Sunday, July 12, 2009

PEMIKIRAN SIMPLISTIK



foto: static.howstuffworks.com

PEMIKIRAN PMR:
SATU JAWAPAN UNTUK
SATU PERSOALAN


BILA
menatap sesetengah akhbar, kita akan terpandang kolum tinjauan pendapat mengenai sesuatu isu. Bila menonton TV, akan ada tinjauan pendapat melalui crawling graphics di bawah skrin untuk sesuatu tinjauan.

Tatkala mendengar radio pun, kita akan terdengar soalan tinjauan pendapat. Yang pasti, tinjauan itu hanya memberi satu soalan ringkas dan hanya dua jawapan. Biasanya, ‘A’ jawapannya ‘ya,’ dan ‘B’ pula ‘tidak.’

TINJAUAN itu sama sekali tidak akan menentukan perubahan. Malah, hampir pasti hasil tinjauan itu tidak akan digunakan sebagai fakta untuk bahan kajian oleh mana-mana pihak. Yang pasti, ia menguntungkan telco selain rasa seronok mereka yang menyertainya.

Bagaimana pun, memandangkan ia disertai oleh beribu-ribu orang, ia menunjukkan betapa mudahnya tinjauan pendapat sedemikian menguja sebilangan pembaca akhbar, penonton TV maupun pendengar radio. Dan, apabila kita kerap terpandang atau terdengar mengenainya, kita pun jadi berminat dengan tinjauan sebegini.

Sekurang-kurangnya kita akan membaca, menonton maupun mendengar tinjauan pendapat ini meskipun secara sekilas waktu. Namun, walau pun, hasil tinjauannya mungkin satu fakta, tetapi ia fakta yang amat lemah. Bagai kuah yang cair dan bukannya isi.

BAGAIMANA pun, apa yang ingin dinyatakan di sini adalah tentang betapa mudahnya sesuatu perkara itu disimpulkan secara simplistik. Seolah-olah, satu jawapan menentukan kejayaan atau kegagalan, kebagusan atau ketidakbagusan, kebaikan maupun keburukan sesuatu perkara. Najib berjaya atau tidak? Pakatan Rakyat boleh perintah negara atau tidak? Liberalisasi baik untuk Melayu atau tidak? DEB adil atau tidak… dan lain-lain lagi.

JIKA kita membuat tinjauan di sekeliling kita, kita akan dapati hampir kesemua daripada mereka pun, punyai pandangan ala-tinjauan ~ satu jawapan untuk satu masalah besar. Jalan jem kerana sistem pengangkutan tidak betul. Datuk tu kahwin artis kerana artis tu yang miang. Meritokrasi akan kurangkan statistik Melayu masuk universiti. Rakyat Malaysia membaca satu buku setahun kerana mereka malas membaca. Senarainya boleh dipanjangkan lagi.

Mengapa kita terbiasa dengan hanya satu jawapan terhadap sesuatu isu atau masalah? Sedangkan bukankah ada lebih daripada satu faktor yang melibatkan sesuatu perkara? Mungkin kita berfikiran begini kerana dipengaruhi dengan apa yang saya istilahkan sebagai pemikiran PMR.

Pemikiran PMR adalah bentuk pemikiran yang objektif yang mana hanya ada satu sahaja jawapan terhadap sesuatu perkara atau masalah. Agaknya, ramai di antara kita yang berpegang kepada pemikiran ini kerana terbawa-bawa dengan jenis soalan-jawapan secara objektif yang dipelajari ketika di tingkatan tiga.

Pemikiran PMR tidak menggalakkan seseorang punyai lebih daripada satu pandangan. Yang ada, hanya satu jawapan yang betul. Jawapan yang lain kesemuanya salah. Inilah yang mungkin menyebabkan kita kerap berkrisis fikiran, pendekatan, pandangan dan perlaksanaan terhadap sesuatu perkara. Kita percaya cara kita sahaja yang betul dan cara yang lain adalah salah.

MALAH, pandangan yang di tengah-tengah tidak boleh diterima sama sekali. Kalau tidak putih, mestilah hitam jawapannya. Yang kelabu tak boleh dipakai kerana ia dianggap tidak berpendirian.

Sampai bila kita nak berfikiran begini?

4 comments:

  1. Grey matter tiada pun doesn't matter :) (sebab bila diteliti, ia jadi tak relevan pada artikel ini).

    ReplyDelete
  2. SAYA bukan duduk ATAS PAGAR. Saya berpijak pada BUMI NYATA. white bukan greykan Bang Din?

    ReplyDelete
  3. Saya setuju saudara Eyman. Saya ingat, budaya debat seperti zaman kegemilangan Islam dulu-dulu bagus untuk diterapkan dalam budaya Pemikiran PMR yang dijelaskan saudara. Debat bukan bertujuan untuk menilai siapa betul dan siapa salah. Dari debatlah kita dapat menilai kebenaran sesuatu fakta itu dari sudut yang lebih ilmiah dari tinjauan ringkas yang di buat oleh konglomerat-konglomerat media yang hanya bernafas diatas nama keuntungan.

    Jika dilihat alam dunia pendidikan Islam dulukala, Debat adalah merupakan satu akitiviti yang sangat diraikan. Debat juga boleh pergi jauh dari itu. ia juga boleh dijadikan medan untuk berdakwah secara tidak langsung. Dengan debatlah Badiuzzaman Said Nursi (Seorang Mujaddid Islam yang menetap di Turki abad lepas) berjaya menarik seorang ketua perompak dari terus terus melakukan kejahatan tanpa pertumpahan setitis darah, hanya pada usia belasan tahun sahaja. Dia telah berjaya mengalahkan para ilmuwan-ilmuwan sang perompak itu dalam satu majlis debat, dan para ilmuwan itu semuanya lebih tua darinya. Dia berjaya mematahkan semua hujah-hujah mereka.

    Tetapi amat malang, apabila ada segelintir pihak yang melabelkan aktiviti debat ini sebagai membuang masa.

    ReplyDelete