Wednesday, September 29, 2010

SEMUA ORANG BUAT SILAP


Foto: Bishopslaw

SEDARILAH :

KITA JUGA
DUA KALI LIMA


KETIKA memandu ke tempat kerja pada setiap pagi, saya biasa berdepan dengan kenderaan yang melanggar lampu merah, berhenti di petak kuning, memandu perlahan di lorong laju, memandu laju dan memotong di lorong perlahan atau pun memintas kereta saya tanpa memberi lampu isyarat pun.

Ada masanya, saya berdepan dengan kenderaan di hadapan yang lambat sangat bergerak ketika lampu isyarat bertukar hijau, kereta yang mengubah haluan dan memasuki lorong saya di tempat pembayaran tol atau membunyikan hon apabila saya mengambil masa yang lama untuk menyeberangi simpang empat.

Apa yang akan saya lakukan apabila ternampak kesalahan-kesalahan jalanraya, kurang timbang rasa pemandu lain atau mereka yang menyusahkan pemanduan saya? Saya tidak lakukan apa-apa. Tersenyum tidak, marah pun saya tidak lakukan. Malah, saya maafkan mereka meskipun saya membebel sendirian. Mengapa? Kerana kesemua kerenah, telatah, gelagat dan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu-pemandu itu sebenarnya pernah saya lakukan.

Maafcakap. Saya tidak berniat langsung untuk menggalakkan pelanggaran etika dan undang-undang di jalanraya. Malah, saya penjunjung kedaulatan undang-undang. Kesalahan-kesalahan itu kadangkala saya lakukan, tidak dibuat hari-hari sebagai satu tabiat seseorang yang suka melanggar peraturan.

Dalam pada itu, saya sedar dan memahami si pelaku kerana saya juga pernah melakukan kesalahan jalan raya sepertinya. Oleh kerana saya pernah buat kesilapan dan kesalahan jalan raya sebagai pemandu, maka saya patut menerima seadanya jika saya ternampak mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan itu.

Pendek kata, jika kita pernah melakukan sesuatu dosa ketika kita lalai, kita mestilah bersedia untuk memahami dan memaafkan mereka yang melakukan dosa yang sama seperti yang pernah kita lakukan. Mungkin, mereka yang melakukan kesalahan itu alpa atau mempunyai masalah lain hingga tidak sengaja atau terpaksa melanggar peraturan.

Sebaliknya, apa yang banyak kita lihat pada hari ini ialah, terdapat mereka yang mengkritik, mencerca, menghina, malah menghukum mereka yang melakukan sesuatu kesalahan, seolah-olah dia atau keluarganya sendiri tidak pernah melakukan kesalahan itu. Seolah-olah dia manusia yang tiada dosa sama sekali. Inilah sikap dua kali lima yang kita anuti tanpa disedari.

Oleh kerana tidak sedar akan kelemahan diri, yang ada ketikanya dua kali lima juga seperti orang lain, maka kita berlagak seperti orang yang amat bagus ketika berada dalam suasana yang baik. Kita mengata orang yang bersolat laju, sedangkan kita sendiri selalu lewat mendirikan sembahyang.

Kita menjegil mata pada orang yang memotong barisan kita di pejabat pos, tetapi kita minta tolong anak saudara kita yang bekerja di bank untuk mendahulukan transaksi kita. Kita memarahi anak yang tidak sudah-sudah hendakkan mainan baru sedangkan kita juga tidak habis-habis menghias kereta hingga kosnya menelan beribu ringgit.

Kita meleteri isteri yang membuang masa dengan bergosip bersama jiran, padahal kita menghabiskan berhari-hari memancing di tempat yang jauh. Kita memarahi kakitangan yang lewat datang mesyuarat, walhal kita terus batalkan mesyuarat bila kita sedar yang kita terlewat menghadirinya.

Sikap dua kali lima ini terjadi apabila kita asyik mencari kesalahan orang tetapi tidak ingat akan kesilapan diri sendiri. Ia berlaku kerana kita suka sangat memandang ke luar, dan tidak pandai memandang ke dalam diri. Muhasabah bukan menjadi cara untuk mengenali kelemahan diri. Kerana tiada cara mentarbiah diri, maka diri dirasakan baik dan bagus sedangkan orang lain buruk. Sikap begini tidak disukai Allah dan Rasul.

Bersabda RasululLah s.a.w: “Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka ALLAH akan mencari keaibannya. Sesiapa yang ALLAH cari keaibannya, maka ALLAH akan mendedahnya sekalipun di rumahnya. (Hadis sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.9.2010

Wednesday, September 22, 2010

KETELUSAN


Foto: travelizmo.com
BAGUSNYA
APABILA KITA TELUS

SEJAK mula dihebahkan akhbar pada 12 September lalu, kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya menjadi heboh. Oleh kerana mangsanya orang yang terkenal, dan suspeknya adalah orang yang ternama kerana profesionnya, naluri ingin tahu kita teruja sampai terangsang hingga ada kalanya kita terkeliru di antara fakta dan fitnah.

