Wednesday, January 13, 2010

JADILAH ANAK JANTAN


Foto: mocoloco

LELAKI YANG
BUKAN ANAK JANTAN

IZRA adalah teman sebilik anak perempuan saya di hostel. Sebagai seorang siswi yang tinggal jauh daripada ibu dan bapanya, Izra kerap berkunjung ke rumah saya pada hujung minggu. Itupun sekiranya dia tidak keluar berdating dengan teman lelakinya. Oleh kerana dia kerap datang ke rumah, selalu juga saya bersembang dengannya.

Pada suatu hari, Izra tampak muram. Lama sangat murungnya. Saya mengagak remaja sepertinya tidak mungkin bermuram begitu lama jika tidak kerana bermasalah dengan teman lelakinya. Oleh kerana risau dengan kerisauannya, saya mula menyelidik. Benar. Soalan saya dijawab dengan anggukan yang lemah, tanda dia tidak berdaya berdepan dengan problemnya.

Mengikutnya, semakin sehari, teman lelakinya kian bergantung kepadanya. Mula-mula sekadar meminjamkan buku-buku rujukan, kemudian teman lelakinya meminta pula nota-nota kuliah untuk disalin apabila dia ponteng. Sebagai teman, Izra ingin sekali membantu orang yang disayangi.

Namun, semakin sehari, teman lelakinya semakin menyalahgunakan kebaikan gadis itu. Bermula dengan belanja makan, si teman lelaki sudah mula meminta Izra membuat top-up telefon bimbitnya, meminjamkan wang, membelikan pakaian dan akhirnya membasuhkan juga pakaiannya. Izra bukan sahaja menjadi teman wanita, tetapi akhirnya menjadi peminjam wang dan juga tukang dobinya.

Saya nasihatkan Izra agar berfikir panjang mengenai masa depannya sebagai siswi. Sebagai orang yang belum bergaji, dia perlukan setiap sen wang PTPTNnya untuk menampung kos pengajiannya. Dia tidak boleh menanggung orang lain, apatah lagi seorang teman lelaki. Ya. Seorang lelaki.

Apa yang dihadapi oleh Izra menjadikan saya kian bimbang dan rimas. Ini adalah kerana, semakin sehari, saya makin kerap terdengar cerita lelaki-lelaki yang bukannya anak jantan. Golongan ini adalah jenis yang lemah semangat dan pendirian. Mereka tidak berkeupayaan untuk berfikir dan memajukan diri. Berwawasan jauh sekali.

Saya teringat satu insiden beberapa tahun dahulu. Rakan sepejabat saya, Fazli menjawab telefon dengan suara tinggi dan membentak-bentak. Setelah meletakkan telefon, saya bertanya Fazli, apa yang membuatnya menyinga. Katanya, dia menerima panggilan bekas teman serumahnya, si polan yang hendak meminjam wang.

Fazli begitu marah kerana kawan lamanya itu sudah pun bekeluarga. Perangainya suka meminjam wang dan berhutang telah menjadi karakternya. Padahal, gajinya lebihkurang sama dengan Fazli. Kata-kata Fazli itu masih terngiang-ngiang di telinga saya,

“Sampai bila dia nak hidup dengan meminjam dan berhutang? Dia sudah ada keluarga, bukannya masih bujang! Bukan anak jantanlah, kalau hidup masih ditanggung orang!”
Di kalangan anak muda, golongan lelaki yang bukan anak jantan, hanya menghabiskan beras.


Mereka bukannya memilih kerja, malah tidak mahu bekerja langsung. Mereka enggan membantu kerja-kerja di rumah walaupun sekadar menolong menghantar adik ke sekolah. Mereka lebih suka berlingkar di tempat tidur di sepanjang hari kerana mereka manusia malam.
Ada juga lelaki yang sepatutnya menjadi ketua keluarga lebih suka membiarkan si isteri menanggung segala perbelanjaan seisi rumah. Sewa rumah, bil api, air, astro dan perbelanjaan dapur semuanya ditanggung isteri. Gajinya hanyalah untuk dirinya sendiri.

Keadaan pada hari ini di mana si isteri turut bekerja bagi menampung ekonomi keluarga turut menjadikan lelaki yang bukannya anak jantan, naik lemak. Sikap baik si isteri ingin membantu akhirnya menjerat diri. Akhirnya, memberi nafkah kepada keluarga sudah beralih kepada si isteri.

Lelaki sebegini mempunyai pandangan yang terbalik. Dia menjadi ketua keluarga atas kebetulan semata-mata. Entah-entah kahwinnya juga disponsor sepenuhnya oleh ibu dan bapa. Dia tidak tahu peranan, tanggungjawab dan kewajipan sebagai ketua.

Mereka mungkin sekali tidak menerima didikan mengenai peranan lelaki sebagai ketua, pemimpin dan suami daripada ibu bapa. Kelelakian adalah pembinaan peribadi tidak terdapat dalam sukatan pelajaran sekolah. Kerana itu, ibu bapalah yang seharusnya mencorakkan mereka agar menjadi lelaki yang sebenarnya, mengikut fizikal, mental dan perwatakannya.

Bila tiada didikan, golongan ini tidak tahu peranan mereka. Lalu mereka berbuat sesuatu mengikut suka hati. Akhirnya mereka menjadi lelaki-lelaki yang tiada kekuatan jiwa, rasa ingin merdeka untuk mencari rezeki sendiri dan ingin menguasai dengan menjadi pelindung keluarga yang mereka ketuai.

