Tuesday, September 7, 2010

HIDUP INI PERMAINAN


Foto: ladayanatwingirlz

SKRIP LAMA
YANG TELAH
MENGHILANG


SETIAP kali saya berkemas untuk pulang berhari raya, saya selalu teringatkan sesuatu. Terkenang yang saya selalu bergurau dengan ipar-duai, mengatakan apabila tibanya hari raya, kita akan ulangi skrip yang saban tahun kita lakonkan (baca, lakukan). Masing-masing mengiyakan. Apabila tiba ke rumah ibu bapa kami sehari sebelum hari raya, masing-masing sudah tahu apa yang harus dilakukan.

Keluarga yang tiba dahulu, akan dapat tidur di bilik. Keluarga yang tiba lewat akan tahu, tempat beradu adalah di ruang tamu. Siapa menyapu sawang, siapa yang menyapu laman, siapa yang membentang permaidani atau siapa yang memasang langsir sudah masing-masing maklum. Tidak payah disuruh, kami akan bergotong-royong membantu dengan riangnya.

Bila malam menjelma, yang lelaki akan merebus ketupat, memasang pelita dan menemani anak masing-masing bermain bunga api. Akan riuhlah yang wanita kerana asap bunga api menjerebu masuk hingga ke dapur. Mereka yang sedang memasak rendang ayam dan menyediakan lodeh terutamanya emak, akan terbatuk-batuk.

Skrip pada pagi raya sememangnya sama. Selepas kumpulan lelaki pulang solat, masing-masing akan beratur untuk bersalaman dengan ibu dan ayah. Kemudian diikuti dengan bersalam-salaman dengan adik-beradik dan ipar-duai. Setelah itu, kami semua akan berkonvoi menuju ke rumah Pak Long, Pak Ngah, Pak Uda dan Pak Chu, mengikut turutan yang senior.

Pada hari raya kedua, kami akan menziarahi pusara. Kemudian kami akan berpisah untuk berhari raya ke rumah sahabat handai masing-masing. Lazimnya, menjelang jam 3.00 petang, masing-masing sudah pulang dan bergelimpangan tidur kerana keletihan di ruang tamu. Selepas Asar, giliran rumah kami pula dikunjungi oleh sanak saudara.

Kini, skrip yang dilakonkan berbelas tahun itu sudah berubah. Saya dan keluarga tidak semestinya pulang ke kampung untuk berhari raya. Kepulangan bapa mertua ke rahmatullah mengubah sama sekali skrip itu. Saya tidak lagi pulang ke Mersing, tetapi ke Johor Bahru kerana ibu mertua saya ada di rumah abang ipar saya. Malah, ada tahun di mana saya tidak pulang ke kampung kerana ibu mertua saya pula beraya di kota ini.

Kehidupan adalah rutin atau putaran. Ia berulang sama ada secara harian, mingguan atau tahunan. Bila direnung, kita akan dapati yang kita melakonkan begitu banyak skrip kehidupan yang berulang-ulang. Skrip harian di rumah, skrip mingguan di pejabat, skrip membeli-belah pada hujung minggu atau skrip pulang ke kampung adalah di antara skrip-skrip yang biasanya kita lakonkan bersama dengan mereka yang ada di sekeliling kita. Skrip itu akan berubah apabila salah seorang pelakon atau watak yang terdapat di dalam skrip itu sudah tiada lagi.

Apa perasaan kita bila ini terjadi? Sedih. Sedih kerana skrip yang diulang-ulang itu tidak boleh dipakai lagi. Ia sudah tidak berguna kerana kita tak boleh lakukan apa yang kita biasa lakukan bersamanya. Pendek kata, kita sedih kerana kita tak tahu bagaimana hendak lakukan rutin itu bila insan yang melengkapkan skrip kehidupan kita sudah tiada lagi.

Ketahuilah, bahawa skrip harian kita samada di rumah, di pejabat, bersama jiran-jiran samada mengikut putaran harian, mingguan mahu pun tahunan itu, terdaya kita lakukan berulang-ulang kerana ia adalah nikmat. Namun, mana ada nikmat yang kekal? Justeru itu, bersedialah untuk mengenepikan skrip kehidupan yang ada apabila tiba masanya.

Dalam pada itu, kita perlu sedari bahawa kita sebenarnya adalah salah satu watak yang terdapat di dalam skrip kehidupan orang lain. Kerana itu, tanpa kita sedari, kita juga menyumbang kepada kegembiraan dan juga kesedihan orang mereka. Tanpa kita, skrip mereka pun tidak berguna.

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui.”


SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.9.2010.

2 comments:

  1. Salam syawal..tuan.. seronok bila membaca tulisan tuan diruangan ini..tidak keterlaluan saya mengatakan blog tuan adalah antara " The Best Blogger" diblog saya..bila saya menghayati tulisan tuan mengenai skrip kehidupan sempena raya..saya dapat menghayatinya.. Indah skrip kehidupan jika kita kongsikannya bersama generasi baru seperti anak-anak dan orang muda..walaupun ia berulang2 kali diulangi.bagi saya generasi baru akan memperhatikan dengan penuh minat..mungkin bagi generasi seperti tuan dan ayah saya terasa puas dan mungkin jenuh( jemu ) mengulanginya saban tahun. Bagi saya,ia merupakan satu sejarah dan memori yang terindah yang mungkin tidak dapat kami kecapi jika tidak dimulai dengan generasi pertama.saya secara peribadi selalu terkenangkan dizaman kecil bersama ahli keluarga sebelah ayah dan emak saya.. cuma bagi saya cadangkan supaya skrip lama biar diteruskan dan dimurnikan dengan budaya yang baru seperti solat jamaah, qiamullail.
    Teringat saya kepada pesanan Rasulallah.." Hari ini adalah lebih baik dari hari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini

    ReplyDelete
  2. Salam syawal jua buat ULWAN.

    Terima kasih kerana menyukai blog saya. Bagi saya, dan bagi generasi yang lama, skrip yang diulang itu tidak menjemukan kerana ia menggambarkan kestabilan; apatah lagi ia dilakukan setahun sekali.

    Benar juga seperti kata saudara... qiamullail adalah 'budaya baru' kerana saya sendiri tahu mengenai kebagusannya setelah meningkat dewasa.
    Ibadah orang terdahulu lebih banyak taklidnya. Kini, lebih ramai faham beragama dan mengerti mengenai talfiq.

    ReplyDelete