Mujur, liputan media elektronik dan cetak serta versi onlinenya begitu meluas. Seolah-olah apa sahaja maklumat, terus menjadi besar di bawah kanta dan sorotan media. Meskipun ada ketikanya berita berubah menjadi cerita, jangkaan menjadi spekulasi dan laporan menjadi sensasi, pihak media juga cepat mentertibkan laporan-laporannya.

Kerana itu, hari-hari berikutnya menyaksikan peningkatan jualan akhbar. Hari demi hari, jumlah cetakannya ditambah. Akhbar-akhbar laris kerana habis. Ramai para pembaca membeli lebih daripada sebuah akhbar, tidak seperti hari-hari biasa. Tidak keterlaluan dikatakan, sejak pilihanraya 2008, sambutan terhadap jualan akhbar tidak pernah melonjak sebegini.

Fenomena ini juga menyaksikan minat para pembaca kali ini untuk lebih mempercayai surat khabar. Membelek akhbar nampaknya lebih bagus daripada memperoleh berita melalui liputan-liputan di laman-laman web, blog, forum dan laman-laman sosial. Buat kali pertama sejak sekian lama, surat khabar merebut tempat di hati masyarakat.

Lagi pula, meskipun terdapat berpuluh ribu halaman di internet yang menyentuh kes ini, sebahagian besarnya hanyalah cut and paste daripada akhbar atau versi online media perdana. Siapa yang minat dengan cerita ulangan? Ertinya, untuk kali ini, liputan di akhbar menang dibandingkan dengan internet. Siapa kata, akhbar semakin dilupakan dan internet semakin bertempat di hati khalayak? Kalau kena gayanya, akhbar tetap menjadi pilihan dan bukannya bahan bacaan alternatif.

Mengapakah di dalam kes ini, masyarakat lebih mempercayai akhbar? Selain daripada nilai berita tragedi ini, kesungguhan pihak akhbar membuat liputan yang berterusan dan menyeluruh telah menarik minat khalayak. Kerjasama pihak polis dan media juga menjadikan segala persoalan yang ada di minda anggota masyarakat terjawab dari semasa ke semasa.

Akhirnya, ia tidak memberi ruang kepada golongan yang hedonis atau yang melihat apa sahaja daripada kacamata hiburan. Mereka yang suka berhibur dengan cara mempolitikkannya melalui sindiran dan memperlekeh, atau mereka yang berhibur dengan menakutkan orang melalui SMS berbentuk perkauman dan khabar angin sudah tidak diambil pusing.

Di blog dan laman-laman sosial, semakin ramai pengunjungnya yang marah kepada mereka yang suka berhibur di atas apa jua musibah yang terjadi kepada orang lain. Golongan yang suka menjadi nasi tambah melalui komen berupa perkataan dan ayat yang celupar akan ditegur oleh mereka yang melihat kes ini sebagai sesuatu yang bukan boleh dipersendakan.

Dalam kes Datuk Sosilawati Lawiya, ia memperlihatkan, seandainya pihak berwajib intim dengan pihak media, segala maklumat dapat disebarkan dengan cepat dan tepat. Pihak polis, meskipun terpaksa berahsia kerana strategi penyiasatan dalam waktu-waktu tertentu, mereka tetap memahami peranan media dengan menghulurkan maklumat meskipun adakalanya sedikit. Namun, ia berharga sebagai jawapan kepada pelbagai persoalan di minda khalayak.

Tragedi ini merupakan kes kajian untuk lain-lain pihak berwajib tentang betapa pentingnya berakrab dengan media. Sikap tidak mesra media mengakibatkan mereka terpaksa mengorek maklumat yang bukan sahaja tidak tepat malah mengelirukan masyarakat. Ataupun, akibat tiada maklumat, media terpaksa berdiam diri. Vakum ini akan diambil-alih oleh mereka yang mengambil kesempatan untuk bercakap sesuka hati melalui saluran-saluran lain.

Dalam pada itu, masyarakat perlu memahami konsep ketelusan. Walaupun maklumat yang ingin diketahui itu penting, faktor kerahsiaan sementara pihak berwajib perlu dihormati. Tidak mungkin kita diberitahu semuanya sekali gus dengan sewenang-wenangnya sementelah ia dikatakan telus.

Kerana, telus itu bukan bererti telanjang.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.9.2010.

