Tuesday, May 14, 2019

SAMPAI BILA MEMOMOKKAN 13 MEI?

SAMPAI BILA MEMOMOKKAN 13 MEI?

TIBA-TIBA beberapa buah media menyajikan kita dengan liputan peristiwa 13 Mei 1969. Maka liputan yang menjadi perbincangan itu pun melarat ke media sosial. Setakat tinjauan rambang, apa yang dibincangkan tertumpu kepada rentetan peristiwa hingga meletusnya tragedi berdarah yang menjadi hari malang bagi Malaysia.

Dan seperti mana-mana isu sensitif bermulalah kutuk mengutuk di antara kaum yang memanaskan kembali keadaan. Mujurlah, meskipun ia panas di gelanggang media sosial, ia masih lagi terkawal kerana kelompok orang Melayu misalnya, mengutuk orang Cina dalam perbincangan sesama mereka. Begitu juga, kelompok orang Cina juga mengutuk orang Melayu dalam media sosial mereka. Kalau ada pun kutukan yang ‘menyeberang’ kepada kaum lain, ia terjadi pada media yang melaporkan peristiwa itu.

Sebenarnya, untuk apa dihidupkan kembali kisah hitam itu semata-mata kerana 13 Mei 2019 lalu adalah ulangtahun ke 50 peristiwa itu? Andainya artikel yang dipaparkan oleh sesetengah media itu berupa laporan dari catatan sejarah, maka ia bagus untuk masyarakat kita mengimbau peristiwa pahit itu sebagai sempadan.

Tetapi apabila ia disampaikan dalam bentuk cerita daripada individu-individu yang terpilih, maka tidak boleh tidak ia punyai unsur-unsur fiksyen yang ditokok tambah untuk menyedapkan pembacaan. Katabual dalam laporan yang menggunakan gantinama orang pertama itu sendiri telah menghidupkan kembali sesuatu yang telah berlalu itu menjadi sesuatu yang here and now.
Setelah setengah abad, kisah yang dikhabarkan melalui temubual individu-individu ini boleh sahaja merupakan pandangan yang berat sebelah kerana mereka yang menceritakan peristiwa itu dari kacamata mereka sendiri. Dan, penceritaan ini diangkat menjadi sebuah laporan yang kemudiannya disangkal dan menimbulkan polemik.

Yang pasti, ramai di kalangan kita pada hari ini sudah lupa ataupun tidak tahu akan wujudnya laporan kertas putih mengenai peristiwa 13 Mei 1969 yang dikeluarkan oleh Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN. Mereka juga tidak pernah membelek buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas, catatan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

Rata-ratanya apabila kita meninjau ke media sosial, mereka yang memberi respon kepada topik 13 Mei 1969 ini majoritinya terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun ke bawah. Ertinya mereka sendiri tidak merasai peristiwa hitam itu tetapi mengutarakan komen mereka berdasarkan cerita-cerita yang mereka dengar dan baca. Dan, untuk apa pula komen-komen panas ini diberi pada sesuatu yang telah terjadi?

Komen-komen mengenai apa yang telah berlaku ini tidak boleh mengubah sejarah. Sedangkan sejarah itu dipelajari untuk diteladani agar tidak berulang lagi. Jadi, apa yang perlu diperkatakan ialah bagaimana kita menjaga keharmonian kaum supaya kita semua dapat move on.
Tetapi, pihak yang manakah yang seharusnya lebih menonjol dalam membicarakan tentang peristiwa 13 Mei dan bagaimana untuk mengelaknya daripada terjadi lagi? Golongan yang patut ke hadapan untuk bercakap mengenai peristiwa ini tentulah ahli-ahli politik kerana tragedi 13 Mei itu tercetus berikutan dengan ketegangan kaum setelah PRU-3.

Malah, sebahagian daripada mereka masih hidup. Samada mereka dari kalangan UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Dap, Pas dan lain-lain parti, mereka tidak boleh berdiam diri dengan melihat warganegara Malaysia khususnya anak-anak muda pada hari ini membicara atau saling kutuk mengutuk tentang peristiwa 13 Mei berdasarkan persepsi mereka.

Ahli-ahli politik seharusnya menonjolkan diri untuk mengajak masyarakat Malaysia merenung kembali kepada kesilapan yang telah berlaku di zaman mereka memimpin dahulu. (Sebahagian daripada mereka juga masih memimpin pada hari ini). Dan apa yang diketahui ialah, mereka sendiri tidak mahu langsung memperkatakan mengenai tragedi berdarah ini seolah-olah ia sebuah taboo.

Jika mereka sendiri berasa segan silu atau berasa risau bila topik 13 Mei ini timbul dan ingin menyapu ia di bawah karpet, 13 Mei ini akan menghantui perhubungan di antara kaum. Walau betapa buruknya 13 Mei itu,  para pemimpin politik seharusnya bersikap gentleman untuk memperkatakannya di depan rakyat.

Samada mereka dari kalangan para pemimpin Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, mereka sepatutnya berani menceritakan ‘mereka yang semalam’ dengan janji bahawa ‘mereka hari ini’ tidak rela ia berulang kembali.

Masih tidak lewat untuk kita semua sama-sama mengingati peristiwa hitam itu secara rasmi dengan mengadakan satu hari untuk kedamaian. Adakan pelbagai forum, seminar, kempen dan perayaan pada hari itu. Ia dimulakan oleh sekalian ahli-ahli politik yang duduk semeja lalu menyatakan ikrar untuk bersama menjaga tanahair ini bagi masa depan rakyat Malaysia.

Adakan ‘jamuan muhibbah’ sepertimana yang diadakan di merata pelosok tanah air pada bulan-bulan selepas 13 Mei 1969 dahulu. Dalam rawatan psikologi, konsep habit replacement ini bertujuan untuk menggantikan ingatan kepada sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang menggembirakan. Hari kedamaian adalah upacara yang gembira menggantikan yang menyedihkan.


Jangan biarkan generasi muda mewarisi luka semalam akibat dendam tujuh keturunan seperti orang dahulu kala.

2 comments:

  1. Salam Bhai...

    Betul tu... banyak pihak semacam mengapi-apikan sensasi 13 Mei ni... walhal mereka sendiri tidak paham apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana proses menstabilkan negara berlaku...

    Dan benda ini kita akan lihat berulang-ulang setiap tahun... Adoyailah...

    Harap semya orang matanglah....

    Negara ini dibentuk dengan kepelbagaian... dan kita perlu kekalkan kepelbagaian itu dalam bentuk yang aman sejahtera...

    ReplyDelete
  2. Betul tu. Kita kena move on...

    ReplyDelete