Oleh kerana lemahnya fikiran untuk belajar daripada suasana sekeliling, memperoleh ilmu melalui pembacaan dan mendapat iktibar melalui tatapan di TV mahupun internet, mereka tidak tahu yang mereka tidak tahu pentingnya ilmu menjadi anak jantan. Akhirnya mereka bukannya menjadi pemberi, sebaliknya hanya menjadi peminta, sama ada kepada kekasih, isteri mahupun ibu sendiri.

Dalam pada itu, masih ramai lagi lelaki yang mempunyai sifat-sifat anak jantan. Lihatlah mereka yang bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, peneroka, drebar teksi, askar dan apa jua kerja-kerja yang memerlukan tenaga tulang empat kerat. Walau betapa susah dan payahnya mereka, dapur di rumah sentiasa berasap dan anak-anak mereka cemerlang di dalam pelajaran.

Jika direnung, pertambahan lelaki yang tidak bersikap seperti anak jantan berpunca daripada kita yang sudah hidup selesa. Tentu sekali kita selesa hari ini kerana bermula dengan kepayahan. Bila sudah senang, kita tidak mahu anak-anak kita susah seperti kita dahulu.
Lalu kita tidak mahu melasak anak kita dengan kesusahan dan kepayahan.


Tanpa kita sedari, anak-anak kita dimanjakan. Bangun pagi dikejut, tidurnya didodoi. Ke sekolah dihantar dan kembalinya dijemput. Mereka hanya duduk goyang kaki dan makan tidur di rumah. Sebiji pinggan pun mereka tak perlu mereka basuh. Biar ibu atau bibi sahaja yang menguruskan.

Jika kita inginkan anak-anak yang teguh personalitinya, kita harus berani memberi kesukaran kepada anak-anak, khususnya anak-anak lelaki. Latihan yang mensasarkan kepada pembinaan fikiran sudah terlalu banyak ditumpukan. Apa yang perlu dititikberatkan pula ialah latihan untuk membina fizikal.

Latihan kelasakan, keberanian, kecekapan dan ketangkasan fizikal perlu dijalankan seiring dengan latihan mental. Ertinya, kita perlu latih anak kita berlari, melompat dan memanjat. Mempekakan naluri kelelakian ini akan melahirkan lelaki yang bersikap seperti anak jantan!

9 comments:

  1. Cabaran parent untuk membesarkan anak-anak, terutama lelaki memang mencabar. Kalau nak jadi LUCKY LAKI yang tak boleh nangis kerana wanita pun sebenarnya susah En.EYMAN HAYKAL no?

    p/s- cuma... "aiman tak kisah!"

    ReplyDelete
  2. Saya ada 3 anak lelaki yang meningkat remaja , dan saya percaya mereka semua perlu diasuh berdikari..jadi, semuanya ada jadual kemas rumah, basuh pinggan, sidai baju sebab bila mereka duduk sendiri nanti, itulah yang mereka akan buat. Mereka tetap lelaki !Oh ! Mereka juga diajar memasak nasi dan lauk pauk yang simple..

    ReplyDelete
  3. Sdra. Mie... membina peribadi anak sememangnya makin mencabar.
    Sdri Maria... saya setuju anak lelaki saudari yang buat kerja di dapur. Ia tak akan memperempuankan mereka. Kerja-kerja berjadual itu akan melahirkan lelaki yang bertanggungjawab. Itulah anak jantan namanya.

    ReplyDelete
  4. saya xtau la nk kategorikan apa lelaki2 yg sentiasa bergantung hidup dgn org lain ni. risau gak saya pun ada anak lelaki remaja & mereka akan dewasa satu hari nnti. harapnya dgn didikan yg diberi mereka tidak la sentiasa nk bergantung hidup pd org lain.
    eh! lelaki2 yg buat keje di dapur tidak akan memperempuankan mereka sbb zaman skrg ni tukang masak pun ramai lelaki even husband saya pun rajin membantu saya di dapur. kdg2 dia yg masak.

    ReplyDelete
  5. Salam tuan blog.
    Astagfirullah..harap izra cept2 buat kputusan, bayangkan kengrian jika lepas bagi semua, di minta pula sesuatu yang merosakkan marah diri. Lelaki pisau cukurpun ada juga tau, bukan wanita saja cukur lelaki. Orang2 macam itu tak payah bagi muka. Hai! manusia2

    ReplyDelete
  6. Saya juga ada anak lelaki, semoga jauh dari peminta sedekah dari wanita. mintalah juga ank lelaki saya tu tidak termakan pujuk wanita.

    ReplyDelete
  7. Saya sependapat dengan En. Eyman. Terlalu banyak perbezaan lelaki sekarang dan dulu.

    ReplyDelete
  8. Saudara,
    lelaki sekarang sudah hilang kejantanannya kerana hilangnya iman...so, saya yakin kalau kita tanamkan iman yang mantap, anak lelaki kita akan jadi jantan sebenar dan sehebat umat al-Khattab insya Allah

    ReplyDelete
  9. alamak tersilap taip dalam comment terdahulu sepatutnya "...anak lelaki kita akan jadi jantan sebenar dan sehebat Umar al-Khattab..."

    ReplyDelete