Wednesday, September 15, 2010

UMPAT MENGUMPAT


Foto: blog.izzman.com

SAKITNYA HATI
BILA TAHU DIRI
DIUMPAT


BERAYA di rumah Abang Ngah adalah program wajib pada setiap hari raya. Jika tidak pada hari raya pertama, pada hari raya kedua, saya dan keluarga akan berkunjung ke rumahnya. Abang Ngah beranak lapan. 20 tahun dahulu, sebaik sahaja tiba ke pekarangan rumahnya, saya memasang telinga untuk mendengar jerit pekik anaknya bagi memastikan sama ada dia ada di rumah. Kini, deretan kereta anak-anak Abang Ngah di laman sudah cukup menjadi petanda yang dia sekeluarga tidak ke mana-mana.

Seperti skrip yang diulang saban tahun, saya akan dijamu dengan ketupat, lodeh dan rendang, termasuk tapai yang dibuat sendiri. Sambil rancak berbual dan diperkenalkan dengan cucu-cucu saudara yang baru, saya terperasan anak bongsunya Siti Syakira tidak ada bersama. Selalunya dialah yang paling peramah melayan bapa saudaranya ini. Maklumlah, Siti kerap tinggal di rumah saya apabila cuti sekolah.

“Mana, Siti?” tanya saya.
“Ada di dalam bilik. Tengah monyok di depan komputer,” jawab Abang Ngah.
“Siti sakit, ya?” sapa saya kepadanya setelah menguak langsir yang menutupi pintu biliknya. Pantas Siti menggeleng seraya mengunjuk ke arah skrin komputernya.

Perlahan-lahan saya menekur dan menatap komputernya. Terpapar sebuah laman sosial kepunyaan Siti. Apabila meneliti, kening saya terangkat kerana di situ terdapat komen-komen yang tidak menyenangkan terhadap Siti. Mengutuk wajah Siti yang dikatakan meniru wajah seorang artis remaja. Si pengkritik turut mempersenda hidung dan mata Siti yang dikatakan pesek dan sepet. Padahal, Siti cantik macam artis Korea.

“Siapa dia, Kuda da blue?” tanya saya. “Tak kenal pun dia. Sebab itu Siti sakit hati sebab mengata Siti sampai macam tu!” bebelnya. Saya hanya tersenyum kecil sebelum menasihatinya agar terus bersabar dengan melupakan komen-komen itu. Namun, Siti hanya mampu mengangguk lesu.

Bagi saya, apa yang Siti alami ialah rasa sakit hati kerana mendapat tahu ada orang mengata atau mengumpatnya. Pada zaman ini, teknologi membolehkan kita mendapat tahu bahawa diri kita diumpat. Malah, kita juga boleh tahu siapa pula yang mengumpat kita. Dengan kemahiran IT, ada kemungkinan kita boleh menyusur laman web untuk mengetahui siapakah orang yang pertama memulakan umpatan itu.

Dahulu, umpatan ataupun gosip hanya dibisikkan dari mulut ke mulut. Ia disebarkan di kedai-kedai kopi, di majlis kenduri kendara ataupun pertemuan kumpulan-kumpulan kecil. Andainya diri kita diumpat, besar kemungkinan kita tidak tahu langsung apa yang berlaku. Mungkin kita dapat rasa bahawa diri kita tidak disenangi apabila masing-masing cuba menyembunyikan sesuatu apabila kita mendatangi mereka. Namun, setakat itu sahaja rasa tidak sedap di hati kita. Seiring masa berlalu, umpatan itu akan dilupakan dan kita jadi senang hati semula.

Berbeza dengan keadaan di hari ini di mana umpatan mengenai diri kita dilakukan dengan beraninya, bukan sahaja oleh mereka yang mengenali kita, malah dilakukan oleh mereka yang tidak kenal langsung dengan diri kita. Satu ketika dahulu, golongan artis adalah satu-satunya golongan yang diumpat melalui dada akhbar sebelum berlanjutan ke TV.

Kini, bukan sahaja golongan artis, malah golongan ahli politik, mereka yang terkenal dan diri kita yang tidak terkenal langsung pun menjadi bahan umpatan. Internet menjadi medan mengumpat yang paling popular pada hari ini kerana sesiapa pun boleh mengumpat dan mengata sesiapa pun mengikut sesuka hati seseorang.

Namun, oleh kerana internet boleh diakses oleh semua orang, maka kita akan tahu juga siapakah yang mengumpat kita. Beza kali ini dengan keadaan dahulu ialah, jika dahulu orang yang mengumpat kita bersembunyi untuk tidak dikenali, kini di pengumpat begitu bangga memperkenalkan diri dan latar belakangnya.

