Monday, February 18, 2019

APABILA TIBA SAAT BERUNDUR

PETANG KELMARIN, saya terbaca sebuah mesej sedih di dalam grup Whatsapp Asal Sri Mersing.’ Seorang ahli kumpulan saya telah pergi menghadap Illahi. Allahyarham Jamil Sulaiman seorang teman sekolah yang sebaya usia. Pada tahun-tahun 70an, pelajar Sekolah Menengah Sri Mersing tidak sampai 1,000 pelajar. Jadi, kami boleh dikatakan rapat.
Setelah menamatkan tingkatan lima, kami terpisah. Saya cuma dengar dari kawan-kawan yang dia melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian saya dapat tahu Jamil bertugas di SIRIM di Shah Alam. Kesibukan dan keterlupaan masing-masing tidak menemukan kami meskipun saya juga bertugas di Shah Alam.
Sehinggalah pada suatu hari beberapa tahu yang lalu, saya terdengar nama saya dipanggil seseorang tatkala keluar dari kereta di PKNS Shah Alam. Jamil! Dari jarak satu tiang lampu, saya dah kenal dia sebab wajahnya tidaklah berubah sangat. Cuma badannya melebar. (Saya pun apa kurangnya!) Lebih 35 tahun tak berjumpa, tiba-tiba kami dipertemukan. Kami bersalaman, berpelukan,  bertanya khabar dan bertukar nombor telefon. Cara cakapnya masih sama dan gelaknya juga masih serupa.
Dari dialah saya dapat tahu yang kawan-kawan sekolah kami kerap mengadakan pertemuan di Kelab Shah Alam. Mulai dari hari itu, beberapa kali saya ke kelab itu untuk makan-makan dan bersembang dengan kawan-kawan. Kesibukan kami semua membuatkan pertemuan itu makin jarang diadakan. Tambahan pula di aplikasi sembang Whatsapp kami sentiasa bertukar cerita dan bergurau senda siang dan malam.
Sekali sekala, Jamil akan mengirim mesej peribadi bertanyakan saya mengenai kesahihan sesebuah isu semasa. Kadangkala dia mengirim berita dan video yang punyai nilai berita yang kemudiannya saya unjurkan ke editorial akhbar Sinar Harian. Masya-ALLAH! Ketika saya menulis ini, baharu saya sedar yang dalam diam-diam, Jamil amat memahami dunia kerjaya yang saya pilih. Bila dia dapat berita baik, dia tak hebahkan di dalam kumpulan Whatsapp tetapi sebaliknya mengirimnya kepada saya untuk digunapakai.  
Pada awal tahun ini saya mendapat berita yang Jamil dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh akibat serangan jantung. Tatkala menziarahinya, secara kebetulan saya berpeluang mendengar dan bertanya kepada doktor yang bertugas mengenai apa yang dialami oleh Jamil. Dan, saya tahu betapa seriusnya penyakit yang beliau hadapi. Petang semalam dia pergi dahulu meninggalkan kami.  Kini saya kehilangan salah seorang sahabat. Semoga ruh allahyarham Jamil dihimpunkan bersama mereka yang beriman.
Tatkala saya menulis ini, saya menerima sebuah lagi berita sedih mengenai seorang lagi sahabat saya yang baharu menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Alor Gajah, Melaka. Allahyarham Jaafar Bachik pernah sama-sama bertugas di Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun-tahun 80an.
Beliau seorang yang ceria dan pandai berkelakar. Tetapi amat komited dengan tugas. Di zaman Biro Tatanegara giat menganjurkan pelbagai kursus, allahyarham memuatkan pelbagai fail, beg dan kertas-kertas kursus ke dalam keretanya. Dia tidak mahu menggunakan kenderaan jabatan. Pernah sekali axle kereta Toyota Corollanya patah kerana terlalu berat menampung barangan.  Innalilahwainailaihirajiun.
Begitulah perjalanan kehidupan. Apabila kita berusia, ALLAH swt beri izin untuk kita lalui atau nampak segala-galanya. Kita nampak bayi yang baharu lahir, pernah mendukungnya, melihat dia membesar, bersekolah, ke universiti, berkahwin dan kemudian pada suatu hari, kita dapat mendukung anaknya pula. Mereka membesar di depan mata kita.
Rakan-rakan sebaya juga begitu. Kita sama-sama bermain, belajar, memonteng kelas, berpisah mengikut haluan masing-masing dan kemudian bertemu kembali di media sosial. Kita mesra dan bergurau senda kembali seperti di zaman remaja. Walaupun ada di antara kita sudah menjadi ustaz, kita ber-lu-gua lagi. Meskipun ada di antara kita dah berpangkat Datuk, dia lebih selesa ber-aku-engkau dengan kita.
Samada kita sedar atau tidak, kita seronok bersama dengan kawan-kawan lama kerana usia psikologi kita tidak pernah bertambah. Cara bertutur, bergurau dan berhujah masih seperti di zaman remaja. Barangkali kita terlupa yang kita belum pun lagi berada di syurga di mana kita semua sebaya di usia 33 tahun seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal.
Tetapi, begitulah. Persahabatan pada usia yang sebaya terutamanya di laman sosial menjadikan kita lalai kepada perjalanan dan perhentian yang hakiki. Bila tiba salah seorang daripada kita meninggal dunia, kita sedar seketika. Tetapi belum pun sehari berlalu, kita sudah melupakan mereka yang telah tiada. Sebaliknya, kita kembali ke dunia gurau senda. Kita tidak menyedari yang kita sudah tertipu dengan kehidupan di dunia yang sebenarnya hanya suatu permainan.

Kita hanya tersedar akan permainan ini tatkala kita diberitahu untuk meninggalkan padangnya untuk bersedia ke padang mahsyar pula. Di kala itu, kita tidak tahu apakah teman-teman yang lain sedar bahawa permainan masing-masing akan ditamatkan, pada bila-bila masa?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.2.19.

No comments:

Post a Comment