Wednesday, September 22, 2010

KETELUSAN


Foto: travelizmo.com
BAGUSNYA
APABILA KITA TELUS

SEJAK mula dihebahkan akhbar pada 12 September lalu, kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya menjadi heboh. Oleh kerana mangsanya orang yang terkenal, dan suspeknya adalah orang yang ternama kerana profesionnya, naluri ingin tahu kita teruja sampai terangsang hingga ada kalanya kita terkeliru di antara fakta dan fitnah.

Mujur, liputan media elektronik dan cetak serta versi onlinenya begitu meluas. Seolah-olah apa sahaja maklumat, terus menjadi besar di bawah kanta dan sorotan media. Meskipun ada ketikanya berita berubah menjadi cerita, jangkaan menjadi spekulasi dan laporan menjadi sensasi, pihak media juga cepat mentertibkan laporan-laporannya.

Kerana itu, hari-hari berikutnya menyaksikan peningkatan jualan akhbar. Hari demi hari, jumlah cetakannya ditambah. Akhbar-akhbar laris kerana habis. Ramai para pembaca membeli lebih daripada sebuah akhbar, tidak seperti hari-hari biasa. Tidak keterlaluan dikatakan, sejak pilihanraya 2008, sambutan terhadap jualan akhbar tidak pernah melonjak sebegini.

Fenomena ini juga menyaksikan minat para pembaca kali ini untuk lebih mempercayai surat khabar. Membelek akhbar nampaknya lebih bagus daripada memperoleh berita melalui liputan-liputan di laman-laman web, blog, forum dan laman-laman sosial. Buat kali pertama sejak sekian lama, surat khabar merebut tempat di hati masyarakat.

Lagi pula, meskipun terdapat berpuluh ribu halaman di internet yang menyentuh kes ini, sebahagian besarnya hanyalah cut and paste daripada akhbar atau versi online media perdana. Siapa yang minat dengan cerita ulangan? Ertinya, untuk kali ini, liputan di akhbar menang dibandingkan dengan internet. Siapa kata, akhbar semakin dilupakan dan internet semakin bertempat di hati khalayak? Kalau kena gayanya, akhbar tetap menjadi pilihan dan bukannya bahan bacaan alternatif.

Mengapakah di dalam kes ini, masyarakat lebih mempercayai akhbar? Selain daripada nilai berita tragedi ini, kesungguhan pihak akhbar membuat liputan yang berterusan dan menyeluruh telah menarik minat khalayak. Kerjasama pihak polis dan media juga menjadikan segala persoalan yang ada di minda anggota masyarakat terjawab dari semasa ke semasa.

Akhirnya, ia tidak memberi ruang kepada golongan yang hedonis atau yang melihat apa sahaja daripada kacamata hiburan. Mereka yang suka berhibur dengan cara mempolitikkannya melalui sindiran dan memperlekeh, atau mereka yang berhibur dengan menakutkan orang melalui SMS berbentuk perkauman dan khabar angin sudah tidak diambil pusing.

Di blog dan laman-laman sosial, semakin ramai pengunjungnya yang marah kepada mereka yang suka berhibur di atas apa jua musibah yang terjadi kepada orang lain. Golongan yang suka menjadi nasi tambah melalui komen berupa perkataan dan ayat yang celupar akan ditegur oleh mereka yang melihat kes ini sebagai sesuatu yang bukan boleh dipersendakan.

Dalam kes Datuk Sosilawati Lawiya, ia memperlihatkan, seandainya pihak berwajib intim dengan pihak media, segala maklumat dapat disebarkan dengan cepat dan tepat. Pihak polis, meskipun terpaksa berahsia kerana strategi penyiasatan dalam waktu-waktu tertentu, mereka tetap memahami peranan media dengan menghulurkan maklumat meskipun adakalanya sedikit. Namun, ia berharga sebagai jawapan kepada pelbagai persoalan di minda khalayak.

Tragedi ini merupakan kes kajian untuk lain-lain pihak berwajib tentang betapa pentingnya berakrab dengan media. Sikap tidak mesra media mengakibatkan mereka terpaksa mengorek maklumat yang bukan sahaja tidak tepat malah mengelirukan masyarakat. Ataupun, akibat tiada maklumat, media terpaksa berdiam diri. Vakum ini akan diambil-alih oleh mereka yang mengambil kesempatan untuk bercakap sesuka hati melalui saluran-saluran lain.

Dalam pada itu, masyarakat perlu memahami konsep ketelusan. Walaupun maklumat yang ingin diketahui itu penting, faktor kerahsiaan sementara pihak berwajib perlu dihormati. Tidak mungkin kita diberitahu semuanya sekali gus dengan sewenang-wenangnya sementelah ia dikatakan telus.

Kerana, telus itu bukan bererti telanjang.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.9.2010.

No comments:

Post a Comment