Tuesday, May 15, 2018

AKHBAR BERNAFAS KEMBALI

BILA AKHBAR
MENDAPAT SAYAP


PRU-14 telah mengubah sama sekali lanskap politik di Malaysia. Pakatan Harapan telah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Rakyat menyambutnya dengan penuh keterujaan. Para pengundi Pakatan Harapan, pengundi Barisan Nasional dan mereka yang tidak mengundi pun turut berasa bangga dan gembira. Lega kerana halangan minda telah berjaya disingkap dan mereka berjaya berubah.

Lagu Negaraku berkumandang dan dinyanyikan penuh semangat oleh segenap rakyat persis mereka menang perang. Jalur Gemilang diberi tabik hormat. Tak kira bangsa dan kaum, masing-masing menyuarakan rasa cinta kepada Malaysia. Ramai yang berkata dah tak sabar hendak menyambut Hari Merdeka kerana ingin menghayati semangat patriotik yang kian membara.

Memang sudah lama rakyat tidak rasa kebersamaan menjadi rakyat Malaysia. Kalau ada pun, rasa semangat itu tercetus berikutan peristiwa sedih seperti Pencerobohan Lahad Datu, kehilangan MH370 dan juga apabila MH17 ditembak jatuh. Mujurlah kita ada seorang Lee Chong Wei yang menjadi juara badminton dan Azizulhasni Awang yang menjadi juara dunia dalam lumba basikal. Merekalah yang mengisi kelompangan perasaan banggakan negara. Agaknya, jika mereka tiada, kita mungkin terlupa bagaimana untuk berasa bangga.

Pengaruh kerajaan yang baharu ini juga begitu meluas dan mendalam. Dan, kita tidak teragak-agak untuk mengatakan bahawa faktor Tun Dr. Mahathirlah yang menyemarakkan keterujaan ini. Ini adalah kerana, beliau adalah tokoh pemimpin yang turut punyai nilai selebriti. Susuk tubuhnya, tutur katanya dan yang penting sekali, tindakan-tindakannya itulah yang diperkatakan. Tun Dr. Mahathir bukan sahaja man-in-the-news, man-with-the-news malah, he is the news!

Kerana fenomena ini, media massa menjadi tumpuan kembali. Masyarakat lebih suka menonton rancangan berita dan forum. Mereka meluangkan masa berjam-jam menatap rancangan itu di televisyen. Program drama, hiburan, masakan  dan kartun ditolak ke tepi. Dan yang menarik sekali ialah, para pembaca telah kembali membeli akhbar. Ini turut menggembirakan orang surat khabar.

Oleh kerana keterujaan, meskipun ramai yang punyai telefon pintar sebagai sumber berita, mereka turut suka menonton televisyen. Pada keesokannya pula mereka berebut mendapatkan akhbar pula. Penyelidikan bahagian pengedaran akhbar-akhbar mendapati jualan akhbar laris kembali. Ramai pembaca yang mengadu tidak dapat menatap akhbar kerana kehabisan. Syarikat-syarikat akhbar tidak menjangka peningkatan jualan yang mendadak. Kegilaan apakah ini?

Mengapa sesudah menonton televisyen, menekur ke telefon pintar masing-masing, mereka masih hendak menatap akhbar yang menyiarkan berita semalam? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah kerana rakyat hendak memanjangkan rasa gembira mereka. Mereka seronok kerana menang pilihanraya, menonton hasil undian mereka di televisyen sambil bermesej di telefon pintar masing-masing. Agaknya mereka  tidur dalam senyuman dan keesokan harinya ingin menatap lagi cerita gembira semalam.

Ia tentu sekali  memanjangkan hayat ketahanan akhbar. Sekurang-kurangnya dalam tempoh 100 hari dan lajak ke Hari Merdeka, akhbar menjadi pilihan alternatif yang wajib. Dan apabila Tun Mahathir dalam sesi penerangan khas berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan menyekat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana laporan berita yang tidak tepat selagi ia tidak mengganggu ketenteraman negara; ia umpama baja kepada pihak akhbar.

Sudah begitu lama pihak akhbar mengamalkan self-sensorship dalam pemberitaannya. Mereka bimbang melanggar batas dalam penyampaian berita kerana sentiasa diperhati. Berita yang panas atau yang dikupas mendalam sedikit, ditegur agar tidak menulis begitu dan begini. Mereka diingatkan agar membesarkan cerita ini, mengecilkan berita itu.

Lama kelamaan, berita menjadi tumpul dan hambar. Tidak lagi segar apabila beritanya dibuat susulan yang memugar hingga memberi kepuasan membaca. Walaupun akhbar menyampaikan berita semalam, tetapi ia dikupas dengan lebih komprehensif  hingga menjadi sebuah cerita yang punyai kenikmatan pembacaan. Akhirnya para pembaca tidak memilih akhbar dan ini menyumbang kepada penurunan jualannya.

Mudah-mudahan dengan kata-kata jaminan Tun Mahathir mengenai kebebasan akhbar, jenis-jenis penyampaian berita yang berani seperti yang dicanai akhbar Watan dan Eksklusif terbitan Kumpulan Karangkraf akan bertambah. Sinar Harian yang selama ini mengamalkan penyampaian telus dan tulusnya akan punyai teman saingan apabila Utusan Malaysia, Berita Harian mengasah dan menyeringaikan taring mereka kembali.

Sesungguhnya, ia adalah kebaikan untuk semua ~ pihak kerajaan, akhbar dan juga rakyat.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.5.18.

1 comment:

  1. jadilah bangsa & negara yg benar2 MERDEKA

    ReplyDelete