Mengetahui diri diumpat memang sakit.
Tetapi mengetahui siapa orang yang mengumpat kita
itu lebih memedihkan.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar harian pada 15.9.2010.

Tuesday, September 7, 2010

HIDUP INI PERMAINAN


Foto: ladayanatwingirlz

SKRIP LAMA
YANG TELAH
MENGHILANG


SETIAP kali saya berkemas untuk pulang berhari raya, saya selalu teringatkan sesuatu. Terkenang yang saya selalu bergurau dengan ipar-duai, mengatakan apabila tibanya hari raya, kita akan ulangi skrip yang saban tahun kita lakonkan (baca, lakukan). Masing-masing mengiyakan. Apabila tiba ke rumah ibu bapa kami sehari sebelum hari raya, masing-masing sudah tahu apa yang harus dilakukan.

Keluarga yang tiba dahulu, akan dapat tidur di bilik. Keluarga yang tiba lewat akan tahu, tempat beradu adalah di ruang tamu. Siapa menyapu sawang, siapa yang menyapu laman, siapa yang membentang permaidani atau siapa yang memasang langsir sudah masing-masing maklum. Tidak payah disuruh, kami akan bergotong-royong membantu dengan riangnya.

Bila malam menjelma, yang lelaki akan merebus ketupat, memasang pelita dan menemani anak masing-masing bermain bunga api. Akan riuhlah yang wanita kerana asap bunga api menjerebu masuk hingga ke dapur. Mereka yang sedang memasak rendang ayam dan menyediakan lodeh terutamanya emak, akan terbatuk-batuk.

Skrip pada pagi raya sememangnya sama. Selepas kumpulan lelaki pulang solat, masing-masing akan beratur untuk bersalaman dengan ibu dan ayah. Kemudian diikuti dengan bersalam-salaman dengan adik-beradik dan ipar-duai. Setelah itu, kami semua akan berkonvoi menuju ke rumah Pak Long, Pak Ngah, Pak Uda dan Pak Chu, mengikut turutan yang senior.

Pada hari raya kedua, kami akan menziarahi pusara. Kemudian kami akan berpisah untuk berhari raya ke rumah sahabat handai masing-masing. Lazimnya, menjelang jam 3.00 petang, masing-masing sudah pulang dan bergelimpangan tidur kerana keletihan di ruang tamu. Selepas Asar, giliran rumah kami pula dikunjungi oleh sanak saudara.

Kini, skrip yang dilakonkan berbelas tahun itu sudah berubah. Saya dan keluarga tidak semestinya pulang ke kampung untuk berhari raya. Kepulangan bapa mertua ke rahmatullah mengubah sama sekali skrip itu. Saya tidak lagi pulang ke Mersing, tetapi ke Johor Bahru kerana ibu mertua saya ada di rumah abang ipar saya. Malah, ada tahun di mana saya tidak pulang ke kampung kerana ibu mertua saya pula beraya di kota ini.

Kehidupan adalah rutin atau putaran. Ia berulang sama ada secara harian, mingguan atau tahunan. Bila direnung, kita akan dapati yang kita melakonkan begitu banyak skrip kehidupan yang berulang-ulang. Skrip harian di rumah, skrip mingguan di pejabat, skrip membeli-belah pada hujung minggu atau skrip pulang ke kampung adalah di antara skrip-skrip yang biasanya kita lakonkan bersama dengan mereka yang ada di sekeliling kita. Skrip itu akan berubah apabila salah seorang pelakon atau watak yang terdapat di dalam skrip itu sudah tiada lagi.

Apa perasaan kita bila ini terjadi? Sedih. Sedih kerana skrip yang diulang-ulang itu tidak boleh dipakai lagi. Ia sudah tidak berguna kerana kita tak boleh lakukan apa yang kita biasa lakukan bersamanya. Pendek kata, kita sedih kerana kita tak tahu bagaimana hendak lakukan rutin itu bila insan yang melengkapkan skrip kehidupan kita sudah tiada lagi.

Ketahuilah, bahawa skrip harian kita samada di rumah, di pejabat, bersama jiran-jiran samada mengikut putaran harian, mingguan mahu pun tahunan itu, terdaya kita lakukan berulang-ulang kerana ia adalah nikmat. Namun, mana ada nikmat yang kekal? Justeru itu, bersedialah untuk mengenepikan skrip kehidupan yang ada apabila tiba masanya.

Dalam pada itu, kita perlu sedari bahawa kita sebenarnya adalah salah satu watak yang terdapat di dalam skrip kehidupan orang lain. Kerana itu, tanpa kita sedari, kita juga menyumbang kepada kegembiraan dan juga kesedihan orang mereka. Tanpa kita, skrip mereka pun tidak berguna.

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui.”


SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.9.2010.