Tuesday, February 8, 2011

KENAPA SELALU TERTIPU?


Foto credit: hentamkromo.blogspot

KITA YANG
MUDAH MELATAH

PETANG semalam, saya menerima e-mel yang gempar tetapi menarik, kononnya personaliti yang gemar bersosial, Paris Hilton telah memeluk Islam. Biar betul! E-mel enam para itu siap menyertakan gambar Paris Hilton yang bertudung litup. Wah! Sekilas pandang dan sekali baca, berita ini pasti sensasi. Naluri berasa syukur dan gembira apabila mengetahui seseorang itu memeluk agama Islam mula menyelinap di hati.

Tapi, nanti dulu. Wajah Paris Hilton masih bercelak dan bergincu walaupun dia telah bertudung litup. Ada sesuatu yang tak kena dengan wajahnya itu. Tampak seperti diandam menggunakan teknologi komputer atau dikenali sebagai photoshop. Sumber berita itu pun dipetik daripada laman web The Daily Squib. Saya tak pernah dengar nama akhbar dalam talian ini.

Apabila saya menelusuri internet untuk mencari makna squib di kamus talian Merriam-Webster, saya mendapati squib membawa maksud, tulisan humor ataupun satira pendek. Sebaik sahaja saya melayari laman akhbar dalam talian The Daily Squib, saya dapati ia dipenuhi dengan berita-berita lawak yang palsu yang antaranya ~ ‘Ku Klux Klan(sebuah pertubuhan anti-kulit hitam) Menyokong Obama,’ ‘Minuman Botox (bukan lagi suntikan) Kian Popular’ dan ‘Hosni Mubarak Akan Dimumiakan Bila Ditangkap!’

Seperti yang saya jangka, berita Paris Hiltan memeluk Islam adalah sebuah satira. Ironinya, apabila saya melayari laman-laman web yang berkaitan dengan berita jenaka itu, terdapat berpuluh-puluh laman dan blog yang percaya Paris Hilton sudah masuk Islam! Ada puja dan ada puji apabila masing-masing menyalin berita daripada The Daily Squib itu. Yang nyata, mereka menerima bulat-bulat berita selebriti itu. Terdapat banyak sekali komen-komen yang menyokong atau mengkritik tindakan Paris Hilton kerana benar-benar mempercayai berita palsu itu.

Pada 8 Januari lalu, timbul cerita kononnya Mark Zuckerberg, tuanpunya laman sosial Facebook mahu menutupnya kerana beliau begitu stres dengan ciptaannya itu. Sumber asal berita itu dipetik daripada laman web Weekly World News yang dikenali sebagai laman yang menjana berita-berita palsu untuk suka-suka. Tetapi, berita itu jugalah yang menimbulkan keresahan ahli-ahli Facebook yang mempercayai beritanya. Berpuluh-puluh grup yang menentang penutupan Facebook muncul di laman sosial itu sendiri.

Dalam minggu lepas, muncul khabar daripada blog-blog yang mengatakan bahawa para ibu bapa akan diminta kerajaan membayar kos menghantar pulang anak-anak mereka dalam Operasi Piramid. Sekali lagi ramai yang mempercayainya dan timbul pula kata-kata yang tidak manis yang mempersoalkan tindakan kerajaan itu. Padahal, ia hanya khabar angin yang berpunca daripada perli memperli sesama penulis-penulis blog yang condong sama ada kepada parti BN atau PR.

Soalnya mengapa kita mudah sangat mempercayai sesuatu tanpa menyelidik? Mengapa kita senang sangat menelan bulat-bulat apa yang didengar dan dilihat tanpa menyusur-galur ke akar sumber berita dan ceritanya? Bukankah mempercayai sesuatu tanpa usul periksa itu mengakibatkan kita membuat keputusan yang salah?

Mungkin sekali kita mudah latah. Bertandak sebaik sahaja gendang pembohongan dipalu. Lagi laju pukulan gendang, semakin rancak kita menari. Akhirnya kita juga yang terjelepuk keletihan. Mungkin juga kita mudah lupa. Lupa bahawa kita kini berada di akhir zaman di mana fitnah dan pembohongan berleluasa. Kerana lupa jugalah kita tertipu kepada kepalsuan bukannya sekali, malah berkali-kali hingga lali.

Mungkin juga kita tidak mengamalkan tabiat untuk menapis apa sahaja yang sampai ke pengetahuan kita dengan menyelidik daripada manakah asal sumber berita yang kita terima itu. Andainya kita mengambil masa yang sedikit untuk menyemak sesuatu berita itu, dengan mudah sahaja kita tahu samada ia masuk akal ataupun sebaliknya. Petua agar tidak mudah tertipu dengan khabar palsu ini mudah sahaja.

Rujuklah panduan daripada Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.2.2011.

7 comments:

  1. terima kasih atas maklumat yg d berikan. Saya pun pelik bila membaca berita paris hilton memeluk islam di beberapa blog... mmg tak percaya, tp kini dah tahu, rupa2nya ada juga website yg skadar suka2 menyiarkn berita palsu. tq ya :)

    ReplyDelete
  2. Saya rasa masing-masing nak berebut kongsi cerita di atas dalam laman blog masing-masing untuk mendapatkan jumlah trafik dan visitor yang tinggi.

    http://ditelanzaman.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. Saya tidak pasti. Betulkah hanya terdapat du jenis kaum sahaja di muka bumi ini yang melatah? (melatah betul-betul contohnya opocot! dan yang seterusnya.

    Katanya hanya orang Melayu dan orang Eskimo sahaja yang boleh melatah. Entah betul entah tidak.

    Kalau orang Eskimo melatah, mungkin mereka akan melatah seperti ini, "Iglue, iglue, iglue...".

    Fairus
    http://ditelanzaman.blogspot.com/

    ReplyDelete
  4. Pelik mengapa orang kita mempunyai refleks yg kelakar tika terkejut? apa sistem kehidupan yg telah membentuk kita semua ke arah ini?

    ReplyDelete
  5. Ciri genetik yang unik yang terdapat hanya pada kaum Melayu menyebabkan perkara melatah ini terjadi.

    Kajian perubatan telah dijalankan. Ada sesuatu yang berbeza tertera pada sistem neuron orang yang mudah melatah....

    ReplyDelete
  6. Bagi saya, melatah ini bukannya genetik. Saya tak jumpa kanak2 melatah. Tapi remaja ada yang melatah. Ia bermula dengan gurauan untuk menghibur. Lama-lama ia menjadi conditioning yang habitual. Bila tiba stage demikian, ia jadi respons yang tidak terkawal. Justeru, latah ini boleh dihentikan. Wallahu'alam.

    ReplyDelete
  7. En Eyman,

    ada kanak-kanak yg melatah. Ada satu slot dlm program Majalah 3 dahulu yg menerangkan kejadian melatah ini dari sudut perubatan. Ia berkaitanb dengan sistem neurologi kita.

    Tetapi faktor persekitaran tidak boleh ditolak. Kalau saja-saja melatah, boleh terbawa-bawa dan terus menjadi satu habit...

    ReplyDelete