saya masih lagi makan berseorangan. kenyataan di atas hasil cerapan saya ketika makan di kedai sewaktu perjalanan pulang ke rumah dari pejabat.

    Takut sebenarnya bila melihat keadaan di atas...

    ReplyDelete
  4. di rumah masih lagi makan masakan Melayu yg tak lari rasanya hanya kerana zaman sudah berubah..

    p/s: semalam baru makan asam pedas ikan merah, home made cook!

    ReplyDelete
  5. dulu dan sekarang. bnyk sgguh perbezaannya. nilai-nilai islam makin dilupakan. budaya barat diagung-agungkan.masing-masing bersikap pentingkan diri.
    dunia dikejar dan dipuja, seolah-olah diri dicipta tanpa tujuan.
    alangkah bahagianya dunia jika islam kembali berkuasa mentadbir dunia.
    hidup di dunia hanya sekali.beramal lah kerana ganjaran daripadaNya adalah pasti.

    ReplyDelete
  6. tapi sekarang ni emak pun sudah mula masak hidangan spt hot dog masak kicap...nugget masak sambal...glokal sungguh

    ReplyDelete